Diterbitkan pada 21 Oktober 2024, 09:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sepang – Nurul Amira Fatehah Rafidi wakil Universiti Utara Malaysia (UUM) mencipta sejarah apabila buat kali pertama merangkul gelaran johan dalam Program Pembinaan Bakat Siswa 2024.

Pencapaian ini telah mengukir sejarah buat UUM kerana pertama kali merangkul johan sejak pertandingan ini mula diperkenalkan.

Dengan kemenangan ini, Nurul Amira telah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM3,000.

Menurut Nurul Amira, kejayaan ini adalah hasil daripada kerja keras dan sokongan semua pihak, terutamanya pensyarah yang membimbingnya, iaitu Dr. Mohamed Nazreen Shahul Hamid.

Beliau berharap kejayaan ini dapat memberi inspirasi kepada rakan-rakan lain untuk terus berusaha dan menyumbang kepada dunia sastera.

Tempat kedua pula dimenangi oleh Ricky Sean Thaddeus dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.

Manakala tempat ketiga disandang oleh Nur Najwa NabilaRomli dari Universiti Putra Malaysia (UPM), dengan hadiah wang tunai RM1,000.

Sebelum itu, Program Pembinaan Bakat Siswa 2024 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah melabuhkan tirainya di Pusat Latihan LKIM Camar Laut, Bagan Lalang, baru-baru ini.

Program ini bertujuan untuk mengembangkan potensi mahasiswa dalam bidang penulisan kritikan sastera dan dapat melahirkan lebih ramai penulis kritikan sastera yang berwibawa serta berdaya saing.

Program ini dilaksanakan dalam dua peringkat, iaitu peringkat saringan dan peringkat akhir. Selepas mengikuti program bimbingan dan menghasilkan esei kritikan sastera, para peserta dinilai dalam peringkat saringan.

Peringkat akhir pula dilaksanakan secara dalam talian pada 1 Oktober 2024, dan keputusan rasmi diumumkan pada 9 Oktober 2024.

Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun, dan Falsafah (SLCP) UUM, Prof. Shukri Ahmad, turut berkongsi rasa bangsa. Beliau berkata, “Kejayaan ini membuktikan kualiti program pengajian BCLCIM yang ditawarkan oleh SLCP. Program pengajian ini bukan sahaja menyediakan pengetahuan akademik yang kukuh, tetapi juga mengasah kemahiran praktikal pelajar dalam bidang kesusasteraan dan penulisan kritikan.”

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi