27 Jun 2021, 17:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Apabila membaca sesuatu karya, apakah yang pembaca itu akan rasai? Adakah dia merasai bahagia atau mengalami rasa luka? Dua persoalan utama itulah yang cuba diselami oleh Wan Nor Azriq melalui tajuk “Sastera: Bahagia atau Luka?”

Dalam membincangkan pengalaman dan perasaan terhadap sesuatu bahan bacaan sastera, Azriq berdiskusi secara santai dengan beberapa orang penulis muda seperti Ainunl Muaiyanah, Si Jasad, Fahd Razy, Ezzuwan, A. Muziru Idham dan Buku Fixie untuk menyelami pengalaman yang mereka rasai semasa membaca sesuatu karya, sama ada novel, cerpen, puisi dan komik, termasuklah karya ilmiah.

Wan Nor Azriq

Membuka ruang perbincangan, Wan Nor Azriq mendedahkan pengalaman membaca novel cinta, yang dibacanya setelah tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia.

Katanya, “Saya membaca novel cinta kerana pada masa itu, saya ada banyak masa lapang. Tambahan pula, zaman remaja kita memang akan membaca novel cinta. Namun demikian, semasa membaca novel cinta itu, saya tertanya-tanya, adakah begini cerita yang ada dalam novel cinta?”

Sambungnya lagi, “Lantas saya terfikir, apakah yang menyebabkan budak remaja begitu obsesi dengan novel cinta? Saya tidak mendapat apa-apa kepuasan setelah membaca novel cinta pada masa itu.” Itulah yang dirasai oleh Azriq yang mengakui novel cinta merupakan salah satu perkara yang menjadi pencetus ideanya untuk menjadi penulis.

Ainunl Muaiyanah

Bagi Ainunl pula, golongan remaja membaca novel cinta kerana mahu merasai pengalaman bercinta, dan menyelami perasaan menjadi hero dan heroin dalam cerita yang dibikin oleh penulis novel cinta itu.

Ada juga penulis yang memberikan respons, dia lebih gemar membaca buku tentang tokoh atau novel yang mengisahkan riwayat hidup tokoh, terutama hal berkaitan pengalaman dan perjalanan hidup tokoh itu. Menurutnya lagi, melalui pembacaan kisah tokoh itulah yang menyebabkan dia berasa bahagia atau merasai penderitaan akibat rasa bahagia dan duka yang dialami oleh tokoh itu, dan rasa itu menyelubungi perasaannya apabila membaca kisah tokoh itu.

Berkaitan genre penyiasatan pula, Ainunl berkongsi kisah dirinya yang membesar dengan kisah penyiasatan, khususnya penyiasat remaja. “Kalau bercakap tentang komik, saya tertarik dengan cara penulis membina jalan cerita komik itu. Contohnya, dalam komik tentang pembunuhan, penulis biasanya memberikan petunjuk tentang sesuatu pembunuhan, dan perkara itulah yang menyebabkan kita meneka-neka berdasarkan petunjuk tersebut, lantas menyebabkan kita terus membaca komik itu kerana mahu mengetahui apa kesudahan ceritanya berdasarkan petunjuk tadi.”

Ainunl juga mendedahkan dia pernah menangis semasa membaca siri komik remaja kerana watak yang memang diikutinya daripada siri pertama komik itu terbunuh akibat kesilapan dalam eksperimen. “Berdasarkan pengakuan kesilapan membunuh itulah yang membuatkan saya rasa terharu dan sedih, juga apabila roh watak yang mati itu datang dan memeluk kekasihnya, dan kekasihnya menyedari kesilapannya. Keinsafan itulah yang sangat menyedihkan hati saya.”

Itulah pengalaman sedih dan luka yang dialami oleh Ainunl semasa membaca komik itu. Walaupun hanya komik, tetapi apa yang ditulis dalam komik itu membuatkan Ainunl terfikir, mengapa manusia sanggup melakukan suatu perbuatan yang terkutuk, iaitu membunuh, dan membunuh orang yang sangat kenalinya.

Buku Fixie

Buku Fixie pula berkongsi pengalaman membaca novel seram atau ngeri. Bagi Buku Fixie, biasanya pembaca tidak akan mengulangi bacaan novel seram kerana apabila sudah sampai ke penghujung cerita, pembaca sudah berasa cukup puas, keterujaan itu sudah tamat, dan apa-apa yang ingin diketahui berdasarkan semua putar balik plot itu sudah terbongkar.

Jadi, kita memang tidak akan membaca novel seram itu sekali lagi. Akan tetapi, Buku Fixie memberitahu hanya ada satu sahaja novel seram yang dibacanya berulang kali, iaitu The Secret History oleh Donna Tartt.

Uniknya novel seram ini kerana dalam perenggan pertama, penulis sudah memaparkan misteri yang pelik. Dalam perenggan pertama itu kita sudah mengetahui siapa pembunuh dan siapa yang dibunuh. Jadi, misteri yang sebenar ialah kenapa membunuh, dan kenapa orang itu membunuh dan dibunuh?

Menurut Buku Fixie, “Separuh pertama novel ini memang menyebabkan kita tertanya-tanya kenapa pembunuhan berlaku, dan yang menjadi saspensnya, adakah pelaku pembunuhan akan ditangkap? Pengalaman itulah yang menyebabkan saya boleh membaca novel seram itu berulang kali.”

Sumber: Penulis

Selain novel dan cerpen, Azriq juga membawa tetamu yang mengisi ruang Twitter untuk mengupas pengalaman membaca puisi. Menceritakan pengalamannya sendiri, bagi Azriq, apabila membaca puisi, kita akan merasai suatu kepuasan yang spesifik. Kita juga akan menemukan suatu emosi dalam sesebuah puisi.

Melalui nama penyair itu juga kita boleh membayangkan emosi yang dibawa dalam puisinya, misalnya puisi Allahyarham Rahimidin yang sarat dengan perasaan sentimentalnya yang membesar di kampung. Kita juga akan merasai ada perkara peribadi yang cuba disampaikan oleh penyair melalui puisinya.

 Ezzuwan

Jika dikaitkan dengan perasaan dan pengalaman, Ezzuwan pula menggemari kumpulan puisi Marzuki Ali, Jeritan Satwa Luka. Selain bahasanya, Ezzuwan menyukai tema puisi, iaitu kisah haiwan dan persekitarannya.

“Apabila membaca puisi Marzuki Ali, saya dapat merasai penderitaan yang dialami oleh haiwan yang dikisahkan dalam puisinya. Rasa penderitaan itulah yang menyebabkan saya menyukai buku ini kerana kisah penderitaan haiwan jarang-jarang ditulis oleh penyair pada masa ini.” Demikian pengakuan Ezzuwan yang memberitahu dia menjumpai buku puisi itu di perpustakaan sekolahnya.

Fahd Razy

Fahd Razy pula menyatakan, dia terpesona dengan puisi kerana penyair dapat mengungkapkan suatu falsafah atau perspektif yang berbeza terhadap benda atau perkara yang biasa. Hal sedemikian ada dalam puisi Hilmi Rindu, Zurinah Hassan dan Anwar Ridhwan. Contohnya, puisi itu hanya tentang kerusi atau cahaya tetapi apabila dipuisikan, cerita tentang kerusi atau cahaya itu sangat menarik kerana diungkapkan daripada perspektif yang berbeza daripada apa yang kita biasa faham tentang kerusi dan cahaya, malah kadang kala yang diceritakan dalam puisi itu tidak terjangkau dek akal fikiran.

Ada ketikanya, puisi itu menyampaikan renungan yang tajam terhadap perkara atau benda yang dianggap mudah atau remeh, tetapi apabila dipuisikan, penyair menyampaikan renungan itu dengan penuh falsafah dan tersirat mesej yang signifikan.

A. Muziru Idham

Dalam perbincangan santai ini juga, Azriq memberikan peluang kepada A. Muziru Idham untuk meluahkan pengalamannya membaca karya bukan fiksyen atau buku ilmiah. Bagi Muziru, membaca karya ilmiah lebih pada memuaskan rasa untuk mencari idea, logik akal dan rasional.

Hal ini berbeza dengan pembacaan novel, cerpen dan puisi yang lazimnya pembaca akan mencari pengalaman yang menarik. Apabila membaca puisi, Muziru akan membawa dirinya masuk ke dalam puisi itu.

Menggemari puisi yang menggunakan gaya bahasa yang sederhana, tetapi ada nilai emosi yang tinggi. Muziru mengatakan, “dalam puisi tentang ibu yang pernah disiarkan oleh Tukang Puisi, emosi seperti sedih, sunyi dan kekosongan yang ada dalam puisi itu dapat saya rasai dan rasa sampai ke dalam diri saya.”

Si Jasad

Perkongsian pengalaman membaca karya sastera ini juga diselitkan dengan pengalaman menyertai kelab peminat penulis. Hal ini diceritakan oleh Si Jasad yang mendedahkan dia pernah menyertai kelab peminat novel Awak Suka Saya Tak?.

“Semasa menyertai kelab peminat novel itu, saya mendapati bahawa penulis novel berjaya membuatkan peminatnya tergila-gilakan watak dalam novel sehinggakan sanggup menggunting gambar sendiri dan mencantumkannya dengan gambar watak itu. Peminatnya juga akan merangka putaran plot sendiri berdasarkan novel baharu yang akan terbit. Ada juga peminat yang menangis kerana terkesan dengan kisah cinta dalam novel. Maknanya, peminat memang fanatik dengan cerita dalam novel itu.”

Menurut Si Jasad, dia menyertai kelab peminat itu kerana desakan kawannya yang mengatakan, novel itu menarik. “Tetapi, apabila saya membaca novel itu, cukup lima halaman saya tidak mahu meneruskan bacaan kerana saya tidak jumpa sesuatu yang menarik dalam novel itu.” Namun begitu, hal yang cukup mengagumkan ialah cara penulis itu menarik perhatian dan minat ahli kelab peminatnya sehingga begitu taksub dengan novel yang ditulisnya.

Merumuskan perbincangan tentang perasaan dan pengalaman membaca sesebuah karya, Buku Fixie mengatakan, minatnya tertumpu pada karya yang kisahnya berlaku pada masa ini, bukan berlaku pada masa lampau atau bukan berlaku pada masa depan, misalnya kisah yang berlaku di planet Marikh.

Buku Fixie menyukai elemen kemungkinan dalam sesebuah karya kerana elemen itu membantunya menjalani hidup, terutama ketika masih belajar. Kebarangkalian yang dirasai dan dialami melalui sesebuah karya itu dapat membantu kita mencari arah yang betul dan berguna untuk mengharungi fasa kehidupan yang seterusnya.

Selaku penganjur, Azriq merumuskan dalam dunia penulisan sastera, pasti ada pengarang yang berjaya melahirkan suatu fenomena menerusi karyanya. Misalnya, Nadia Khan yang berjaya mencipta fenomena tersendiri melalui novel Gantung, yang diulang cetak beberapa kali oleh penerbit Buku Fixie.

Hingga kini, puluhan ribu pembaca menyukai novel Gantung kerana merasakan alur ceritanya yang menarik dan memuaskan hati. Sesebuah karya itu juga memberikan rasa dan pengalaman yang berbeza-beza kepada sesiapa sahaja yang membacanya.

Maka itu, apakah yang pembaca cari dalam karya sastera? Adakah ceritanya atau rasanya? Jika mencari ceritanya, adakah mencari cerita yang lebih menarik, cerita yang ada kepuasan atau cerita yang menyedarkan diri atau masyarakat tentang realiti kehidupan? Persoalan lain, adakah pembaca mencari penulis yang hebat sehingga mampu menubuhkan kelab peminat dan mengumpulkan ribuan pembaca karyanya?

Semua itu bergantung pada apa yang pembaca cari dan rasa dalam sesebuah karya, sama ada rasa itu membahagiakan dirinya atau melukakan perasannya.

Sumber: Google

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.