Diterbitkan pada 7 Mei 2026, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Oleh: Mohamad Aidil Adha

Serdang – Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kelab Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) dengan kerjasama Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah melaksanakan “Program Bimbingan Penulisan: Proses Kreatif Karya Terpilih (Siri VI)” pada 06 April 2026 bertempat di Auditorium Za’ba, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM.

Program tersebut menampilkan penceramah jemputan, iaitu YBrs. Dr. Ahmad Fadhil atau lebih dikenali sebagai Fahd Razy. Beliau yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkongsi tentang pengalamannya menulis puisi dan cerpen dengan memasukkan unsur konkrit bagi memberikan makna karya kepada pembaca.

Menurutnya, bagi memberi kesan yang mendalam kepada pembaca, puisi yang baik harus mempunyai aspek ambiguiti yang diselami dengan idea yang bersifat emosi, manakala cerpen seharusnya perlu mendapat inspirasi daripada pascasejarah, mitos dan isu semasa dalam peradaban dunia. Terangnya,

Menulis puisi dan cerpen bukan sekadar suatu peristiwa, tetapi melibatkan proses yang memerlukan latihan dan konsisten yang berpanjangan demi hasil yang terbaik.

Ujarnya lagi, sebagai seorang penulis, aspek teknikal dan masa amat dititikberatkan kerana karya yang baik bukan sekadar seberapa banyak karya ditulis, tetapi sejauh mana inti pati karya tersebut mampu memberi manfaat kepada pembaca.

Selain itu, beliau juga turut berpesan kepada peserta yang ingin melangkah ke dunia penulisan puisi dan cerpen supaya banyak membaca karya penulis lain dan harus menanam minat yang mendalam terhadap dunia penulisan serta mencatat segala ilham yang terlintas dalam fikiran. Katanya,

Berkongsi pandangan, pengalaman, emosi, ekspresi kreatif serta minat ialah rencah utama dalam dunia penulisan sastera.

Dr. Fazilah Husin, selaku tuan rumah merangkap Ketua Jabatan Bahasa Melayu turut menasihati para peserta untuk mengambil peluang untuk mengembangkan bakat penulisan kreatif melalui inspirasi Alumni MPR yang berpengalaman luas.

Program ini merupakan sebahagian daripada aktiviti Kelab Alumni MPR yang diadakan dengan kerjasama FBMK UPM sejak Januari lalu. Antara penceramah yang telah terlibat pada siri lepas termasuklah Salina Ibrahim, Lutfi Ishak, A. Muziru Idham Adnan, Hafizah Iszahanid dan Nisah Haron.

Para pelajar FBMK juga beroleh manfaat dengan belajar aspek pengurusan acara sastera, selain berpeluang berbincang serta bertukar pandangan dengan para penulis.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi