Diterbitkan pada 22 Jun 2026, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tanjong Malim – Persatuan Persuratan Melayu (PPM) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah melakar sejarah apabila berjaya menerbitkan dan melancarkan buku antologi puisi Legasi Pendidikan hasil kerjasama Biro PEMUISI Negeri Perak.

Majlis pelancaran naskhah tersebut disempurnakan oleh Presiden Persatuan Penulis Budiman Malaysia, Profesor Dr. Abdul Halim Ali, di Dewan Kuliah Pusat 12, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI, 13 Jun lalu.

Buku antologi puisi ini memuatkan 101 buah sajak hasil nukilan 55 orang penulis yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, termasuklah tokoh sastera, ahli akademik, penulis mapan dan bakal guru.

Yang lebih istimewanya, penerbitan antologi puisi ini juga menampilkan karya daripada tokoh-tokoh berpengaruh seperti Sasterawan Negara (SN), pensyarah universiti dan aktivis sastera yang sentiasa komited untuk memperkasakan perkembangan kesusasteraan Melayu.

Antara nama besar yang menjadi penulis tamu dalam antologi ini termasuklah SN Dato’ Dr. Zurinah Hassan, Dato’ Dr. Haji Mohd Radzuan Ibrahim, Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff, Profesor Dr. Norkhalid Salimin, A. Halim Ali, Ihsan Noorzali dan Profesor Madya Dr. Norazimah Zakaria.

Alkhair AlJohore ketika menyampaikan puisi dalam majlis pelancaran buku antologi puisi Legasi Pendidikan.

Kepelbagaian latar belakang penulis menjadikan antologi ini kaya dengan pengalaman, pandangan dan tafsiran tentang peranan pendidikan dalam usaha membentuk masyarakat yang berilmu dan berakhlak.

Penerbitan antologi puisi ini menunjukkan kesungguhan dan keberanian generasi muda untuk menyumbang idea serta pemikiran melalui karya kreatif yang berteraskan dunia pendidikan.

Para penulis menzahirkan penghargaan terhadap jasa pendidik, cabaran dunia pendidikan semasa serta harapan untuk melahirkan generasi masa hadapan yang cemerlang.

Penerbitan karya ini diharapkan dapat menjadi khazanah ilmu yang terus menginspirasi generasi akan datang dalam usaha menghargai pendidikan sebagai warisan tidak ternilai.

Majlis ini menghimpunkan ahli akademik, pensyarah, mahasiswa, penyair dan pencinta sastera dalam satu majlis yang penuh makna bagi meraikan penerbitan antologi puisi yang mengangkat tema pendidikan.

Seorang daripada peserta tidak melepaskan peluang untuk menyampaikan puisi dengan penuh semangat.

Yang turut hadir memeriahkan majlis pelancaran ini ialah Penasihat Biro PEMUISI Negeri Perak, Profesor Madya Dr. Ghazali Din (Ihsan Noorzali); Penasihat Persatuan Persuratan Melayu, Profesor Madya Dr. Norazimah Zakaria; wakil Persatuan Alumni Suluh Budiman (PASB), Dr. Mashudi Bahari; Pengerusi Biro PEMUISI Negeri Perak, Alkhair Aljohore; pensyarah kesusasteraan Melayu dan wakil penulis.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi