Oleh Zulaikha Adam
29 Mac 2021, 17:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nian tersedar daripada lelap, namun kelopak matanya berasa sukar untuk dibuka padahal dinihari sudah lama bersedia bertemu dengannya. Tetapi, dia kelihatan tidak bersedia menemui hari ini dan apa-apa sahaja yang bakal mendatangi.

***

Segelas kopi kampung, sepiring penganan dan sebiji abung yang sudah dibelah kepada beberapa potongan kecil terhidang di atas meja makan. Santapan itu disambut perlahan seorang lelaki bersama senyum campah.

“Apalah nasib si Jimmy. Dahlah semalam hujan lebat.” Keluhan berat terlepas bersama asap kopi panas yang dihirup.

“Hum … nanti baliklah tu.” Kata-kata Nian langsung tidak menampakkan galau. Tidak seperti suaminya yang tidak dapat tidur dengan lena kerana memikirkan keadaan Jimmy yang langsung tidak pulang.

“Abang pergi dulu. Kalau Jimmy masih tak balik, nanti abang minta tolong daripada Pak Mahat untuk cari di kampung sebelah. Tak terdaya abang nak cari sendiri.” Nian mengangguk, menyalami tangan suaminya itu dan berlalu memasuki kamar tidur dengan longlai.

Dia ingin memejam mata semula. Dia mahu melupakan banyak perkara, terutama tentang nasib telah menolak dia ke dalam gaung hidup yang tidak bertujuan. Dia mahu menutup mata lama-lama, dengan harapan apabila matanya terbuka semula, tiada apa yang harus disesalkan.

***

Jimmy ditemukan dalam keadaan selamat. Jimmy dibersihkan, dimandikan dan diberi makan. Ini merupakan kali kedua Jimmy meloloskan diri, membawa diri entah ke mana.

“Abang rasa Jimmy bosan. Sebab tu dia selalu larikan diri.” Haslam menyuakan nasi panas ke dalam mulutnya yang besar ternganga.

“Agaknya lah abang.” Nian merenung pinggan. Jimmy langsung tidak singgah dalam fikirannya.

“Esok abang nak carikan pasangan untuk Jimmy. Boleh berteman.” Senyuman nakal terukir di bibir Haslam.

Sejak itu, Mimmy menemani Jimmy. Seekor kambing betina yang sudah dara, lebih kurang seusia dengan Jimmy. Pertemuan antara Jimmy dengan Mimmy menyaksikan adegan cinta yang lucu. Akhirnya, Mimmy bunting dan selamat melahirkan tiga ekor anak kambing yang saling tidak tumpah seperti kedua-dua ekor kambing itu.

Bertambah sibuklah Haslam, juga bertambah buncahlah jiwa Nian kerana setelah kelahiran anak-anak kambing tersebut, Nian diajak bersama ke kandang setiap hari untuk membantu suaminya. Terbina sebongkah bebanan di atas bahu Nian. Segera Nian teringat nasihat seorang sahabatnya, Safiah.

“Reda Allah SWT terletak pada reda suami kau, Nian. Kau harus akur. Harus telan dengan senyuman segala kekurangan dia.” Safiah sememangnya seorang sahabat syurga kerana tidak pernah lupa mengingatkan Nian tentang perbatasan dosa dan pahala.

“Tapi aku tak sangka bahawa hidup aku akan berubah seburuk ini.”

“Takdir itu indah Nian, jika kau reda. Berlapang dada. Berbangga dengan sekecil-kecil perkara yang kau ada.”

“Tidak ada apa untuk aku bangga. Keluarga, saudara-mara dan kawan-kawan mencemuh aku. Seolah-olah aku ni seekor keldai dicucuk hidung, menurut tuannya ke mana saja.”

“Jiwa mereka tak sebesar jiwa kau, Nian.” Kata-kata Safiah cuba dijadikan didikan hatinya. Namun, entah mengapa, Nian selalu tewas.

***

Tengah hari itu kejutan tiba bersama sepucuk surat. Surat tawaran kemasukan kerja di ibu kota. Haslam menerima surat itu dengan mata berkaca-kaca.

“Abang pergi?” Nian masih belum bersedia ditinggalkan.

“Ya, sayang. Abang perlu pergi untuk kita berdua. Cukup-cukuplah abang menelan apa yang kamu telan selama ini.” Haslam mengusap ubun-ubun Nian.

“Saya ingat selama ini abang tak peduli dengan keadaan saya.” Esak Nian mula pecah. Dalam kesedihan, kesyukuran bercampur baur dengan pandangan terhadap masa hadapan yang masih kabur.

Setelah sepeninggalan haslam, Nian mengambil alih kandang kambing pemberian arwah ibu bapa mentuanya dengan jiwa yang berat dan terpaksa. Hari-hari dilalui dengan perasaan kosong, namun hatinya sedikit terubat kerana suaminya sudah memiliki pekerjaan. Cukup untuk mereka berdua. Setelah kambing lama habis dijual bagi meneruskan kelangsungan hidup, dia harus memastikan generasi kambing baharu membiak semula.

Tanpa disedarinya, kelahiran Hero mengubah Nian. Hero merupakan anak kepada Mimmy dan Jimmy. Melihat keadaan Hero yang berbeza daripada kambing lain, Nian bertekad untuk mengaktifkan semula akaun laman sosial yang selama ini tidak diaktifkan kerana tidak tahan melihat kehidupan netizen yang tampak sangat bahagia.

Dia menghubungi teman sekuliahnya dahulu, Max melalui Mesengger. Sudah lama dia tidak berhubung dengan anak kelahiran Australia kacukan Melayu itu. Dia tahu Max berpengetahuan tentang haiwan ternak kerana dahulu Max pernah bercerita kepadanya bahawa ayahnya seorang penternak kambing dan biri-biri.

“Kehadapan Max. Apa khabar kamu di sana? Dah enam tahun kita tak
bertemu. Saya baru menyambut kelahiran seekor anak kambing. Namun anak kambing ini kelihatan bermasalah kerana mengalami lumpuh ringan di badan sebelah kanan. Lidahnya sentiasa terkeluar. Matanya dipenuhi selaput seolah olah buta. Telinga kanannya pula lebih pendek daripada telinga kiri. Anak kambing itu sukar makan dan tak dapat berdiri sendiri. Sejujurnya, ini merupakan pengalaman pertama saya berhadapan dengan situasi ini. Saya berasa amat bimbang dan berharap agar kamu sedia membantu saya. Terima kasih.

Mesej tersebut dilayangkan dengan perasaan gundah-gulana. Beberapa gambar Hero berserta video turut dihantar. Pada awalnya, Nian beranggapan mesejnya tidak dipedulikan oleh Max. Namun pada hari ketiga selepas mesej itu dilayangkan, Max membalasnya.

“Salam sejahtera . Semoga Tuhan merahmati anak kambing kesayangan kamu!  Saya di sini sihat, cuma sibuk menguruskan kandang. Saya berbesar hati untuk membantu dan mahu mengetahui lebih banyak tentang anak kambing comel itu. Saya akan menghantar gambar dan video yang kamu berikan kepada doktor haiwan di sini dan mendapatkan maklum balas tentang masalah ini. Oh ya, adakah anak kambing kamu masih boleh diberi makan? Atau sama sekali tak boleh? Berapa umurnya? Menurut pengetahuan saya, terdapat sindrom yang dipanggil floppy goat yang boleh terjadi kepada anak kambing berumur tiga hingga 10 hari.”

Tanpa membuang masa, Nian membalas. “Terima kasih, Max! Umurnya dua tahun dan penyakit tersebut menyerang sebaik-baik saja dia dilahirkan. Saya langsung tidak berpengalaman mengatasi masalah ini. Saya harap benar kamu dapat membantu.

Selang beberapa minit, Max tampil dengan satu idea. “Saya ada satu cadangan. Cuba campurkan satu sudu teh serbuk penaik bersama secawan air, kemudian berikan minuman itu kepadanya. Jika anak kambing itu terkena sindrom kambing liut yang saya nyatakan, maka kaedah ini akan membantu. Tunggu dan lihat responsnya nanti.

Setelah berterima kasih kepada Max, Nian terus mencuba kaedah yang dicadang oleh Max. Sementara menanti Hero sihat, Nian menulis dalam sebuah diari. Diari itu penuh dengan kisah kelahiran Hero sejak anak kambing itu dilahirkan. Panggilan masuk melalui telefon bimbitnya. Nian menjawab salam dengan suara penuh kerinduan.

“Alhamdulillah, saya sihat. Kambing kita juga semua sihat, bang. Mereka tak sabar tunggu abang balik.”

Mendegar kata-kata Nian, Haslam tergelak besar. Dia juga tidak menyangka, Nian yang dahulunya membenci kehidupan kolot di kampung, kambing yang terpaksa dibela kerana merupakan peninggalan, kini semakin seronok. Nian pula terkenang sesuatu dan berkata-kata kepada dirinya.

“Dulu-dulu bila cikgu tanya aku mahu jadi apa bila besar, aku selalu jawab mahu jadi doktor haiwan. Tapi, mak ayah suruh aku jadi jurutera dan aku pula sibuk nak bernikah awal. Tak sangka, akhirnya ini jalan yang Allah SWT beri untuk aku jadi doktor haiwan.” Nian mengimbau kisah hidupnya sendiri.

Setibanya di kandang, dia meletakkan sebiji baldi di atas lantai. Lalu, dia memerah susu Mimmy. Susu segar itu diberikan kepada Hero dan selebihnya disimpan di dalam peti sejuk rumah untuk diminum sendiri sehari-hari. Sambil memerah suus, Nian tidak melepaskan pandangannya terhadap Hero. Tanpa dipanggil, Hero mendekat kepadanya dan menggeselkan kepala di badan Nian.

“Kasihan … sebelah kaki kamu ini masih lembik. Masih tak kuat nak jalan.” Nian memangku Hero di atas ribanya. Diusap belakang badan Hero dengan lembut.

“Cubalah berdiri. Tegakkan kaki kamu.” Nian cuba meletakkan Hero di atas lantai dan menyokong badan Hero. Seperti seorang bayi yang baru mula menapak, begitula Hero mencuba nasib untuk berjalan sendiri.

“Wah, sudah boleh berdiri sendiri!” Nian menjerit akibat terlalu gembira. Hero sudah mampu berdiri dengan kedua-dua belah kakinya.

“Plup… .” Namun tidak lama. Hero terjelepuk semula selepas beberapa langkah. Nian meluru ke arah Hero, mendukung Hero lalu memeluk Hero sekuat hati.

“Aku terlalu memaksa kah? Maafkan aku!” Nian menitiskan air mata di belakang badan Hero yang dirasakan terlalu dipaksa untuk berjalan.

***

Pagi ini dalam kumpulan WhatsApp keluarga Nian kecoh gara-gara Nian melayangkan sekeping swafotonya bersama Hero dengan kapsyen, “bersama kesayangan saya.”

Ibu Nian melenting dan mengatakan Nian buang tabiat. Tambahan pula, sudah tiga tahun mereka semua menunggu Nian melahirkan zuriat. Nian kecewa, tetapi tidak lagi kepada dirinya serta takdir hidupnya. Perkembangan Hero juga semakin  baik. Max pula tidak henti-henti melayangkan mesej motivasi kepadanya. Kenangan menyambut kelahiran Hero tidak dapat dilupakannya. Masih jelas, bau hanyir yang kuat menembusi lubang hidungya. Lendir yang menyalut tangannya sehingga ke lengan, serta darah yang terpecik di wajah dan bajunya.

Keajaiban semakin tiba. Hero sudah pandai bermain-main dengan kumpulan anak kambing yang lain. Melompat-lompat dan mengembek dengan ceria sekali. Hero sudah boleh menggaru leher menggunakan kaki belakang dengan badan yang stabil. Hero juga sudah pandai menyusu badan ibunya tanpa memerlukan bantuan Nian yang sebelum ini menampung kepala Hero sepanjang kambing genit itu menyusu.

***

Pagi itu Nian bangun lebih awal daripada selalu kerana hari ini adalah ulang tahun kelahiran Hero yang pertama. Sudah tentu Nian ingat kerana segala kisah tentang Hero dicatat dalam diari berkulit keras itu. Belum sempat dia bangkit dari katil, telefon bimbitnya berdering bingit.

“Jawatan abang dah tetap di sini. Minggu depan sayang ikut abang pindah sini, ya. Kita jual semua kambing di kandang.” Suara Haslam kedengaran bertenaga.

Namun tidak Nian. Telefon bimbit itu terlepas daripada tangannya dan kakinya terus disegerakan menuju ke kandang. Jantungnya berdebar kencang. Kekuatannya meluruh. Seakan momiji yang melayang-layang dihembus angin setelah musim luruh tiba. Langkahnya tersangat cepat menghampiri berlari. Dia tidak akan merelakan kambing peliharannya dijual. Tidak. Tidak mungkin.

Suasana di kandang agak riuh. Dari jauh Nian terlihat Mimmy terlompat-lompat seperti ada sesuatu yang tidak kena. Nian menaiki anak tangga dan menguak pintu kandang dengan tersangat perlahan. Suara lelah masih jelas kedengaran pada hela nafasnya. Di atas lantai, terbaring seekor anak kambing tanpa sebarang gerak lagi. Pesan Max terdahulu tentang jangka hayat Hero merentap ingatan Nian. Dia memejam mata serapat-rapatnya. Kakinya melemah sehingga dia terpaksa melutut di dasar lantai dan apabila matanya dibuka, Hero sudah benar-benar mati di hadapannya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.