Oleh Nimoiz T.Y.
4 Jun 2021, 15:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Oleh: Nimoiz T.Y

Dengan tema “Bahasa, Sastera dan Budaya Mendepani Cabaran Pembinaan Negara Bangsa”, Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Dewan dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu (RENTAS 2021). Persidangan yang telah berlangsung pada 2 hingga 3 Jun 2021 ini melibatkan lebih 100 pembentang dari dalam dan luar negara. Menariknya, RENTAS 2021 telah membariskan dua tokoh hebat sebagai pengucap utama, iaitu Profesor Dato’ Dr. Teo Kok Seong, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) dan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau telah berkongsi wacana yang bertajuk, “Pemartabatan dan Pengantarabangsaan Bahasa Melayu”. Ucaptama kedua pula telah disampaikan oleh Profesor Madya Dato’ Dr. Nuraini Yusoff yang merupakan Ketua Penyelaras Unit Bahasa Melayu, Jabatan Canselori, UUM dengan tajuk, “Memperkasa Kluster Ilmu”.

Selaras dengan hasrat pengucap utama dan subtema “Pemartabatan dan Pengantarabangsaan Bahasa, Sastera dan Budaya Serta Pengurusan dan Pemasaran Produk Bahasa, Sastera dan Budaya”, salah seorang pembentang, iaitu Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub terpanggil untuk berkongsi pengalaman tentang buku yang diterbitkan sendiri. Dengan kertas kerja bertajuk, “Terbit Sendiri vs Terbit Konvensional Buku: Antara Cabaran, Perbandingan dan Strategi Pemasaran”, beliau berkongsi bahawa menerbitkan buku sendiri memang tidak asing lagi dalam kalangan penulis muda di Malaysia. Penulis muda seharusnya tidak hanya bergantung kepada penerbit besar kerana usaha memartabatkan bahasa Melayu seharusnya menjadi tanggungjawab bersama selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Menariknya, penulis muda bebas menerbitkan buku dalam kuantiti yang sedikit dengan minimum sebuah buku sahaja. Pada masa ini, terdapat banyak kilang cetak yang menerima cetakan buku dengan jumlah yang sedikit. Antara yang popular dalam kalangan penulis swaterbit ialah Gogoprint, Book-Printing, Jin Wai Enterprise, Imagemagic, Si Tukang Cetak, Iman Genius, Tukang Buku, Book Garden Printing, Tukang Cetak Buku dan Zine serta banyak lagi. Dengan konsep cetak berdasarkan permintaan, penulis tidak terbeban dengan modal yang besar.

Terdapat banyak perisian mesra pengguna untuk mereka bentuk sesebuah buku. Antara perisian profesional ialah Adobe Photoshop, Adobe Ilustrator dan Adobe Indesign. Namun kini, sudah banyak penulis muda yang hanya menggunakan Microsft Publisher, Microsoft Word atau Microsoft PowerPoint selain Canva untuk mereka bentuk sesebuah buku. Ramai orang berkongsi langkah demi langkah untuk mereka bentuk buku di laman Youtube. Antara perisian lain yang boleh digunakan ialah Affinity Publisher, Booksmart, Bookletcreator, PDF Booklet, Canva dan banyak lagi. Hasilnya juga memuaskan dan setara dengan perisian profesional yang lain. Dari aspek suntingan, penulis boleh mengupah rakan-rakan editor yang bersedia memastikan buku bebas daripada kesalahan ejaan dan tatabahasa.

Aspek pemasaran buku juga semakin mudah dengan perkembangan Internet dan media sosial. Penulis boleh menjual buku dengan saluran media seperti Facebook, Telegram, Instagram, Shopee, onpay atau landing page. Sebelum menerbitkan dan memasarkan buku yang diterbitkan sendiri, penulis muda perlu tahu apakah kriteria utama yang menjadi tarikan utama pembeli. Antaranya ialah kulit buku yang memikat, tajuk yang menyengat, susun atur yang cantik, harga yang berpatutan dan lain-lain lagi.

Selain Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub, antara barisan penulis muda lain yang turut menyumbang kertas kerja dan membuat pembentangan dalam persidangan ini ialah Faraha Hamidi, Azree Ariffin, Zulfazlan Jumrah, Mohd Hanafi Jumrah, Nurul Julia Alani Henry, Siti Noorisa Abdul Khlil dan Mohd Haniff Mohammad Yusoff.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.