7 Februari 2022, 17:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tulisan bertajuk “Wattpad: Building the World’s Biggest Reader and Writer Community” menyatakan Wattpad ditubuhkan pada tahun 2006 yang merupakan hasil kolaborasi Allen Lau dan Ivan Yuen. Merujuk kenyataan akhbar Wattpad pada Jun 2009, aplikasi Wattpad telah mencapai  lima juta kali muat turun setelah tiga tahun Wattpad menemui pengguna yang menggemari platform dalam talian untuk menulis dan mencari bahan bacaan.

Pengguna boleh mengakses Wattpad dengan menggunakan telefon pintar atau komputer.

Aplikasi ciptaan WP Technology yang menginjak usia 16 tahun ini ditawarkan secara percuma dalam Google Play Store dan Apple Store yang boleh digunakan dengan telefon pintar atau komputer. Di Wattpad tersedia pelbagai genre tulisan, seperti artikel, novel, cerita pendek, puisi, anekdot dan sebagainya. Kini, Wattpad muncul sebagai medium penulisan dan penerbitan buku secara dalam talian.

Pada umumnya, ada tiga kategori pengguna Wattpad, iaitu pembaca, pembaca dan penulis, dan penulis. Pembaca mengakses Wattpad untuk mencari bahan bacaan atau genre yang menjadi pilihan. Komuniti pembaca Wattpad juga tidak memiliki keinginan untuk menulis. Golongan pembaca dan penulis merupakan pengguna yang paling banyak dan aktif di Wattpad. Mereka suka membaca karya orang lain dan sekali gus menulis atau memiliki keinginan untuk menulis di Wattpad. Komuniti penulis pula menyiarkan tulisannya di Wattpad tanpa ada jalinan aktiviti dengan pengguna lain. Terdapat lebih kurang 16 kategori tulisan yang terdapat di Wattpad, yang menyebabkan Wattpad sentiasa relevan dalam menawarkan bahan bacaan daripada yang bersifat santai seperti puisi dan novel, selain esei atau rencana untuk santapan minda.

Ternyata Wattpad kini mengambil alih kedudukan medium seperti WordPress dan Blogspot, lantas menjadi wadah pilihan bagi penulis menyalurkan keinginan untuk berkarya. Sememangnya Wattpad membuka peluang kepada penulis baharu dan penulis muda untuk mempamerkan kemahiran menulis dan mencurahkan idea dalam penghasilan karya. Oleh sebab itulah, Wattpad dilihat akrab di sisi penulis pemula dan penulis muda, termasuklah penulis yang selama ini belum pernah menerbitkan karyanya. Berbeza daripada situasi menulis cerita atau karya, kemudian menghantar karya itu dalam bentuk manuskrip kepada penerbit dan menunggu kelulusan penerbit untuk karya tersebut diterbitkan dalam bentuk buku. Prosedur menerbitkan karya di Wattpad sangat mudah dan cepat  kerana dilakukan secara dalam talian dan tidak memerlukan persetujuan pihak tertentu, terutamanya penerbit. Jadi, dengan menggunakan Wattpad, kerja penulis hanyalah tulis dan terbit.

Salah satu keistimewaan Wattpad ialah penulis boleh menyiarkan tulisan atau cerita mereka secara berperingkat atau bab demi bab. Bentuk penulisan sedemikian akan menimbulkan rasa tertanya-tanya dan saspens dalam kalangan pembaca, terutamanya novel yang pastinya ingin mengetahui apakah plot atau konflik yang bakal ditampilkan oleh penulis dalam bab seterusnya. Namun demikian, menulis di Wattpad juga ada cabarannya kerana penulis perlu konsisten menyiarkan sambungan ceritanya.

Hijrah oleh Arif Zulkifli. (Sumber Iman Shoppe)

Ada banyak kelebihan yang tersedia apabila menulis di Wattpad. Selain berkemungkinan meraih perhatian pembaca yang jumlahnya boleh mencecah jutaan orang, tulisan di Wattpad juga sering diintai oleh penerbit buku. Terdapat juga buku yang tempat asal lahirnya karya itu di Wattpad kemudiannya diadaptasi dalam bentuk filem. Kelebihan inilah yang dinikmati oleh penulis bernama Arif Zulkifli yang meneroka dunia penulisan di Wattpad dengan karyanya yang berjudul Hijrah. Setelah bertapak di Wattpad, novel Hijrah telah dilamar oleh Iman Publication lalu diterbitkan dalam versi bercetak, yang kemudiannya menemui pembaca di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada tahun 2016. Dear Nathan, sebuah filem Indonesia yang ditayangkan di pawagam pada tahun 2017 merupakan adaptasi daripada  tulisan novel dalam Wattpad karya penulis Indonesia, Erisca Febriani.

Menulis secara konsisten di Wattpad sememangnya dapat mengasah bakat penulisan. Melalui komuniti yang ada di Wattpad juga, penulis dapat mengetahui gaya penulisan dan genre yang paling diminati oleh pembaca. Ada banyak pilihan genre yang tersedia dalam aplikasi Wattpad seperti fiksyen remaja, fantasi, percintaan, seram dan penyiasatan. Dengan wujudnya pelbagai genre tersebut, maka penulis dapat mengekspresikan idea dan ilhamnya dalam bentuk tulisan dengan menumpu pada genre yang mereka kuasai.

Bagi penulis pemula yang mahu menggunakan Wattpad sebagai platform untuk berkarya dan menginginkan karyanya mencecah ribuan bacaan dan menerima jutaan pandangan (views), berpeganglah pada beberapa panduan yang berikut:

  1. Menulis cerita yang menarik, ada kelainan dan memperlihatkan identiti sendiri.
  2. Mencipta tajuk atau judul yang tepat dan menarik.
  3. Mereka kulit buku yang dapat menangkap pandangan pembaca.
  4. Mengemas kini status dan kandungan cerita secara konsisten.
  5. Berkomentar dalam laman cerita orang lain.
  6. Membina jaringan sosial dengan komuniti Wattpad.

Cerita yang disiarkan di Wattpad boleh dikongsi pautannya di media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter. Secara tidak langsung, pengguna media sosial akan mengetahui ada cerita baharu atau sambungan cerita yang mereka ikuti disiarkan oleh penulis berkenaan dalam Wattpad. Dengan adanya kuasa tanda suka dan kongsi  di media sosial akan membawa lebih banyak pembaca membuka “buku cerita” yang ditulis dalam Wattpad.

Perkara paling utama yang harus difikirkan oleh penulis pemula ialah membina nama terlebih dahulu dan merangka kandungan cerita yang beridentiti sendiri, kemudian menyiarkan penulisan itu dalam Wattpad. Berkemungkinan, apabila karya itu dibaca oleh banyak orang, penerbit buku akan turut berminat dengan karya tersebut dan menawarkan peluang untuk membukukan karya berkenaan. Di Wattpad juga, penulis akan mengetahui tentang genre yang diminati oleh pembaca, genre yang mempunyai banyak pembaca, cerita atau kandungan yang bagaimana dapat menarik banyak pembaca, dan mengetahui mengapakah pembaca memilih cerita atau genre berkenaan.

Watty Awards menjadikan penulis, terutamanya penulis pemula untuk terus berkarya dalam Wattpad.

Yang menariknya, Wattpad juga menyediakan “anugerah” dinamakan Watty Awards kepada para penulis yang telah berkarya dalam aplikasi tersebut. Kategori anugerah tersebut ialah “Keaslian Karya”, “Bacaan yang Mengasyikkan”, “Penulis Luar Biasa”, “Penulis Baharu Muncul”, “Pengkarya yang Kreatif dan Inovatif”, dan “Anugerah Tab”. Anugerah ini diberikan berdasarkan undian yang dibuat oleh pengguna Wattpad, dan juga berdasarkan tulisan yang paling banyak dibaca di Wattpad. Dengan adanya anugerah tersebut jugalah yang menjadikan Wattpad kekal sebagai platform yang percuma namun signifikan dalam merancakkan dunia penulisan. Oleh sebab itulah, hingga penghujung tahun 2021, komuniti Wattpad telah mencapai jumlah 500 juta, dan setelah 16 tahun ditubuhkan, sebanyak 10 cerita atau karya dalam Wattpad telah diangkat sebagai filem.

Selain Watty Awards, ada beberapa ciri lain yang dilihat hanya dimiliki oleh Wattpad berbanding dengan blog dan aplikasi penulisan lain. Pertama, Wattpad memiliki hak cipta. Ciri ini penting kerana penulis pasti berasa risau karyanya akan diciplak dengan mudah oleh orang lain. Namun begitu, setiap tulisan yang disiarkan dalam Wattpad akan terakam tarikh penyiaran karya itu. Dengan adanya tarikh tersebut dapat membuktikan siapa pemilik asal karya berkenaan jika karya itu diciplak atau diterbitkan oleh orang lain dalam versi bercetak selepas penulis asal menyiarkan karyanya dalam Wattpad.

Kedua, ada ciri tag dan tanda pagar (hashtag) yang boleh digunakan untuk mempopularkan dan menandakan tulisan yang disiarkan dalam Wattpad. Dengan meletakkan tag pada tulisan atau karya akan memudahkan seseorang untuk menemukan karya tersebut di Wattpad.

Ketiga ialah discover. Ciri discover akan membawa pengguna Wattpad menjelajah ke seluruh dunia. Dengan adanya ciri ini, pembaca dapat membaca begitu banyak karya penulis dari seluruh penjuru dunia. Seperti yang dinyatakan pada bahagian awal tulisan ini, terdapat sekitar 15 kategori yang ada dalam ciri discover. Jadi, pembaca boleh memilih genre atau jenis tulisan yang menjadi kegemarannya.

Keempat ialah ciri kongsi. Setelah selesai sesuatu tulisan, menulis sambungan cerita atau melengkapkan satu bab cerita, penulis boleh berkongsi pautan cerita tersebut dalam media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter. Promosi percuma sebegini pasti akan membawa pembaca langsung ke Wattpad dan menikmati cerita, yang berkemungkinan akan menjadi pengikut setia tulisan atau cerita yang dikongsi oleh penulis tadi.

Menurut pengguna Wattpad, Azzah Abdul Rahman dalam laman Facebooknya menyatakan bahawa di Wattpad, sebuah novel Melayu genre cinta boleh mencecah tiga juta bacaan dan novel genre seram (thriller) meraih 70 juta bacaan walaupun yang menulis novel tersebut bukan penulis arus perdana atau penulis terkenal. Hal ini bermakna ada berjuta-juta bakal atau calon pembaca karya yang berdaftar di Wattpad, dan orang masih minat membaca walaupun “berehat” daripada membeli buku.

Ada juga penerbit yang mendaftar sebagai komuniti Wattpad kerana mahu mengesan karya yang menarik dan berpotensi untuk diterbitkan dalam versi bercetak. Lantaran itulah, hingga hari ini, Wattpad masih utuh sebagai aplikasi yang percuma untuk penulis berkarya dan menerbitkan buku serta mudah untuk pembaca mencari, memilih dan mengikuti jenis tulisan atau genre yang digemarinya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.