Diterbitkan pada 25 Jun 2026, 12:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Pertandingan Forum Remaja MADANI Peringkat Negeri Perlis 2026 menjadi medan untuk mengasah pemikiran kritis dan melahirkan generasi muda yang berani menyuarakan pendapat, selain mampu menggunakan bahasa Melayu baku dengan baiknya.

Pertandingan anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis ini berlangsung dengan jayanya di Dewan Za’aba, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, Perlis, 22 Jun lalu.

Sebanyak enam buah sekolah berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir pertandingan setelah melalui saringan daripada 18 buah kumpulan yang kompetitif.

Para peserta mempamerkan keupayaan berhujah, menyampaikan idea secara matang dan berkesan serta mengupas isu-isu semasa dengan penuh keyakinan di hadapan panel hakim dan para penonton.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pengarah DBP Wilayah Utara, Encik Sharrul Rizal Hashim.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa penguasaan bahasa Melayu yang baik mampu membentuk generasi muda yang berkeyakinan, berwawasan dan berpotensi menjadi pemimpin masa hadapan.

Gelaran juara bagi Pertandingan Forum Remaja MADANI Peringkat Negeri Perlis 2026 pada kali ini menjadi milik Sekolah Menengah Agama (P) Kangar, manakala SMK Derma mendapat tempat kedua. Sementara itu, tempat ketiga disandang oleh SMK Tuanku Lailatul Shahreen.

Pemenang pertandingan ini menerima piala, sijil penghargaan dan wang tunai sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan mereka.

Para peserta Pertandingan Forum Remaja MADANI Peringkat Negeri Perlis 2026 bergambar bersama-sama dengan Pengarah DBP Wilayah Utara, Encik Sharrul Rizal Hashim.

Penganjuran pertandingan ini diharapkan dapat terus menjadi platform terbaik untuk melahirkan pelajar yang berketerampilan, berilmu dan berdaya saing selaras dengan aspirasi pendidikan negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi