Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Pinang – Kreativiti dan bakat generasi baharu penulis muda terserlah menerusi Pameran Karya Kreatif 2026 yang dianjurkan oleh Bahagian Kesusasteraan, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), Universiti Sains Malaysia (USM), sebagai projek akhir bagi kursus HKP319 Penulisan Kreatif dan Penyuntingan II.
Pameran yang berlangsung di Dewan Persidangan PPIK itu menampilkan tujuh pelajar yang mempersembahkan karya kreatif hasil usaha dan penelitian mereka sepanjang semester. Mereka terdiri daripada Marthilda Clounnie (Nkadis Biru), Haziq Harizal (Anak Kerak), Nur Afiqah Hasri (Dahlia), Nur Zulaikha Rusi (Dendam Kasih Sayang), Ikmal Rizwan Basri (Bisikan Alam), Nabihan Hazim Adnan (Aku Ingin Berhijrah) dan Ann Sabastian Saulian (Tonggolom).

Pensyarah kursus, Dr. Rosnidar Ain dan Dr. Mohd. Shahremy Ikmal Shahbudin berharap pameran ini bukan sekadar platform penilaian akademik, sebaliknya menjadi ruang untuk pelajar memperkenalkan karya mereka kepada khalayak serta memahami realiti dunia penulisan yang semakin mencabar.
Menurut Dr. Mohd. Shahremy:
Penghasilan karya kreatif memerlukan gabungan imaginasi, disiplin, kemahiran penyelidikan dan kesedaran terhadap isu-isu semasa yang berlaku dalam masyarakat. Justeru, projek akhir seperti ini memberi peluang kepada pelajar mengalami sendiri proses yang dilalui oleh penulis profesional bermula daripada pencetusan idea, penulisan manuskrip, penyuntingan sehingga proses penerbitan dan promosi karya.
Pameran ini turut memperlihatkan kepelbagaian tema dan pendekatan yang diterokai oleh para pelajar. Ada pelajar yang mengetengahkan persoalan identiti, hubungan kekeluargaan, cabaran generasi muda, perubahan sosial serta pelbagai isu kemanusiaan yang dekat dengan pengalaman masyarakat hari ini.
Lebih penting, pameran ini membuktikan bahawa dunia sastera masih mempunyai tempat yang signifikan dalam kalangan generasi muda. Para pelajar berjaya menunjukkan bahawa kreativiti manusia, kepekaan emosi dan pengalaman hidup tetap menjadi teras kepada penghasilan karya yang bermakna.

Penganjuran program seumpama ini diharap dapat menjadi batu loncatan kepada para pelajar untuk melangkah lebih jauh dalam bidang penulisan kreatif kelak. Para penulis muda ini berpotensi untuk menerbitkan buku sendiri, menyertai sayembara penulisan, menjadi editor, penulis skrip, pengkarya media digital atau penyelidik dalam bidang kesusasteraan dan budaya.
Dalam masa yang sama, pameran ini juga turut membuka ruang jaringan antara pelajar, pensyarah, penerbit dan komuniti sastera yang dapat membantu mereka mengembangkan bakat secara lebih profesional pada masa hadapan. Perkara ini diakui oleh wakil penerbit USM iaitu Puan Jannatun Hidayah ketika meneliti potensi karya-karya tersebut untuk diterbitkan.