Oleh Roslan Jomel
22 Mac 2023, 10:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Wartawan mesti membebaskan diri daripada belenggu idealisme politik parti yang sempit. Wartawan seharusnya tidak bekerja untuk parti tetapi berkhidmat kepada rakyat. Bunyinya agak klise tetapi itulah hakikat wartawan sejak dulu sampai bila-bila.

Petikan tersebut dipetik daripada esei yang bertajuk “Mesin Taip, Digital dan Etika Wartawan”.

Buku Kata Ku Seman (2023) merupakan himpunan terbaharu buah fikir mantan pengarang akhbar tempatan, iaitu Ku Seman Ku Hussain. Penerbitan buku tersebut merupakan lanjutan daripada buku Anekdot Ku Seman, Kayu Hulu Kapak (2018). Penulisan beliau mencerminkan identitinya sebagai pemikir dan bukan sekadar pelapor. Maka itu, buku tersebut harus menjadi bacaan wajib bagi bakal penulis untuk mencambahkan akaun perbendaharaan bahasa dan idea.

Secara keseluruhannya, buku tersebut mengajak kita menyelusuri kecaknaan dan kritikan pengarang perihal senario menakutkan yang menyusup masuk dalam jiwa dan fikiran masyarakat. Kerosakan dalam politik, kehancuran moral warga tempatan, pengkhianatan pada negara disebabkan oleh tarikan wang dan kedudukan serta makna sebenar takrifan seorang wartawan yang bermanfaat terhadap kelangsungan hayat bangsa.

Isu utama diperincikan oleh Ku Seman Ku Hussain dengan penuh tanggungjawab kerana tidak mahu menanti negara ini terus dihakis oleh anasir jahat. Walaupun nada pengucapannya menyengat dan sinikal, Ku Seman Ku Hussain masih seorang yang rasional, berimbang dalam penilaian dan tidak menghukum kesemuanya.

Selain isu pembinaan tata kelola negara, isu lain yang diperkatakannya adalah seperti amalan integriti yang sudah longgar dalam nurani pemegang kuasa dan budaya korupsi individu besar yang diamanahkan untuk menjaga kebajikan negara. Ketakjuban generasi baharu terhadap pempengaruh yang digambarkan sebagai seorang yang kaya secara mengejut, iaitu mempamerkan deretan kekayaan material mereka di media sosial.

Maka itu, setiap orang ingin memutihkan kulit, menguruskan tubuh, memancungkan hidung dan melakonkan kebodohan mereka demi meraih pengikut dalam kalangan anak muda. Kemanusiaan sesebuah filem mulai terhakis disebabkan kehendak keuntungan semata-mata kerana berorientasikan selera majoriti audiens.

Walau bagaimanapun, ada yang mengatakan bahawa buku kumpulan esei ini kurang mendapat perhatian dalam kalangan pembaca. Sepatutnya, buku yang baik dan ditulis dari kaca mata tokoh yang kritis renungannya wajar diraikan dan dibicarakan. Itulah satu daripada cara untuk kita memupuk dan melestarikan budaya ilmu yang kian tercemar kini.

Saya banyak belajar dan berfikir dan seterusnya menulis daripada tokoh wartawan itu bagaimana untuk merenung sesuatu isu dari sudut pandang berbeza daripada naratif arus utama. Selain tokoh intelektual lain misalnya, mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu Dato’ Hassan Ahmad; Rustam Sani dan Budi Darma yang tajam dan kritis dalam analisis, mereka menggunakan kata-kata yang kedengaran mudah (tidak berbelit-belit) tetapi penyampaiannya jelas. Sebaliknya dalam karya sastera, genre sajak misalnya, dianggap bermanfaat dan berkesan jika bahasa dan wawasan pemikirannya disampaikan dengan jernih. Sesungguhnya kejernihan bahasa ini tidak merendahkan kredibiliti sesebuah karya seni.

Apakah yang akan terjadi sekiranya karya sastera yang sepatutnya dapat dikongsi dengan pembaca itu sukar untuk dimengerti kerana penggunaan bahasa yang pelik, kabur dan di awang-awangan? Terdapat perbeza antara karya eksperimental yang baik dengan karya mentah yang disangka unik tetapi tersasar. Melalui tulisan Ku Seman Ku Hussain, segala isu besar dan kritikal yang disangkutkannya dalam tulisan, mudah diikuti dan dihadamkan kerana kejelasan penggunaan bahasanya. Tidak berapungan untuk kepuasan sendiri. Aspek asas itu mustahak jika ingin sumbangan gagasan, idea, respons dan kritikan kita ingin didengar dan dimengerti oleh audiens lain.

Buku Kata Ku Seman terbahagi kepada dua bab, iaitu politik dan sosial. Selain itu, buku ini juga diselitkan beberapa ulasan filem dan teater yang digarap oleh seniman penting negara. Sama ada politik, budaya dan seni. Bidanitu sesungguhnya bertembung dalam kehidupan. Apakah ertinya negara membangun secara fizikal namun kosong tanpa pengisian spirituil kepada warganya? Yang menarik daripada penilaian dan analisis Ku Seman Ku Hussain dalam mengulas setiap isu ialah beliau tidak mudah terikut-ikut dengan pandangan umum. Akal merupakan anugerah terhebat. Beliau menegur mana-mana individu merdeka – jangan biarkan diri kita seperti ikan mati dibawa arus. Alangkah malangnya sekiranya seseorang sekadar membuta-tuli mengikut dari belakang pandangan individu dan pihak lain tanpa berfikir dahulu.

Secara peribadinya, saya membaca penulisannya disebabkan alasan kecerdasan dan kedalaman skop pengarang itu mengetepikan kenyataan dangkal yang bertebaran di media massa. Misalnya kewarasan undi untuk remaja berusia 18 tahun dalam urusan pemilihan pucuk pimpinan negara. Perkara itu amat genting. Bukan mudah untuk memilih ketua pengawas di sekolah rendah atau menengah. Adakah cadangan sedemikian condong terhadap agenda keuntungan sesebuah parti politik semata-mata? Tidakkah nanti negara bakal runtuh disebabkan tindakan bersifat populis? Apakah yang akan terjadi  jika generasi baharu yang masih dangkal dan mentah dengan permainan politik, dieksploitasikan demi kemenangan parti tertentu?

Bahkan beliau bersikap neutral apabila beberapa orang pembesar masyarakat sering dianggap memanipulasikan perhatian massa. Hal tersebut pasti melumpuhkan saluran kebebasan. Akhbar seharusnya menjadi corong untuk masyarakat bersuara dan bukan sebaliknya – menjadi perkakas kepada pihak tertentu untuk berbuat sesuatu.

Sebagai wartawan mempunyai prinsip waja, beliau cenderung untuk memihak kepada komuniti terpinggir, menyoroti kedaifan sesebuah keluarga, seniman berbakat luar biasa yang terpinggir dalam negara dan isu kedaifan rakyat di sebalik kemegahan menara pencakar langit. Aspek basahan dan terasing itulah sentiasa menjadi fokus dan menjadi darah daging dalam penulisannya menerusi buku terbaharu Kata Ku Seman. Itulah erti jati diri yang ingin diteguhkan dalam penulisannya. Apakah gunanya sloganmuluk?

Baru-baru ini, netizen diriuhkan dengan sebuah filem – Mentega Terbang. Ada yang memilih untuk bersikap pro dan kontra berhubung dengan isu sensitif yang diketengahkan oleh filem tersebut. Namun demikian, filem ini melibatkan akidah penganut Islam. Akidah dan tauhid yang bercelaru sudah tentu menghitamkan keimanan seseorang? Bolehkah kita berlapang dada atas nama kejujuran seni? Ini mengingatkan saya pada ketegasan pengarah filem kontroversi Nasir Jani yang menempelak kelucahan dan kebiadaban pengarah asing dalam filem pendek Nasir Jani Melawan Lembaga Puaka. Sekurang-kurangnya, lelaki yang dianggap pemberontak itu, arif tentang etika, agama dan maruah diri.

Dari buku Kebebasan dan Pembebasan (Perbahasan dalam Konteks Maqasid Shari’ah), karangan Sheikh Dr. Ahmad al-Raisuni, terakam pandangan yang bernas berkenaan dengan takrifan kebebasan yang kononnya melambangkan kemajuan manusia. Bahawa hakikat kebebasan lahir bersama-sama manusia sejak awal kewujudannya lagi. Namun demikian, sudah tentu ada batasan yang telah disyariatkan oleh agama. Kebebasan mutlak tiada tempatnya dalam kehidupan manusia. Sama ada di bumi, langit, lautan – tetap wujud sempadan yang mengehadkan kebebasan manusia.

Ku Seman Ku Hussain menerusi tulisannya dalam laman sesawang KuSeman.Com yang bertajuk “Duan Nago Bogho Kelangsungan Gaya Karya Sabri Yunus” mengingatkan bahawa kebebasan yang dijulang oleh segelintir pemain industri seni perlu mengikuti batasan dan nilai etika budaya Timur. Sebagai umat Islam, tidak ada yang dinamakan kebebasan seni sepenuhnya. Apalagi merujuk dalam sentimen keagamaan. Jangan dibawa main-main. Hal itu perlu disedari dan diinsafi ketika berkarya. Setiap pihak dan individu maklum bahawa mereka dilahirkan dalam negara yang majoritinya penganut agama Islam. Konservatif bukan bermaksud kolot. Jika tidak, sesiapa sahaja bebas melanggar lampu isyarat atas alasan enggan disekat oleh mana-mana pihak.

Isu kepincangan politik sudah terlalu kerap ditulis dan menambah seksa jiwa raga apabila mengenangkan kelakuan dan mentaliti sebahagian mereka. Walau bagaimanapun, mahu tidak mahu, Ku Seman Ku Hussain tetap menjentik kesedaran kepada bakal pemimpin dan pemimpin yang tidak puas-puas untuk berkuasa, agar lebih mementingkan kesengsaraan masyarakat kebanyakan tanpa menghiraukan cap logo parti. Masyarakat sudah jelak menerima bungkusan beras, gula dan tilam yang ditampal dengan gambar poster boy. Sepatutnya mentaliti ahli politik semakin matang dan berwibawa berbanding sering bermodalkan api perkauman dan menggugat Rukun Negara. Rakyat bertambah celik dan bukan selamanya menjadi bidak catur.

Selain serangan COVID-19 yang mengakibatkan rakyat susah bertambah terpukul, Ku Seman Ku Hussain juga mengupas tentang normalisasi amalan LGBT yang kian memberanikan sosok diri mereka ke tengah masyarakat pada siang hari. Jika kita melanggan saluran Netflix, subjek itu bukan lagi suatu kejanggalan dalam kalangan audiens kontemporari. Namun normalisasi yang bertentangan dengan fitrah dan syariat agama itu tidak wajar diheret masuk dalam lingkungan masyarakat tempatan. Bersikap terbuka sehingga menggadai akidah dan iman tidak menunjukkan kecanggihan pemikiran dan status sosial seseorang. Bahkan mempamerkan jiwa seseorang itu telah dijajah oleh fahaman asing yang jelik dan menyesatkan. Paling menyakitkan, pejuang LGBT sering menggunakan alasan hak kemanusiaan dan kebebasan sebagai perisai untuk mengizinkan aktiviti sebegitu.

Apakah kita masih terus mengekalkan sekolah vernakular dan melaungkan kesatuan bangsa pada masa yang sama? Sudah jelas ini merupakan suatu pembohongan retorik. Lalu apakah ertinya melaungkan nama Malaysia pada Hari Kebangsaan jika hingga hari ini rakyatnya masih hidup di sebalik tembok masing-masing? Kapitalis dengan grafik keuntungannya. Individu dengan urusan individualnya. Parti dengan kelangsungan hayat partinya. Hal yang menjanggalkan itu terus dan akan berlanjutan selagi tiada kesedaran bersama-sama dalam kalangan warga dan pemimpin politik. Negara kita masih bermimpi dan hanyut dengan fantasi serta dongeng nasionalisme.

Akhir kata, buku Kata Ku Seman wajib menjadi bacaan buat bakal penulis. Sama ada cerpenis, penyair mahupun novelis. Dalamnya terhimpun kejadian yang berlaku di dunia luar dan tempatan – cetusan fikiran, renungan dan rangsangan untuk menjadi insan yang jeli dan halus dalam menilai sebarang isu, mikro dan makro. Segala isu dikemukakan secara terus-terang, jelas dan jujur daripada lensa mantan seorang pengarang/wartawan berwibawa. Masyarakat sudah tiada masa untuk membaca diksi berbunga-bunga. Apatah lagi kata-kata yang menerawang ke udara. Apakah yang kelabu, berdebu dan comot, tidak disorokkan di bawah permaidani. Itulah kekuatan bahasa dan keutuhan fikiran yang dimiliki oleh beberapa orang tokoh cendekiawan tempatan dalam penulisan prosa mereka, termasuk Ku Seman Ku Hussain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.