27 Jun 2021, 11:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur- Episod enam dalam sesi Malaysia Baca Apa Hari Ini membincangkan penulis wanita yang menjadi pilihan pengkarya tempatan, iaitu Husna Rosli dan Syahira Hozami, atau lebih dikenali sebagai Syeraho.

Poster program yang disiarkan dalam media sosial.

Satu persamaan yang dikongsi oleh kedua-dua penulis novel ini adalah minat terhadap penulisan Auni Zainal dalam nukilan yang sangat menyentuh emosi; Mawaddah Ilmi Ingin Pulang. Selain perkembangan watak dan penulisan plot yang baik, Auni berani mendukung tema yang berat dalam karyanya.

Selain itu, penulisannya juga mampu membuatkan pembaca seolah-olah berada dalam situasi novel tersebut. Hal inilah yang menjadi tunjang utama Auni yang sangat dikagumi oleh dua orang penulis ini.

“Saya suka cara Auni menghuraikan watak Mawaddah. Tentang bagaimana dia bergelut dengan trauma yang tidak dirawat sehingga memberikan kesan pada alam dewasa. Penulisan beliau bukanlah pasif, kerana dalam novel ini, Auni ada huraikan masalah yang dihadapi Mawaddah dan bagaimana dia berdamai dengan masa lalunya,” ujar Syeraho.

Tambah beliau lagi, “Gambaran Auni terhadap watak ini membuatkan saya berasa dekat dengan Mawaddah, dan itulah yang menjadi kekuatan kepada penulisan beliau. Selain itu, penulis wanita yang juga menjadi kegemaran saya kerana plot penulisan yang mantap ialah Sri Rahayu Mohd Yusop dengan karya Puteri Naga Tiberius.”

Syeraho yang juga penulis buku Projek Athena turut berkongsi buku bermotif berat pilihan beliau yang memfokuskan kesihatan mental seperti Gila oleh Hanna Alkaf, How Not to Fall Apart oleh Maggy Van Eijk dan Maybe You Should Talk to Someone, karya Lori Gottlieb.

Beliau yang juga penghidap penyakit kemurungan mengatakan, buku-buku yang dikongsi ini ialah peneman ketika waktu sukar dalam melawan penyakit yang tidak dapat dilihat secara fizikal itu.

Bagi penulis buku psikik pula, Husna Rosli menyatakan bahawa beliau cenderung dengan penulisan yang lebih gelap, iaitu karya yang menceritakan fantasi, misteri serta jalan cerita yang tidak terjangka dan mendebarkan.

“Saya lebih gemar penulis wanita kerana pada pandangan saya, mereka lebih terperinci dalam menghuraikan watak dan cerita serta banyak menonjolkan emosi berbanding dengan penulis lelaki,” ujarnya.

Sambungnya lagi, “Antara buku yang menjadi kegemaran saya ialah siri Seruan, hasil Ismi Fa Ismail. Karangan beliau menjadi faktor saya mula teroka genre buku yang bersifat fantasi, distopia, dan karya yang berasaskan kepada tema merentasi masa seperti novel Mesej oleh Anna Lee.”

Bagi husna, penulisan Anna Lee memberikan nafas baharu dalam dunia penerbitan tempatan kerana tidak hanya terhad kepada cerita cinta sahaja, selain daripada penyampaian yang santai dan mudah dibaca.

Iman Danial Hakim yang mengendalikan sesi selama satu jam setengah, pada 26 Jun lalu turut berkongsi rasa teruja untuk mendapatkan koleksi buku baharu hasil daripada perbincangan itu.

“Dunia penulisan sangat luas dan masih banyak buku untuk diteroka yang akan membantu buka mata kita terhadap hal-hal yang tidak pernah terjadi dalam kehidupan kita,” ulas Iman Danial Hakim.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi