19 Februari 2021, 13:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUBANG KERIAN – Baru-baru ini, Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah melancarkan tiga buah antologi cerpen dan novel. Antologi ini merupakan hasil karangan daripada 17 orang staf USM Kampus Kesihatan. Mereka tergolong dalam kalangan pensyarah dan doktor yang telah mengikuti Bengkel Fiksyen Perubatan, seliaan DBP. Sememangnya, bengkel tersebut berjaya mencungkil dan mengetengahkan bakat warga Kampus Kesihatan dalam bidang penulisan.

Pelancaran antologi yang disempurnakan oleh Profesor Dr. Adam Husein, Timbalan Pengarah Kampus Kesihatan telah diadakan di Dewan Pepustakaan USM Kampus Kesihatan. Dalam ucapannya, Profesor Dr. Adam berkata, “penghasilan tiga buah buku ini amat besar maknanya kepada USM dan seluruh warga Kampus Kesihatan, selain menjadi wadah perjuangan perkhidmatan perubatan.”

Dua buah novel yang dihasilkan ialah Isabella Adriani dan Cinta Nan Bersemi Kembali, serta sebuah buku antologi cerpen bertajuk Isteriku 46 XY. Antologi cerpen tersebut memuatkan 23 buah karya cerpen yang ditulis berdasarkan daripada pengalaman penulis sendiri. Kebanyakkan cerpen mencerita kisah benar yang berlaku dalam kalangan masyarakat di sekeliling mereka. Antologi cerpen dan novel tersebut merangkumi pelbagai bidang perubatan, antaranya kesihatan wanita, perubatan keluarga, psikiatri serta telinga, hidung dan tekak.

Sementara itu, Profesor Dr. Irfan Mohamad, Pensyarah Perubatan dalam ucapan mewakili penulis berkata, “idea menghasilkan antologi cerpen adalah tindakan spontan semasa menyertai bengkel penulisan kelolaan DBP. Pada mulanya kami sekadar ingin belajar menulis, tetapi tidak menyangka bahawa banyak dalam kalangan kami menyimpan pelbagai cerita dan kisah menarik bersama-sama pesakit. Kami telah murnikan dari segi tatabahasa, bahasa dengan penambahan nilai ekstetika dan kesusasteraan, tetapi menggunakan gaya serta lenggok bahasa yang mudah. Tujuannya adalah bagi membolehkan masyarakat umum memahami maksud sebenar, dan karya ini menjadi bahan bacaan umum.”

Profesor Dr. Irfan mengalu-alukan warga kampus yang berminat untuk menghasilkan karya kreatif kerana penghasilan antologi cerpen pada kali ini bukan dalam kalangan pakar perubatan sahaja, malahan turut disertai oleh Guru Bahasa dan Juruteknologi Makmal Perubatan. Setakat ini, sebanyak sembilan judul telah diterbitkan hasil bengkel tersebut yang telah diadakan sejak tahun 2013 lagi.

Sejak diadakan bengkel penulisan dari tahun 2013 lagi, sebanyak sembilan judul karya telah berjaya diterbitkan dalam kalangan warga USM Kampus Kesihatan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.