Diterbitkan pada 22 Jun 2026, 11:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Wacana Interaktif Apresiasi Puisi Tunas Remaja anjuran Kelab Deklamator Pahang (KDP) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah dianjurkan pada 20 Jun lepas bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Methodist, Kuantan (MGSS).

Wacana interaktif tersebut menghimpunkan seramai 31 orang peserta dari seluruh negeri Pahang melibatkan murid sekolah menengah dan sekolah rendah yang berminat untuk menceburi deklamasi puisi.

Puan Amaruszati Noor Rahim selaku Pengerusi KDP berkata, “Wacana interaktif tersebut bertujuan untuk mencungkil dan menggilap bakat tunas remaja dalam seni mendeklamasikan puisi.”

Puan Amaruszati Noor Rahim ketika menyampaikan perkongsian dan pengalamannya.

“Sesi tersebut juga menjadi wadah persediaan kepada peserta yang akan menyertai Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Sekolah-sekolah Menengah (SDPKSM) peringkat Negeri Pahang yang akan diadakan tidak lama lagi.” Beliau turut menyatakan keterujaannya apabila banyak bakat baharu daripada para peserta terserlah sepanjang sesi wacana interaktif tersebut dijalankan.

Seramai tiga orang pembimbing telah mengisi tiga slot perkongsian ilmu, iaitu beliau sendiri yang juga merupakan seorang deklamator berkongsi tentang teori, teknik penyampaian dan kaedah menghadam puisi.

Selain itu, Encik Mohamad Asri Mat Husin yang merupakan Tokoh Bahasa Melayu Sektor Pendidikan pula telah berkongsi tentang olahan suara dan olahan tubuh, manakala Encik Muhammad Amirull Afiqq yang merupakan deklamator negeri Pahang telah menyampaikan perkongsian berkenaan cara untuk memesrai pentas.

Encik Mohamad Asri Mat Husin ketika menyampaikan perkongsian ilmu tentang olahan suara dan tubuh.
Encik Muhammad Amirull Afiqq ketika menyampaikan pengalamannya dengan cara yang tersendiri.

Puan Julia Alani Henry, Pengarah DBP Wilayah Tengah dalam ucapan semasa Majlis Perasmian Penutupan menzahirkan sokongan beliau terhadap pelbagai program yang mampu melahirkan bakat baharu dalam bidang deklamasi puisi.

Beliau turut menyatakan harapan agar wakil dari negeri Pahang yang akan bertanding semasa SDPKSM Peringkat Kebangsaan kelak mampu memberikan persembahan yang terbaik dan membawa pulang piala kemenangan.

Turut hadir ialah Puan Surizawati Shaafi, Guru Penolong Kanan Pentadbiran MGSS dan Puan Musazliza Mustan Shir (DBP).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi