19 Februari 2021, 13:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Era digital sarat dengan hal yang kompleks. Teknologi data raya, dunia tanpa sempadan pembangunan aplikasi atau kecerdasan buatan tidak pernah lekang daripada perbualan setiap hari. Internet boleh diumpamakan sebagai pintu yang membolehkan seseorang ke mana-mana sahaja mengikut keperluan dan kehendaknya. Konsep ini mengingatkan pada dokodemodoa (pintu ke mana-mana sahaja) yang cukup ikonik dalam siri animasi Jepun, Doraemon. Pintu ini membolehkan watak dalam siri ini ke mana-mana sahaja, sama ada untuk menyelesaikan sesuatu misi atau membawa pulang bencana yang mencetuskan konflik lebih besar.

Dunia penulisan kreatif tidak terkecuali daripada tempias kepesatan teknologi ini. Jika ketamadunan sesebuah bangsa di dunia terbina bersama-sama perkembangan persuratan dan kesusasteraannya, adakah penulis dan penulisan bergerak seiring revolusi digital ini? Bagaimana penulis memastikan diri dan karya mereka kekal relevan dalam mendepani kompleksiti ini?

Artikel ini akan melihat pada landskap digital pada hari ini, dan peluang kepada para penggiat penulisan kreatif dan pengkarya sastera beradaptasi pada era digital. Menurut Digital Malaysia, hingga Januari 2020, 83 peratus daripada populasi rakyat Malaysia merupakan pengguna Internet, dan 81 peratus pula mempunyai akaun media social, terutamanya Facebook. Di manakah titik letaknya kelompok penulis dan penggiat kesusasteraan tanah air di tengah-tengah rumpun populasi digital ini?

Mengimbas tentang transisi cabaran hubungan antara penulis dengan editor, situasinya seakan-akan dalam sebuah filem biografi yang berjudul Genius (2016). Filem arahan Michael Grandage ini telah menampilkan watak Max Perkins yang digambarkan sebagai seorang editor buku terkemuka. Walau bagaimanapun, dia berhadapan dengan cabaran dalam menangani manuskrip penulis seperti F Scott Fitzgerald, Thomas Wolfe and Ernest Hemingway serta menerima pelbagai kiriman manuskrip secara pos. Kemudian, era ini beredar pada kiriman faksimili, e-mel, berkarya di blog dan kini, saling berbalas pesanan dalam media sosial.

Jika suatu masa dahulu, penulis yang menghantar karya perlu menanti dalam tempoh yang agak lama bagi mendapatkan maklum balas daripada pihak editorial sesebuah penerbitan, tetapi pada hari ini, jawapan penerimaan atau penolakan sesebuah manuskrip boleh diterima dengan lebih pantas. Namun begitu, prosesnya bergantung pada prosedur sesebuah rumah penerbitan.

Dengan segala fasiliti teknologi dan kepekaan terhadap perkembangan digital, penulis mempunyai lebih banyak pilihan untuk berkarya tanpa bergantung pada ruang terhad penghantaran karya gaya konvensional dalam kolum sastera terbitan media arus perdana.

Imbangan Ekosistem Media Cetak dan Media Sosial

Persepsi bahawa menulis dalam media sosial sebagai satu perkara yang tidak berfaedah dan tidak mendatangkan pulangan atau honorarium perlu kita perbetulkan. Media cetak dan media sosial perlu dilihat sebagai satu ekosistem yang saling melengkapi. Ini bukan soal perbezaan generasi. Sebaliknya, kesediaan seseorang memanfaatkan perkembangan teknologi digital.

Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan, figura penting kesusasteraan tanah air turut beradaptasi dengan perkembangan media sosial. Selain akaun Facebook, Zurinah turut memanfaatkan akaun Twitter untuk berkongsi pandangan, petikan karya serta mempromosikan buku terbaharu terutamanya karya beliau sendiri. Pendekatan ini dilihat berupaya menggalakkan apresiasi terhadap sastera dan dunia penulisan kreatif dalam kalangan setiap generasi.

Seterusnya, kita melihat pula komitmen sekumpulan pencinta puisi yang membina komuniti Facebook Tukang Puisi. Menurut komuniti tersebut, media sosial adalah masa hadapan sastera dan arus perdana bukan lagi kebergantungan utama. Tukang Puisi mempunyai tidak kurang daripada 37 ribu pengikut sehingga tulisan ini disiapkan.

Tukang Puisi membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang ingin menghantar karya dalam bentuk puisi. Puisi yang diniliai dan dipilih oleh editorial akan disiarkan pada setiap minggu dalam bentuk imej yang mengandungi teks dan illustrasi minimalis. Komitmen dan semangat kumpulan pengendali Tukang Puisi ini diterjemahkan menerusi apa-apa yang mereka peroleh berdasarkan jumlah perkongsian dan tanda suka.

Puisi “Apabila Kutakakan Emak, Aku Hanya Mahu Membaca Buku” oleh Zurinah Ismail misalnya, mendapat 868 tanda suka, iaitu rekod tertinggi sepanjang tahun 2020. Laman Tukang Puisi tidak statik dalam media sosial semata-mata, tetapi turut menerbit dan mencetak zine Tukang Puisi. Hal itu disebabkan oleh Tukang Puisi mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengikut sedia ada serta permintaan daripada peminat sastera. Zine Tukang Puisi telah yang memuatkan puisi daripada para penulis yang mana puisi mereka pernah tersiar dalam laman social Facebook Tukang Puisi. Inisiatif ini sekali gus memperlihatkan pengaruh Tukang Puisi yang selesa beradaptasi dengan perkembangan digital tanpa menafikan kewajaran media cetak.

Memanjangkan Hayat Penulis dan Penulisan

Selain memperkatakan tentang peranan penulis dan penulisan mereka pada era digital, menarik untuk sama-sama perhatikan, bagaimana jangka hayat sesebuah karya itu dapat dipanjangkan dengan wujudnya usaha dan apresiasi terhadap sesebuah penulis dan karya mereka? Apresiasi karya sastera tidak terhad kepada perbincangan tentang sesebuah karya semata-mata. Alih wahana serta memberikan nafas baharu terhadap sesebuah tulisan juga berhasil menyambung hayat sesebuah penulisan.

Bagi penulis yang mesra disapa sebagai Aliff Awan, beliau mempunyai idea tersendiri untuk memberikan roh dan apresiasi terhadap sesebuah karya puisi. Aliff, penuntut di Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) telah mewujudkan satu platform audio siar yang dikenali sebagai Podcast #SeminitSajak.

            #SeminitSajak merupakan usaha untuk mengumpul audio bacaan puisi penulis Malaysia dalam tempoh satu minit. Audio baharu akan diperdengarkan pada setiap hari Sabtu minggu kedua bagi setiap bulan. Audio siar ini diuruskan oleh @maingayong dengan kerjasama @bilikpenyair dan mendapat sokongan daripada Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA). Rakaman audio yang terpilih akan disiarkan melalui pelbagai platform media sosial termasuklah Spotify. Sebahagian penulis pilihan yang disenaraikan #SeminitSajak termasuklah Latiff Mohidin, T. Alias Taib, Zaen Kasturi, Rosli K. Matari dan Salleh Ben Joned.

Gunakan “Pintu ke Mana-mana Sahaja”

Sejak tahun 2020, dunia sedang berhadapan dengan satu krisis kesihatan dan ekonomi yang masih belum menemukan titik noktah. Segalanya terbatas; pergerakan dan kembara fizikal. Namun begitu, dalam ruang yang terhad ini, penulis diberi kelebihan berupa masa yang lebih untuk berkarya dan menggunakan teknologi digital. Internet atau “pintu ke mana-mana sahaja” seperti yang dimaksudkan pada awal tulisan tadi, perlulah dimanfaatkan sebaik-baiknya. Ambil semangat Pramoedya Ananta Toer yang menulis dalam kurungan. Kita sekarang, hanya terkurung dalam ruang fizikal, tetapi tidak ruang digital. Kita bebas merangka dan membina idea baharu untuk menulis.

Kata Chairil, “ada yang berubah, ada yang bertahan. Kerana zaman tak bisa dilawan. Yang pasti kepercayaan harus diperjuangkan.” Era sedang berubah. Ruang digital terbentang seluas-luasnya untuk dimanfaatkan bersama-sama; mendapatkan ilham, berkongsi hasil penulisan kepada dunia mahupun memberikan apresiasi terhadap sesebuah karya sedia ada. Untuk terus hidup dan menghidupkan penulisan, penulis tidak dapat lari daripada berhadapan cabaran zaman.

Selain usaha mandiri dan kolektif seperti yang dinyatakan dalam tulisan ini,   institusi bahasa dan sastera seperti Dewan Bahasa dan Pustaka khususnya, perlu mempergiatkan peranan dalam mengkoordinasi titik letak dan kelangsungan hayat penulis dan penulisan dalam mendepani era digital ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.