Diterbitkan pada 24 Jun 2026, 15:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ampang Jaya – Kebijaksanaan mengarang, kesantunan dalam penyampaian pantun dan keupayaan memeriahkan suasana telah menobatkan Mohd Nazrullah Abdul Aziz sebagai pemantun terbaik keseluruhan dalam Temasya Pantun Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) 2026.

Temasya anjuran MPAJ dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini berlangsung dengan jayanya di Pusat Konvensyen MPAJ Taman Melati, semalam.

Mohd Nazrullah daripada pasukan Tri Amerta berkata, beliau begitu teruja kerana dapat menyertai pertandingan sebegini semula memandangkan sudah hampir 10 tahun beliau tidak beradu di gelanggang pertandingan pantun.

“Saya tidak menyangka apabila diumumkan sebagai pemantun terbaik keseluruhan kerana semua peserta mempunyai kehebatan dan keunikan tersendiri ketika berpantun,” tambah beliau.

Ahli pasukan Tri Amerta dan Putera Cenderawasih bergambar bersama-sama dengan juri pertandingan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak MPAJ kerana telah berjaya menganjurkan sebuah temasya pantun dalam usaha mengangkat serta memartabatkan warisan dan budaya Melayu.

Beliau yang merupakan Munsyi Muda Bahasa Perkhidmatan Awam dan Penguasa Bomba di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100.00.

Pertandingan kategori terbuka itu disertai oleh tujuh pasukan. Pada peringkat akhir, pasukan Tri Amerta berentap dengan pasukan Lentera dalam tiga pusingan dengan tema peribahasa, alam sekitar dan jenaka.

Pasukan Tri Amerta muncul sebagai juara dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000.00.

Pasukan Tri Amerta merangkul gelaran johan dalam Temasya Pantun MPAJ 2026.

Pasukan Lentera pula dinobatkan sebagai naib juara dengan hadiah wang tunai RM800.00, manakala tempat ketiga menjadi milik pasukan Merga Sukma yang menerima hadiah wang tunai RM600.00.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua MPAJ, YBrs. Ts. Haji Hasrolnizam Shaari.

Kredit Foto: Nazrul Aziz
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi