Oleh MK Riza
8 Jun 2021, 18:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bolehlah hidup sebagai penulis?

Mungkin itulah pertanyaan sebahagian orang apabila diajukan soalan berkenaan kerjaya sebagai penulis. Mungkin akan ada yang terus berkata, menjadikan penulisan sebagai kerjaya tidak menjamin masa hadapan. Bahkan, dalam hierarki cita-cita, kerjaya sebagai penulis bukanlah berada pada tahap utama. Tanyalah kepada anak-anak kecil apakah cita-cita mereka?” Pastinya, penulis bukanlah pekerjaan yang menjadi jawapan popular.

Adakah penulisan tidak boleh dijadikan sebagai kerjaya?

Salah faham muncul apabila sebahagian masyarakat mengandaikan kerjaya sebagai penulis ini hanya penulis novel ataupun penulis karya sastera. Sedangkan skop kerjaya dalam bidang penulisan ini semakin meluas terutama apabila munculnya kepesatan medium media sosial. Tidak dinafikan bahawa kerjaya sebagai penulis novel sama ada berbentuk serius ataupun popular sangat diketahui oleh massa. Namun demikian, jika merujuk kepada situasi di Malaysia yang kadar pembacaan dan pembelian bukunya masih rendah, kerjaya sebagai penulis novel ini hanya dapat dinikmati oleh sebahagian penulis sahaja. Maksudnya, hanya segelintir penulis sahaja yang mampu menjadikan penulisan ini sebagai bidang yang memberikan pendapatan lumayan pada mereka. Perbandingan antara kerjaya sebagai penulis novel di Malaysia dengan negara Barat sudah tentu akan menunjukkan jurang kejayaan yang besar.

Walau bagaimanapun, terdapat banyak cabang penulisan yang dapat dijadikan kerjaya sama ada tetap ataupun sambilan. Misalnya, penulis skrip merupakan antara kerjaya dalam bidang penulisan yang mendapat sambutan. Keperluan syarikat televisyen dan syarikat produksi akan memberikan peluang pada penulis skrip. Namun menulis skrip untuk filem, drama, dan telefilem memerlukan penulis mengetahui tatacara dan kaedahnya kerana penulisannya tidak sama seperti menulis sebuah karya kreatif seperti novel. Setiap penulis perlu melalui beberapa proses sebelum hasil tulisan diterima oleh stesen televisyen dan seterusnya melakukan penggambaran.

 

Dalam bidang penulisan skrip radio pula, walaupun dikatakan sudah kekurangan peminatnya lantaran persaingan dengan televisyen dan media sosial, penulisan ini masih dapat bertahan. Penulisan skrip radio masih boleh dijadikan sebagai sumber bagi menjana pendapatan untuk penulis. Aminah Mokhtar merupakan antara nama penulis yang gigih menghasilkan drama radio sehingga memenangi pelbagai anugerah dalam penulisan skrip drama radio. Selain itu, Aminah Mokhtar juga giat menjalankan bengkel penulisan skrip untuk pembelajaran generasi baharu. Beliau bersama-sama Nuha Books juga menghasilkan Kumpulan Skrip Drama Radio Fajarul Ain yang mengumpulkan koleksi skrip drama radio terbaiknya.

 

Pada masa ini, perkembangan animasi tempatan semakin melonjak tinggi. Negara Malaysia semakin menyerlah dengan siri animasi yang setanding dengan negara luar seperti Upin dan Ipin, Boboiboy, Alif dan Sofea serta Didi and Friend. Peningkatan siri animasi ini menyebabkan keperluan kepada kerjaya penulis skrip animasi juga semakin bertambah. Berdasarkan temu bual penulis terhadap mereka yang berkecimpung dalam bidang penulisan skrip animasi, bayaran yang ditawarkan juga sangat lumayan sehingga mencapai ribuan ringgit untuk satu episod. Namun demikian, kadar pembayaran upah ini bergantung kepada organisasi atau syarikat yang menawarkan tugas tersebut.

Selain animasi, kerjaya penulis juga diperlukan dalam bidang komik. Mungkin banyak yang tidak tahu, dalam bidang penerbitan komik, bukan setakat pelukis diperlukan. Penulis komik juga memainkan peranannya yang tersendiri. Penulis komik akan bekerjasama dengan pelukis komik dan juga anggota kumpulan yang lain dalam menghasilkan watak, membina plot dan mereka jalan penceritaan. Ada juga penulis komik akan menukar teks yang berasal daripada buku cerita atau novel kemudian, membuat papan cerita untuk dilukis oleh pelukis. Situasi penulis komik ini juga sama dengan penulis dalam permainan video. Dalam penghasilan sesesuatu permainan video, seorang penulis sangat diperlukan untuk merangka dan mencipta penceritaan. Kerjaya sebagai penulis komik dan penulis permainan video ini kian berkembang.

Kepesatan media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan lain-lain membolehkan individu dan organisasi menjadikan platform media sosial ini sebagai tempat menjual dan melakukan pemasaran produk dan perkhidmatan. Lantaran itu, lahirlah kerjaya sebagai penulis iklan atau lebih dikenali sebagai penulisan iklan (copywriting). Penulis ini akan terlibat dalam pemasaran untuk iklan seperti di papan iklan, brosur, pamflet, kain rentang, gegantung, laman web, katalog dan sebagainya. Individu yang terlibat dalam kerjaya ini perlu menguasai perkataan dan pemasaran serta mampu menjana idea kreatif untuk memujuk pengguna bagi membeli barang atau perkhidmatan yang ditawarkan.  Di sinilah letaknya kekuatan penulisan seseorang penulis copywriting. Tidak banyak yang mampu menjadi penulis copywriting yang berjaya memujuk pembeli. Maka itu, kerjaya ini seharusnya berada dalam kelasnya yang tersendiri.

Seiring dengan perkembangan media massa juga, kita dapat melihat kewujudan kerjaya sebagai penulis kandungan atau content writer. Penulis ini dikehendaki menyediakan kandungan untuk diterbitkan dalam laman web, blog, portal, dan juga media sosial seperti Facebook dan Instagram. Pada hari ini, kita dapat melihat kewujudan pelbagai portal sama ada hiburan, isu semasa ataupun politik yang tentunya bersaing bagi mendapatkan audiens. Kehadiran audiens akan menentukan hidup mati portal ini dan sudah tentu, tugas untuk menggalakkan kedatangan audiens terletak dalam tangan penulis kandungan. Penulis kandungan perlu menghasilkan kandungan atau tulisan yang mesra SEO (Search Engine Optimization) sehingga meyakinkan enjin carian mengesyorkan tulisan yang ditulis pada pengguna atau pembaca. Trafik yang banyak dalam portal akan menghasilkan peluang yang lebih besar menjana pengiklanan dan seterusnya menghasilkan duit serta memberikan “nyawa” kepada portal tersebut.

Terdapat juga sebahagian individu atau syarikat mengupah penulis untuk menguruskan media sosial mereka. Penulis yang menguruskan media sosial ini perlu menghasilkan kandungan yang sesuai dengan pembaca sasaran, memenuhi kehendak majikan yang mengupah serta kreatif untuk menjana pengikut. Pada masa ini, jumlah pengikut yang besar akan memudahkan lagi urusan perniagaan dan pemasaran.  Pengikut yang banyak juga akan menaikkan imej dan meningkatkan kebolehan seseorang individu atau sesebuah syarikat melakukan pemasaran.

Pada masa ini, terdapat juga kerjaya sebagai penulis yang dikenali sebagai penulis siluman (ghost writer). Penulis ini berada di belakang tabir dan menyiapkan hasil penulisan yang diupah kepadanya. Skop tugasan penulis siluman ini bermula daripada penulisan laporan, teks ucapan, surat rasmi atau surat tidak rasmi sehinggalah menulis buku untuk pihak lain. Secara kebiasaannya, pelanggan yang mengupah ialah mereka dalam kalangan yang berwang dan mempunyai cerita, tetapi sibuk ataupun kurang mahir menghasilkan penulisan. Misalnya, banyak autobiografi dihasilkan oleh penulis siluman. Penulis akan bekerjasama dengan mereka yang mengupahnya untuk mendapatkan cerita dan akan menulis mengikut “suara” si pengupahnya. Penulis siluman biasanya bekerja di belakang tabir dan tidak dikenali. Selain itu, namanya juga tidak akan dipaparkan dalam bahagian buku. Penulis siluman akan mendapat upah atau bayaran dan wajib menjaga kerahsiaan. Pada masa ini, kerjaya sebagai penulis siluman ini semakin berkembang dan kadar upah yang diberikan juga lumayan.

Adakah anda pernah mendengar tentang kerjaya sebagai penulis teknikal? Ya, memang jarang-jarang diketahui, tetapi kerjaya tersebut sememangnya wujud! Penulis teknikal berperanan untuk memindahkan ayat-ayat yang berbentuk teknikal kepada ayat yang lebih mudah untuk difahami oleh orang lain yang bukan berada dalam bidang yang ditulis olehnya. Penulis sendiri pernah mendapat tawaran untuk memindahkan tulisan yang berbentuk teknikal  dalam bentuk graf dan carta kepada suatu teks yang senang untuk difahami dan bayaran yang diberikan pula sangat berbaloi.

Satu lagi bidang yang menjanjikan pendapatan lumayan dalam bidang penulisan ialah penulis buku teks, buku kerja, buku rujukan ataupun lebih dikenali sebagai penulisan dalam bidang sukatan pelajaran. Buku-buku pembelajaran sebegini memang menjadi perhatian dalam kalangan ibu bapa dan pelajar bagi memastikan kecemerlangan dalam pelajaran. Namun demikian, untuk menjadi penulis bagi buku sukatan pelajaran, seseorang itu harus berpengalaman dan mempunyai pengetahuan dalam mata pelajaran yang ditulis olehnya. Penulis juga harus mengetahui pedagogi pembelajaran dan khatam dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) yang menjadi “kitab” dalam penulisan genre akademik ini. Secara kebiasaannya, penulis yang terlibat dalam penulisan buku-buku sukatan pelajaran ini ialah guru-guru yang mempunyai pengalaman mengajar dan memahami keperluan pembelajaran murid.

Penulisan dapat dijadikan sebagai bidang kerjaya yang lumayan jika kita membuka minda bahawa menulis bukan hanya setakat menulis novel sahaja. Beberapa kerjaya yang dinyatakan dalam artikel ini hanya sekadar memetik beberapa contoh, sedangkan masih banyak lagi kerjaya dalam bidang penulisan yang dapat diteroka. Sesuai dengan kepesatan teknologi juga, mungkin akan ada kerjaya baharu dalam bidang penulisan yang akan wujud. Mungkin, pada suatu hari nanti bidang penulisan akan terus berkembang dan menjadi kerjaya profesional yang diiktiraf. Pada masa itu, jika ditanya pada anak-anak kecil, “Apakah cita-cita awak?” Kita pastinya akan berbangga jika mereka menjawab, “Saya nak jadi penulis!”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.