Diterbitkan pada 25 Jun 2026, 15:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ipoh – Empat pasukan badan beruniform daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai berjaya meraih kedudukan dalam Karnival Kawad Kaki Formasi Pasukan Badan Beruniform Sekolah-sekolah Daerah Kinta Utara 2026 yang berlangsung di AEON Midtown Falim, Ipoh pada 23 hingga 24 Jun 2026.

Seramai 35 orang murid bagi setiap pasukan telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.

Pasukan yang mewakili sekolah tersebut terdiri daripada pasukan kadet polis, kadet bomba, kadet remaja sekolah dan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM).

Pasukan kadet polis lelaki berjaya meraih tempat kedua, manakala pasukan kadet remaja sekolah lelaki memenangi tempat ketiga. Sementara itu, pasukan BSMM lelaki dan pasukan kadet bomba perempuan masing-masing menduduki tempat keempat dan tempat kelima.

“Sebagai guru pengiring, saya melihat program ini memberikan peluang kepada murid untuk menimba pengalaman baharu dan meningkatkan keyakinan diri melalui aktiviti kokurikulum yang mencabar,” ujar guru pengiring SMK Tasek Damai.

Kejayaan tersebut dapat menjadi inspirasi kepada murid-murid lain untuk terus aktif dan cemerlang dalam bidang kokurikulum.

Kejayaan yang diraih turut membuktikan komitmen tinggi para murid serta bimbingan berterusan daripada guru penasihat pasukan badan beruniform.

Penyertaan dalam karnival ini bukan sahaja menguji kemahiran kawad kaki formasi, malah berjaya memupuk sikap bekerjasama, kepemimpinan dan disiplin dalam kalangan peserta.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi