30 Jun 2021, 17:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Umum mengetahui, Dewan Bahasa dan Pustaka telah menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-65 pada hari Selasa, 22 Jun 2021. Tidak mahu membiarkan hari bersejarah itu berlalu begitu sahaja walaupun aktiviti berkumpul dan bersemuka secara fizikal tidak dibenarkan dek pandemik COVID-19, DBP meraikan usianya ke-65 melalui sambutan secara maya.

Dengan memanfaatkan jentera media sosial seperti Facebook dan JendelaDBP.my, siaran langsung sambutan itu dilihat cukup signifikan apabila menayangkan si silik berpantun dan memaparkan ucapan daripada masyarakat pelbagai latar kaum, umur dan pekerjaan, selain acara rasmi seperti ucapan Ketua Pengarah DBP, Datuk Haji Abang Salehuddin Abang Shokeran, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Seri Awang Sariyan dan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin.

Dalam perjalanan usianya hingga hari ini, DBP yang ditubuhkan setahun lebih awal daripada tahun kemerdekaan negara, iaitu pada tahun 1956 terkenal sebagai badan yang berautoriti dalam hal kebahasaan.

Namun begitu, fungsi kebahasaan itu diselarikan dengan fungsi DBP sebagai institusi persuratan Melayu. Hal ini terbukti melalui penerbitan karya sastera pertama berjudul Anak Raja Anak Papa, yang merupakan karya terjemahan Pendeta Za’ba pada tahun 1958, kira-kira dua tahun setelah DBP ditubuhkan.

Selepas itu, DBP tidak menoleh ke belakang malah terus menerbitkan beberapa karya sastera agung hasil usaha mereka yeng bergelar penulis karya sastera. Dua judul karya sastera yang sering dikaji dan diwacanakan, lantas menjenamakan DBP sebagai penerbit ulung karya sastera agung ialah karya klasik agung, Sulalatus Salatin dan karya agung zaman moden, Salina.

Anugerah Sastera Negara (ASN)

Sejak penubuhannya, penulis sastera dan DBP memang sinonim malah memiliki suatu bentuk hubungan yang amat erat. Selain menerbitkan buku yang dihasilkan oleh penulis sastera, DBP juga menghargai usaha, bakat dan citra kepengarangan penulis melalui anugerah dan pengiktirafan.

ASN merupakan satu jenama dalam dunia sastera tanah air yang penerimanya akan bergelar Sasterawan Negara (SN). Sememangnya gelaran SN menjadi jenama yang diburui oleh semua sasterawan kerana keistimewaan dan prestij yang ada pada jenama tersebut. Yang menambahkan lagi prestijnya kerana anugerah tersebut akan disampaikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada penerima ASN.

Khalayak sastera mengetahui bahawa ASN ialah pengiktirafan tertinggi kerajaan bertaraf negara kepada tokoh sasterawan yang masih hidup, yang melontarkan ilham dan mencoretkan karyanya dalam bahasa Melayu.

Sumber: Google

Penerimanya dipilih berdasarkan sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera yang bermutu tinggi.

Meninjau sejarahnya, ASN mula disebut dalam ucapan Yang Amat Berhormat (YAB) Tun Dato’ Hussein Onn (Allahyarham) pada Majlis Penyampaian Hadiah Karya Sastera 1976 di Rumah Malaysia, Kuala Lumpur pada 11 November 1977. Pada ketika itu, beliau telah menyatakan hasrat kerajaan yang ingin menzahirkan penghargaan kerajaan kepada sasterawan tanah air dengan meluluskan gagasan ASN.

Pada tahun 1979, YAB Tun Dato’ Hussein Onn telah membentuk sebuah Panel ASN yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Musa Hitam, Menteri Pendidikan Malaysia pada ketika itu, dan DBP telah ditugaskan menjadi Urus Setia ASN.

Maka, pada tahun 1981, bermulalah ceritera ASN yang telah menjenamakan sasterawan tersohor dengan gelaran SN. Penulis dan tokoh sastera yang pertama menerima gelaran dan membawa jenama SN ialah Keris Mas.

Walaupun tidak berlangsung saban tahun, namun hingga usianya menginjak 65 tahun, DBP telah menjenamakan 13 orang penulis dan tokoh sastera dengan gelaran SN. Dalam dunia sastera tanah air, selain Keris Mas, siapa tidak kenal dengan nama dan nama pena berikut kerana jenama SN akan dibawa dan dimiliki oleh mereka hingga akhir hayat.

  1. Shahnon Ahmad

  2. Usman Awang

  3. Samad Said

  4. Arena Wati

  5. Muhammad Haji Salleh

  6. Noordin Hassan

  7. Abdullah Hussain

  8. Othman Kelantan

  9. Anwar Ridhwan

  10. Kemala

  11. Baha Zain

  12. Zurinah Hassan

  13. Siti Zainon Ismail

Minggu Penulis Remaja (MPR)

Dalam ranah penulisan karya kreatif dan naratif kejayaan penulis lalu mengaitkannya dengan peranan DBP, jenama yang pasti diimbau dan disebut ialah MPR. Jika dijejak alur kisahnya, memang diakui, MPR menjadi suatu platform yang telah membuktikan kejayaannya melahirkan banyak penulis muda yang pada hari ini terkenal dengan genre penulisan masing-masing.

Yang menariknya, penulis yang memegang status alumni MPR juga telah berjaya mencipta jenama mereka sendiri, sama ada menjenamakan diri sebagai penulis prolifik, pemuisi atau penyair terkenal, penerbit mandiri, penggiat sastera dan budaya, dan pembimbing yang juga melahirkan anak didik mereka sendiri dalam penulisan karya kreatif.

Sayap DBP dalam usaha mencungkil bakat baharu penulisan karya sastera melalui MPR mula berkepak pada tahun 1985. Hasrat DBP pada ketika itu mahu menjadikan MPR sebagai program utama untuk mengisi objektif kedua penubuhannya, iaitu mengembangkan bakat sastera dalam penulisan karya sastera menggunakan bahasa kebangsaan.

Bergambar kenangan selepas tamat Majlis Temu Mesra Alumni MPR 2019. (Sumber: Klik Web DBP)

Kali pertama diadakan pada 13 hingga 16 September 1985 di Sudut Penulis DBP, MPR merekrut 27 peserta sebagai perintis program yang diadakan khusus untuk  penulis muda.

Acara yang menjadi projek tahunan DBP melalui Bahagian Sastera dan Majalah pada ketika itu bermatlamat mahu mewujudkan sumber manusia yang mampu menambah jumlah penulis generasi baharu tanah air, atau penulis muda yang berbakat dan berpotensi dengan imej yang dinamik, agresif dan kreatif.

Sejak pertemuan sulung pada tahun 1985, MPR kekal hingga hari ini menjadi program tahunan DBP, manakala Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran yang diwujudkan pada Oktober 2010 menjadi urus setianya sejak tahun 2012.

Sememangnya, MPR dikenali sebagai jenama yang hebat kerana kejayaannya melahirkan banyak penulis yang namanya dikenali ramai dan karyanya memenangi pentas anugerah sastera.

Buktinya, Zaen Kasturi atau Zainal Palit telah dinobatkan sebagai penerima S.E.A. Write Award pada tahun 2010, Rahimidin Zahari (Allahyarham) dan Nisah Haron menerima Anugerah Sasterawan Muda Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) masing-masing pada tahun 2013 dan 2017, dan Faisal Tehrani menerima Anugerah Seni Negara (Bakat Muda) pada tahun 2006.

Nama-nama seperti Ahmad Patria Abdullah, Salina Ibrahim, Nisah Haron, Hafizah Iszahanid, Mohd Ridzuan Harun, Muhammad Lutfi Ishak dan Roslan Jomel (sekadar menyebut beberapa nama) pula muncul sebagai penulis prolifik dan pemilik karya yang memenangi sayembara penulisan dan anugerah karya sastera seperti Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan hadiah sastera peringkat negeri masing-masing.

Jenama MPR juga berjaya menarik minat penulis bukan Melayu untuk berkarya dalam bahasa kebangsaan, dan antara nama penulis terkenal berjenama MPR ialah Uthaya Sankar SB dan Alex Tan Bok Hooi.

Hebatnya karya dan terkenalnya nama penulis yang memegang keahlian alumni MPR itu memperlihatkan kemantapan jenama dan ketinggian prestij yang ada pada MPR. Hal ini diakui oleh Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, Saifullizan Yahaya, yang pernah menerajui Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran dengan menyatakan bahawa MPR yang kini memasuki usia 36 tahun penganjurannya sudah melahirkan penulis berkualiti dan dikenali ramai dalam kalangan pelbagai bangsa.

Hingga kini, MPR sudah melahirkan hampir 700 orang penulis. Sebagai penulis prolifik dan alumni MPR, Saifullizan menyatakan, prestij MPR itu terletak pada keberkesanan program dan kewibawaan pembimbing yang dilantik dalam kalangan penulis ternama. Program MPR pada peringkat awalnya merupakan cetusan idea Tan Sri Johan Jaaffar yang menjadi Ketua Unit Buku Remaja DBP pada ketika itu.

Selain terkenal dengan jenama SN dan MPR, khalayak sastera juga mengakui peranan majalah sastera terbitan DBP dalam mengangkat nama penulis dan karya kreatif mereka.

Penerbitan Sastera

Maka, apabila menyebut majalah sastera, DBP yang pada ketika ini berusia 65 tahun masih tekal menerbitkan majalah sastera yang ada nilai dan sumbangannya kepada penulis dan sasterawan.

Dua majalah sastera milik DBP yang masih hidup segar dalam dunia penerbitan majalah bercetak ialah Dewan Sastera dan Tunas Cipta. Namun demikian, hal yang mahu ditonjolkan dalam rencana ini ialah pencungkilan bakat penulis baharu melalui jenama Tunas Cipta.

Tahun 2021, majalah Tunas Cipta menyambut ulang tahun yang ke-20.

Penulis baharu dan penulis pemula pasti bersetuju dengan kenyataan ini kerana selain jenamanya yang kekal utuh hingga hari ini, Tunas Cipta yang berusia 20 tahun pada tahun ini terus membuka ruang dan peluang kepada kelompok penulis tersebut tanpa mengira latar bangsa, agama, kerjaya dan genre penulisan.

Harus diakui juga bahawa sejak kemunculannya, Tunas Cipta telah mencipta jenama majalah yang memberikan laluan istimewa kepada penulis baharu dan penulis pemula dalam membina keyakinan dan menyediakan tapak untuk berdiri teguh, seterusnya berjaya dan terkenal dalam dunia penulisan karya kreatif khususnya.

Meninjau nama-nama penulis hasil penjenamaan Tunas Cipta, daripada penulis baharu atau pemula kepada penulis mapan atau prolifik, akan terlihat nama yang pada hari ini cukup dikenali oleh khalayak sastera seperti Fahd Razy, M.F. Kencana, Rebecca Ilham, Ruhaini Matdarin, Lokman Hakim, Ummu Hani Abu Hassan, Nimoiz T.Y. dan Teo Wei Sing (sekadar menyebut beberapa nama).

Pada hari ini, kesemua penulis tersebut berjaya menonjolkan nama dan membawa jenama masing-masing. Misalnya, Fahd Razy yang pernah mengisi ruangan Tunas Cipta dengan karyanya, kini begitu popular dengan jenama penerbitan Kata-Pilar dan karya “Sains Menulis Puisi”.

Lokman Hakim pula menyerlah dengan karya fantasi dan fiksyen sains, selain menerima banyak anugerah penulisan disebabkan kualiti, kreativiti dan kemantapan karyanya.

Begitu juga dengan Ruhaini Matdarin yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2017/2018 menerusi karya neo-nostalgianya, Hari-hari Terakhir di Jesselton. Ummu Hani Abu Hassan dan M.F. Kencana atau nama sebenarnya, Mohd Fairuz Mohd Padoli, yang pada awalnya berkarya di bawah jenama Tunas Cipta, kini telah berjaya mencipta jenama sendiri sebagai penulis skrip drama TV.

Nimoiz T.Y. dan Teo Wei Sing pula memilih sajak untuk menjenamakan penulisannya yang memang amat dikenali di kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Nimoiz T.Y. atau nama sebenarnya Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub telah memenangi tempat pertama Hadiah e-sastera.​com dengan gelaran penyandang Anugerah Penyair Alam Siber bagi tahun 2003 dan 2004.

Selain menjadi penyair, Nimoiz juga muncul dengan jenama buku Menjadi Penulis Jutawan, dan kini mengusahakan sendiri penerbitan bukunya dan beberapa buku penulis lain.

Begitulah warna perjalanan DBP dalam tempoh 65 tahun menyantuni penulis sastera sehingga berjaya mengetengahkan jenama yang menjadikan DBP dan penulis sastera begitu akrab, di samping beberapa kejayaan lain yang diraih oleh penulis itu sendiri.

Selain berhubungan melalui penerbitan majalah sastera dan program MPR, DBP dan penulis sastera juga umpama aur dengan tebing dalam hal penerbitan buku sastera seperti novel, cerpen, puisi, drama dan kajian sastera.

Karya Sastera Terbitan DBP.

Ternyata hubungan itu tidak pernah putus walaupun sering keruh dek aduan dan keluhan penulis yang rimas dengan kelewatan DBP menerbitkan buku mereka. Namun begitu, Bahagian Buku Sastera DBP tetap menerima karya penulis saban masa kerana penulis sastera mengetahui jenama dan kualiti yang ada pada buku yang diterbitkan oleh DBP.

Bak peribahasa, “esa hilang, dua terbilang”, begitulah DBP yang sejak mula ditubuhkan hingga usianya menghampiri horizon masa, akan tetap mengangkat karya dan nama penulis sastera kerana itulah janji dan nekad DBP dalam usaha menjenamakan penulis serta memartabatkan karya sastera dan persuratan Melayu tanah air.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.