Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAliff Awan memperkatakan mengenai serpihan sajak Khalid Salleh dalam pencarian tentang diri serta persoalan kemerdekaan.
Tangan tadi sebenarnya milik saya dan saya sekadar memetik puisi-puisi Khalid Salleh. Di dalam kumpulan puisinya, Bukan Apa-Apa (Kuala Lumpur, 1998), beliau melaung-laungkan pelbagai perkara, terutamanya perjalanan menemui agama, pencarian diri sendiri dan ketegasan membangunkan bangsa.
Televisyen akan bersiaran awal pagi. Pengacara memegang mikrofon dan memperagakan kostum yang dirasakan lawa. Kereta sudah mengibarkan bendera. Jalur Gemilang yang tergantung di pintu rumah ditiup angin taman. Ketika itu, dalam kaca TV, rumput hijau di dataran sedikit pun tidak kelihatan.
Kita cuma nampak orang menjadi keramaian. Bersesak ketika kitaran tidur mereka sengaja diganggu dan sejak malam tadi, tar jalan bertukar menjadi manusia yang telah pun berhimpun untuk menunggu matahari keluar. Selepas syuruk beredar, sambil persembahan berarak, mereka pun melaung “sayangkan negara”.
Di celah-celah peniaga haram dan rakyat yang memijak hiasan bunga yang elok dijaga selama ini, ada seorang remaja lelaki berkaca mata dan berbaju hitam. Seluarnya jeans biru dengan kasut jalan yang diikat tidak berapa kemas. Ketika ibunya sibuk merakam ragam jet terbang, dadanya menimbulkan persoalan yang bermacam dan yang paling besar:
Apakah maksud merdeka?
Ini soalan biasa bagi mereka yang di bawah umur 20 tahun. Kita yang telah dewasa pun, apabila Ogos hadir dan kedai-kedai mula menjual bendera atau anak-anak sudah mula bertanya, “Ibu, boleh buatkan baju Jalur Gemilang?”, mungkin masih menyoal hal yang sama.
Persoalan tanpa jawapan konkrit, sebab kemerdekaan untuk negara ialah bebas dari cengkaman penjajah. Tapi, kemerdekaan jenis apakah yang kita, mereka yang lahir selepas 1957 atau 1963, cari dan laungkan hari ini?
Ada satu tangan yang dihulur kepada budak lelaki tersebut. Di dalamnya ada sehelai kertas. Dia pun menyambut salam tersebut. Tapi, sebelum dilepaskan, pemilik tangan tersebut sempat berpesan, “Ini jawapan yang aku rasa perlu. Nanti cari jawapan yang kau mahukan.”
Selepas salam dilepaskan, kertas pun dibuka dan ini yang tertera;
Mungkin merdeka ini perkataan paling renyah sebab tak ada pistol yang dihala ke kepala kau, atau ubi bukan satu-satunya makanan yang terhidang di lantai rumah. Tapi, jika ada kemerdekaan yang kau perlu juangkan, perlu bermula dengan dua perkara ini dan hanya dua perkara ini.
sebuah kehidupan yang bening
akan membuka tirai persatuan
dunia dan akhirat
malam dan siang
kekasih dan mukjizat
Demikian, sajak “Pesan dan Kata” yang pernah dibaca sebagai peringatan buat diri sendiri yang tenang hidup akan memberikan pelbagai rasa yang baik. Jadi, bagaimanakah untuk aku sampai kepada “ketenangan hidup tadi?”. Sejadah dibentang dan tanganku ditadah. Kepada-Nya, aku pohon “berilah aku wajah Muhammadmu/ yang berselindung di pelupuk matamu” sebagai satu cara untuk aku kekal mentaati-Nya.
Tak ada bahasa yang pandai dikarang jadi perjalananku untuk menuju-Nya sering bersimpang-siur. Lorong paling hujung sering aku dekati dan rumah paling depan hanya dilepasi. Sehinggalah satu hari, “di penjuru siang aku masih bermalam/ sentuhan kasih-Mu mencari di takwa/ lailahailallah Muhammad Rasulullah hanya engkaulah/ sebenarnya” menjelma di dalam hati dan aku makin dekat kepada-Nya. Pun mengertilah aku yang setiap langkah aku adalah izin Tuhan. Akhirnya, hidup lebih tenang.
Ini adalah kata-kata yang dibaca dulu. Ditulis sekitar 1998 di Kuala Lumpur oleh penulis yang kau mungkin tak tahu, hari ini.
Ketika kau duduk di atas katil nanti, tahulah sebenarnya masalah paling renyah untuk dilangsaikan adalah ragu terhadap diri sendiri yang sering dipuja ketika sunyi. Sekalipun ketegapan otot kau bertambah atau cerdas otak kau tak boleh dilawan, waktu sunyi kekal menjadi musuh setia. Musuh yang takkan pernah kalah, namun ketegapan otot dan kecerdasan otak, kau perlu belajar mengawalnya.
Sunyi yang menyelinap di dalam bilik akan sarungkan kau dengan bantal berbau “jarum siapakah/yang bakal menikam dari belakang salbinya” dan menutupi tubuh kau dengan “sekalipun mulutnya sering membaca subhanallah/namun kiblatnya sering condong ke arah berhala”. Ketika ini, kau perlu tanggalkan selimut dan bangun dari selesa bantal kerana “siapakah yang meredhakan kembalimu/kalau kamu belum pernah redha/untuk mengembalikan tubuhmu.”
Hanya ketika kau berani untuk bebas dari selesa yang sunyi berikan di dalam bilik, hidup akan tenang. Ingatlah yang kau adalah tuan kepada tubuh sendiri, terutamanya bahu yang makin berat. Jadi, ringankanlah bahu itu selalu sebab…
sebuah kehidupan adalah perjalanan jauh
yang membuka seribu kemungkinan
tentang lahir dan batin
munajat dan kesombongan
kebenaran dan tipu daya
rembang petang dan gelap malam
segalanya akan memberat di bahu kita.
Itu adalah baris terakhir yang ditulis di dalam kertas. Remaja lelaki tadi genggam erat helaian tersebut sehingga sampai ke rumah, sambil-sambil masih bersoal siapakah lelaki tadi?
Tangan tadi sebenarnya milik saya dan saya sekadar memetik puisi-puisi Khalid Salleh. Di dalam kumpulan puisinya, Bukan Apa-Apa (Kuala Lumpur, 1998), beliau melaung-laungkan pelbagai perkara, terutamanya perjalanan menemui agama, pencarian diri sendiri dan ketegasan membangunkan bangsa.
Laungannya nyaring, tetapi tidak semuanya tajam, terutama sajak sekitar bangsa seperti sajak “Tanah Melayu”. Macam laungan yang dipaksa-paksa tanpa sebarang fikiran yang jelas. Meleweh-leweh. Puitisnya sudah tentu tidak ada, malah buah fikirnya pun lebih kosong daripada perkataan yang dipilih. Jadi, susah untuk tulisannya dengan sebegini dihadam senang.
Lain pula bahasanya dalam puisi keagamaan dan pencarian diri yang ditulis secara hemah seperti yang saya selitkan dalam kertas yang diberikan kepada remaja lelaki tadi. Maknanya berlapik, susunannya cermat dan membuatkan kita berfikir semula; “Bagaimanakah sebenarnya Khalid Salleh sebagai seorang penulis puisi?
Kalau jenis kemerdekaan yang dikirim kepada remaja lelaki tadi ialah soal gejolak fikir diri dan kepercayaan, jenis kemerdekaan yang saya ingin minta daripada arwah Khalid Salleh ialah bahasa yang lemah dan puisi yang marba selalunya. Namun, pasti arwah lebih puitis dan tenang di atas sana. Al-fatihah.