Diterbitkan pada 20 Julai 2026, 11:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Industri buku perlu melihat kecerdasan buatan (AI) sebagai sekutu strategik yang mampu meningkatkan kebolehtemuan buku (book discoverability).

Pandangan itu disuarakan pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Shimmr AI, Nadim Sadek, ketika menyampaikan syarahan bertajuk The Challenge of Superabundance in Publishing pada seminar Selangor Literature and Content Expression Seminar (SLICE) 2026 di Pustaka Raja Tun Uda, Rabu lalu.

Menurut beliau, cabaran terbesar industri penerbitan ketika ini bukanlah menghasilkan lebih banyak buku, sebaliknya memastikan setiap judul dapat ditemui oleh pembaca dalam lambakan kandungan yang semakin meningkat.

“Kita mempunyai kira-kira 100 juta buku berbahasa Inggeris yang telah diterbitkan saban tahun. Secara purata seseorang hanya mampu membaca sekitar 600 buah buku sepanjang hayatnya. Jurang [yang besar antara buku yang telah diterbitkan dengan kemampuan seseorang membaca] ini menunjukkan betapa sukarnya sesebuah buku untuk ditemui oleh pembaca,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu memerlukan strategi pemasaran yang lebih tersasar dan diperibadikan bagi setiap buku, sesuatu yang sukar dilakukan secara manual tetapi mampu dibantu oleh AI.

Menurutnya, AI boleh menganalisis kedudukan sesebuah buku dalam konteks budaya, mengenal pasti khalayak sasaran, memahami trend semasa serta mencadangkan strategi promosi merentas pelbagai platform digital.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa AI turut membawa pelbagai risiko yang perlu ditangani secara bertanggungjawab, termasuk penyebaran maklumat palsu, ketidaksamaan ekonomi dan eksploitasi data.

Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap fenomena “cognitive surrender” atau penyerahan keupayaan berfikir apabila pengguna terlalu bergantung kepada AI untuk mendapatkan jawapan tanpa melakukan proses penilaian dan pemikiran kritis.

“Jika kita menggunakan AI seperti enjin carian semata-mata, otak akan menjadi semakin pasif. AI perlu digunakan secara interaktif melalui dialog dan perbincangan supaya kreativiti serta keupayaan berfikir terus berkembang,” katanya.

Nadim berkata, AI tidak seharusnya menggantikan kreativiti manusia, sebaliknya menjadi rakan kolaborasi yang membantu memperkaya imaginasi dan mempercepat proses menghasilkan karya.

Beliau turut memperkenalkan konsep “creative duet”, iaitu kerjasama antara manusia dan AI, dengan manusia menyumbang emosi, nilai serta kreativiti, manakala AI membantu daripada aspek analisis, penyelidikan dan pelaksanaan.

Dalam sesi soal jawab, beliau mengakui penggunaan AI berpotensi mewujudkan “echo chamber”, iaitu keadaan pengguna hanya menerima cadangan atau rekomendasi berdasarkan minat sedia ada sehingga mengehadkan pendedahan kepada penerokaan buku-buku baharu.

Beliau berkata, risiko itu boleh dikurangkan dengan terus mendapatkan pandangan daripada manusia, membaca karya pelbagai genre serta menggunakan AI sebagai alat penerokaan, bukannya penentu mutlak dalam mencari bahan bacaan baharu.

Beliau juga percaya manfaat AI dalam mendemokrasikan akses kepada maklumat dan pengetahuan masih mengatasi keburukannya, selagi pembangunan teknologi itu disertai peraturan, pengiktirafan terhadap hak cipta dan imbuhan yang adil kepada pencipta kandungan.

Mengakhiri pembentangannya, Nadim menyeru industri penerbitan, perpustakaan dan penulis supaya memanfaatkan AI secara bertanggungjawab bagi memastikan setiap karya mendapat peluang terbaik untuk ditemukan pembaca.

Kredit Foto: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi