Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAmpang Jaya – Kumpulan Tri Amerta dinobatkan sebagai juara pertandingan Temasya Pantun Majlis Perbandaran Ampang Jaya. Pertandingan yang dianjurkan julung kalinya oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya ini melibatkan kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka pada 23 Jun lepas di Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati.
Pertandingan ini menyaksikan penyertaan daripada pelbagai sekolah dan agensi di seluruh negeri. Pertandingan ini terbahagi kepada dua kategori, iaitu kategori Sekolah Menengah dan Terbuka (Umum).

Sebanyak sembilan buah sekolah menyertai pertandingan ini termasuklah SMK Sultan Muhammad, SMK Zon R1 Wangsa Maju, SMK Taman Kosas dan SMK Tasek Permai. Manakala tujuh buah pasukan bagi kategori terbuka terdiri daripada Hospital Ampang, Universiti Putra Malaysia, Alumni SMK Sultan Muhammad Batu Berendam, Melaka dan kumpulan persendirian.
Kumpulan Tri Amerta yang muncul sebagai juara membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1000 dan baucar buku tajaan Dewan Bahasa dan Pustaka bernilai RM300. Pasukan tersebut diwakili oleh Mohd Nazrullah Abdul Aziz, Hamzah Alezender dan Mohamad Hafizam Hakimi Sufian. Naib juara pula disandang oleh kumpulan Lantera yang membawa pulang hadiah wang tunai RM800 dan baucar buku bernilai RM200, manakala tempat ketiga dirangkul oleh kumpulan Meraga Sukma yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM700 dan baucar buku bernilai RM150.

Pasukan Hospital Ampang, Universiti Putra Malaysia dan Alumni SMK Sultan Muhammad, Batu Berendam, Melaka masing-masing mendapat hadiah sagu hati dan membawa pulang wang tunai RM200 dan baucar buku bernilai RM50.
Pemantun Terbaik Lelaki pula dimenangi oleh Mohd Nazrullah Abd Aziz dan pemantun terbaik perempuan ialah Nur Nabilah Abu Bakar. Masing-masing membawa pulang wang tunai RM100.

Bagi Kategori Sekolah Menengah, Kumpulan Lesir Kencana daripada SMK Sultan Muhammad, Batu Berendam Melaka muncul sebagai juara. Pasukan tersebut diwakili oleh Ahmad Iqrammilhairy Kamal, Amzar Aimullah Azman dan Ahmad Muhaimin Jasmi yang membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1000 dan baucar buku tajaan Dewan Bahasa dan Pustaka bernilai RM200.

SMK Zon R1 Wangsa Maju menyandang naib juara dengan membawa pulang wang tunai bernilai RM800 dan baucar buku bernilai RM150. Tempat ketiga pula dirangkul oleh kumpulan Gapuri Suri daripada SMK Sultan Muhammad, Batu Berendam Melaka yang membawa pulang wang tunai bernilai RM700 dan baucar buku RM100.
Kumpulan Lela Rentaka, Medali Sukma dan Nokhtah Lengkara daripada SMK Sultan Muhammad, Batu Berendam, Melaka mendapat hadiah sagu hati dengan membawa pulang wang tunai RM200 dan baucar buku bernilai RM50. Pemantun Terbaik Lelaki dimenangi oleh Ahmad Muhaimin Jasmi dan pemantun terbaik perempuan ialah Nur Syahira A. Djohan. Masing-masing membawa pulang wang tunai RM100.

Pertandingan ini memerlukan peserta mencipta pantun empat kerat dengan melibatkan tema, iaitu patriotik, pendidikan, agama, warisan, isu semasa, sejarah alam sekitar dan jenaka. Juri bagi pertandingan ini ialah YBrs. Dr. Faezah Muhayat, YBrs. Dr. Mohamad Shaidan, Puan Musazliza Mustan Shir, Puan Norhana Mohamad, Encik Muhammad Hariri dan Encik Mohamad Hanif Haikal Kamarulzaman.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Tuan Ts. Haji Hasronizam Shaari, Timbalan Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Ampang Jaya. Turut hadir ialah Puan Roziah Md Yunus, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Dewan Bahasa dan Pustaka.