4 Jun 2021, 15:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Hebatnya karya sastera itu terletak pada bahasanya. Melalui karya sastera, penulis bermain dengan gaya bahasa yang menjadi alat untuk merangka persoalan, membina plot, dan mencipta konflik dalam usaha menghasilkan cerpen.” Itulah frasa pembukaan yang dilontarkan oleh Saifullizan Yahya selaku penceramah Kursus Penulisan Kreatif: Cerpen anjuran Akademi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Ternyata, kursus yang berlangsung secara maya menggunakan aplikasi Zoom selama dua hari, 2 dan 3 Jun 2021, berjaya menyuntik semangat peserta kursus untuk menghasilkan cerpen.

Saifullizan Yahya selaku penceramah kursus.

Pada hari pertama kursus, Saifullizan yang juga Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, DBP membawa peserta berkenalan dengan apa itu sastera dan kesusasteraan. Beliau yang juga penulis cerpen yang prolifik menyatakan bahawa sastera ialah ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa. Kekuatan karya sastera itu terletak pada bahasa, dan sastera itu suatu wadah seni untuk memperindah bahasa, terutama melalui alat yang dinamakan gaya bahasa. Kesusasteraan pula merupakan kumpulan tulisan atau buku yang indah bahasanya dan baik isinya. Maka jelas bahawa indahnya sastera itu kerana bahasa, dan bahasa itu hidup melalui karya sastera.

Bertepatan dengan matlamat kursus, iaitu melahirkan penulis karya kreatif, Saifullizan menjelaskan apa sebenarnya yang ada pada penulis dan berkongsi tip bagaimana untuk menjadi penulis. “Sebagai penulis, kenal pasti apa yang menjadi minat kita. Sebabnya, setiap penulis pasti ada minat pada subjek tertentu, dan subjek itulah yang akan dibawa dalam penulisannya. Contohnya, jika meminati “ayah” sebagai subjek, maka penulis akan menjadikan subjek ayah sebagai persoalan dalam penulisannya.” Mengulas lanjut perkara tersebut, Saifullizan memberitahu beliau gemar pada subjek batu. Maka, beliau akan mengolah persoalan tentang batu dalam cerpennya melalui unsur metafora atau perlambangan. Tambahnya lagi, “penulis perlu kenal dirinya sendiri. Setiap individu yang menjadi penulis itu pasti ada suatu ‘rasa’ yang terbenam dalam dirinya, dan ‘rasa’ itulah yang biasanya mahu dilepaskan dari dalam diri penulis dengan cara mengisahkan atau mengolah ‘rasa’ itu menjadi cerpen. Penulis juga begitu menghargai pengalamannya, dan akan menuangkan pengalaman itu dalam karyanya untuk dihayati oleh pembaca cerpen.” Pendek kata, penulis biasanya menulis mengikut gerak hati dan rasa, dan penulis ialah perakam peristiwa dalam bentuk kreatif.

Antara maklumat yang dikongsi oleh penceramah.

Penceramah tidak lupa menjelaskan maksud cerpen, iaitu kisah rekaan yang relatif pendek, yang dihasilkan dalam bentuk prosa. Dilihat dari segi panjang pendeknya, sebuah cerpen biasanya mengandungi antara 500 hingga 15 000 perkataan. Jurang perbezaan dari segi jumlah perkataan ini menunjukkan bahawa terdapat bentuk karya sama yang dikenali sebagai cerpen pendek dan cerpen panjang. Cerpen berbeza daripada sketsa dan anekdot melalui perkembangan bentuknya yang jelas dan dengan susunannya yang lebih kukuh. Cerpen mempunyai kesatuan yang dicapai, terutama melalui jalinan plot, selain diikat dengan unsur lain seperti kesan, tema, watak, nada, mood dan gaya.

Sebagai penulis pemula, Saifullizan menyarankan penulis merujuk Glosari Istilah Kesusasteraan (terbitan DBP, 2018) dan Kamus Puisi (terbitan DBP, 2005) bagi membantu penulis memahami dan mengetahui unsur, gaya dan teknik yang berkaitan dengan penulisan karya kreatif seperti cerpen dan puisi. Selain bahan rujukan, beliau juga menekankan pentingnya penulis kerap membaca dan membaca karya orang lain untuk mendapat idea, selain sebagai pelincir untuk mencairkan idea dan menggerakkan motor penulisan. Walaupun sudah lama menjadi penulis dan menghasilkan beberapa karya, Saifullizan memastikan dirinya membaca sekurang-kurangnya satu cerpen setiap hari. “Hanya dengan membaca shaaja dapat membantu penulis menjana idea.” Demikian kata beliau apabila ditanya apa pentingnya membaca kepada penulis.

Banyak ilmu penulisan kreatif yang diajar oleh penceramah melalui kursus ini, seperti ciri dan bentuk cerpen, bahan yang membina cerpen, tema, motif, sudut pandangan, teknik penulisan dan proses kreatif (dalaman dan luaran). Dalam sesi akhir pada 3 Jun 2021, setiap peserta kursus berkongsi idea penulisan dan idea itu diulas oleh penceramah bagi membantu penulis pemula khususnya untuk menghasilkan cerpen. Antara komen yang dilontarkan oleh penceramah ialah cipta idea yang menarik, olah konflik yang kuat, berhati-hati dengan teknik yang dipilih, tentukan sudut pandangan, kerap berimaginasi untuk menggerakkan jalan cerita, dan baca berulang kali cerpen yang ditulis untuk tujuan pemurnian dan pemantapan jalan cerita.

Yang menariknya, hasrat peserta untuk menjadi penulis kreatif tidak berakhir setelah tamatnya kursus. Setiap peserta dikehendaki menghasilkan satu cerpen, seterusnya cerpen tersebut akan dibaca dan dinilai oleh penceramah. Cerpen yang melepasi “standard kualiti dan penilaian” penceramah akan dipertimbangkan untuk disiarkan dalam majalah terbitan DBP. Tujuannya bagi memotivasikan peserta, memanfaatkan apa yang dipelajari melalui kursus dan seterusnya menjadi penulis kreatif yang tekal berkarya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.