25 April 2021, 22:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Oleh: Nurul Julia

Meredah Kabus, terbitan DBP.

Kuala Lumpur.  Pernah menjadi penulis muda yang ditemu ramah dalam ruangan Borak Orang Muda dan menjadi penghias kulit hadapan majalah Tunas Cipta keluaran Januari 2021, kini Chua Pei Yong tampil dengan karya terbaharu berjudul Meredah Kabus. Bagi mempromosikan karya tersebut, Bahagian Buku Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengundang Chua Pei Yong untuk mengisi rancangan Bicara Karyawan yang disiarkan secara langsung melalui Studio Pesona DBP pada 12 April 2021. Rancangan temu bual ini diadakan secara lintas langsung dengan penulis buku yang berlangsung selama satu jam, bermula pukul 12.00 tengah hari hingga 1.00 petang.

Meredah Kabus merupakan antologi cerpen yang diselenggarakan oleh Chua Pei Yong, yang turut memuatkan dua cerpen beliau sendiri, termasuk 21 cerpen oleh  penulis seperti Saini Andosin, Tanusya Shanmuganathan, Jamail Masador, Fhennie Arryka Anak Wan, Anuradha Chelliah dan Mohd. Firdaus Abd Salam. Yang menariknya, kesemua penulis yang menyumbang cerpen dalam antologi Meredah Kabus terdiri daripada pelbagai kaum dan mendapat bimbingan daripada penulis prolifik, Azmah Nordin. Menurut Chua Pei Yong, selaku penyelenggara karya tersebut, usaha yang beliau lakukan ialah mencari penulis dan mengatur beberapa siri bengkel yang dibimbing oleh Azmah bagi memurnikan karya penulis untuk dimuatkan dalam antologi Meredah Kabus. Perkara utama yang dibicarakan oleh Chua Pei Yong berkenaan dengan cerpen yang terkandung dalam antologi Meredah Kabus ialah tema dan persoalan yang diketengahkan oleh penulis. Hampir keseluruhan cerpen memaparkan kisah yang bertujuan untuk memberikan motivasi dan pedoman hidup.

Menurut Chua Pei Yong, antologi cerpen ini menumpukan aspek motivasi dan bagaimana menyelesaikan konflik yang dialami oleh setiap orang dalam kehidupannya. Tambah beliau, jangan mencari jalan mudah dan tidak berputus asa apabila menghadapi konflik, tetapi cari motivasi untuk menguatkan semangat kita untuk menghadapi dan menyelesaikan konflik tersebut. Perkataan “kabus” pada judul antologi ini sebenarnya perlambangan bagi “konflik” dengan maksud meredah konflik dalam kehidupan. “Oleh sebab itulah, judul cerpen ‘Meredah Kabus’ tulisan Saini Andosin dipilih sebagai judul antologi ini bagi menonjolkan tema motivasi dan persoalan konflik,” demikian menurut Chua Pei Yong.

Membicarakan cerpen beliau sendiri, satu daripada cerpennya yang bertajuk “Buih-buih Klorheksidina” ditulis berdasarkan pengalamannya selaku graduan diploma bidang farmasi. Konflik yang diketengahkan oleh Chua Pei Yong berkaitan dengan watak wanita yang menerajui Jabatan Farmasi namun berdepan dengan kakitangan yang tidak menghormati ketua dan tidak menurut tatacara yang betul semasa menetapkan sukatan ubat untuk diberikan kepada pesakit. Chua juga menjelaskan semasa menghasilkan cerpen tersebut, beliau merujuk buku dan laman web yang berkaitan dengan ubat-ubatan. Bagi mencantikkan gaya bahasa penulisan pula, Chua merujuk Pusat Rujukan Persuratan Melayu (www.prpm.dbp.gov.my) untuk memilih kata-kata yang tepat dan sesuai dengan jalan dan isi cerita.

Sebelum mengakhiri bicaranya, Chua Pei Yong turut mempromosikan buku beliau yang diterbitkan oleh DBP. Dengan rasa bangga Chua Pei Yong berkongsi maklumat tentang buku Addison, Aku Tetap Juara yang tersenarai dalam calon akhir Anugerah Buku Malaysia kategori Buku Remaja. Rancangan yang berlangsung pada waktu makan tengah hari ini mendapat 561 tontotan daripada pelayar Facebook DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.