Diterbitkan pada 10 Julai 2026, 15:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Rembau – Sekolah Menengah Agama (SMA) Sains Kuala Pilah mencipta kejayaan yang membanggakan apabila muncul johan dalam Pertandingan Forum Remaja MADANI Piala Menteri Pendidikan 2026 Peringkat Negeri Sembilan yang berlangsung meriah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Dato’ Haji Abu Hassan Haji Sail, Rembau, semalam.

Pertandingan ini dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan Pejabat Pendidikan Daerah Rembau.

Sebanyak lima buah pasukan berentap bagi merebut tempat ke Pertandingan Forum Remaja MADANI Piala Menteri Pendidikan Peringkat Kebangsaan Tahun 2026.

Selain menyandang gelaran johan, ahli panel daripada pasukan sekolah tersebut turut dinobatkan sebagai Panel Terbaik oleh pihak juri.

Sementara itu, tempat kedua menjadi milik SMK Tuanku Jaafar, di samping membawa pulang Anugerah Montaj Terbaik dan Anugerah Pengerusi Terbaik.

Tempat ketiga dimenangi oleh SMK Agama Sheikh Haji Mohd Said, manakala pasukan daripada SMK Pendeta Za’ba dan SMK Dato’ Sedia Raja pula menerima hadiah sagu hati.

Majlis perasmian penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah DBP Wilayah Tengah, YBrs. Puan Nurul Julia Alani Henry.

Penganjuran pertandingan ini diharapkan dapat menyemarakkan minat pelajar terhadap seni pengucapan awam dan budaya berforum, sekali gus melahirkan generasi muda yang berfikiran kritis, berdaya saing serta mampu menyampaikan idea secara matang dan berhemah.

Kredit Foto: Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi