27 Jun 2021, 11:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Studio Pesona, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui rancangan Sembang Orang Muda: Seronoknya Membaca Siri Kedua telah mengadakan sesi sembang santai, novel kanak-kanak yang bertajuk Penyiasat Muda karya, karya Daeng Ma Penner.

Sesi perkongsian tersebut menyaksikan Pak Cik SD (Salleh Dermawan) sebagai tukang cerita, manakala Rafiq Rahman dan Hasni Jamali bertindak sebagai moderator.

Rafiq Rahman (kiri) dan Hasni Jamali (kanan), moderator bagi program Sembang Orang Muda: Seronoknya Membaca Siri Kedua.

Novel tersebut mengisahkan dua orang sahabat baik, iaitu Alif dan Zaed. Mereka mempunyai hobi menunggang basikal. Selain itu, mereka juga mempunyai cita-cita yang sama, iaitu untuk menjadi ahli penyiasat.

Alif banyak menonton filem dan cerita bertemakan penyiasatan, manakala Zaed pula sering membaca surat khabar, majalah dan artikel berkaitan dengan penyiasatan.

Dalam sesi tersebut, Pak Cik SD mengatakan, banyak pengajaran yang boleh didapati daripada novel tersebut, antaranya setiap orang harus mempunyai cita-cita bagi membentuk hala tuju masa hadapan seseorang.

Pak Cik SD.

 

Selain itu, beliau juga menasihati pelayar supaya rajin membaca dan mencari maklumat berkaitan dengan bidang yang disukai bagi mencapai cita-cita seperti watak Alif dan Zaed dalam novel tersebut.

Rancangan yang berlangsung selama satu jam itu dapat menyuntik minat membaca dalam kalangan kanak-kanak. Selain itu, gaya penceritaan yang bersahaja oleh Pak Cik SD juga memudahkan pelayar memahami jalan cerita novel tersebut dengan lebih baik.

Program anjuran bersama-sama Ikatan Persuratan Melayu itu berlangsung pada 26 Jun 2021, pukul 12 tengah hari, dan disiarkan melalui Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi