Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjong Malim – Program Ruang Harapan: Bertumbuh dalam Ujian anjuran Exco Disiplin dan Tatatertib, Persatuan Bimbingan dan Kaunseling (KASIH) menjadi wadah yang dapat menyuntik semangat mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk menghadapi setiap ujian dalam kehidupan.
Program yang berlangsung di platform Google Meet dan saluran YouTube KASIH UPSI, semalam menampilkan Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Profesional, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Muhamad Ashraf Rostam sebagai panel jemputan.
Dalam sesi tersebut, beliau memperkenalkan model “The Stress Bucket”, iaitu model yang menjelaskan punca berlakunya stres.
“Dalam model ini, jika stres tidak dibendung dengan cara yang bijak, maka air di dalam baldi akan melimpah keluar. Semua air yang masuk ke dalam baldi itu melambangkan faktor yang menyumbang kepada stres,” jelas beliau.
Beliau menegaskan bahawa mahasiswa harus bijak mengatasi stres dan tidak mudah berputus asa apabila berdepan dengan cabaran untuk mencapai kejayaan.
Beliau turut berkongsi kata-kata daripada Thomas Edison, iaitu pencipta mentol dan sistem elektrik.
“Edison berkata bahawa beliau tidak menganggap percubaannya sebagai suatu kegagalan walaupun belum menemukan formula yang tepat untuk menghasilkan mentol yang dapat bernyala. Daripada situasi ini, kita dapat melihat bahawa setiap ujian dalam kehidupan menjadikan seseorang lebih bersedia, tabah dan kuat untuk menghadapi cabaran,” katanya.
Penganjuran program ini diharapkan dapat membimbing mahasiswa supaya lebih bijak membuat keputusan dan berupaya mengawal stres dengan berkesan.