Diterbitkan pada 14 Februari 2026, 20:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Proses penciptaan sajak menuntut penelitian terhadap bagaimana sesuatu kata itu membentuk makna dalam konteks zamannya. Demikian tegas Ketua Editor Bahagian Buku Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Ja’afar Hamdan ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Mulanya dengan Kata Berakhirnya dengan Makna” dalam Kolokium Sastera: Kajian Genre Puisi yang berlangsung di Menara DBP semalam.

Menurut beliau, bagi menjelaskan gagasan tersebut, beliau merujuk dialog dalam filem Hang Tuah yang mempersoalkan perubahan huruf daripada “Tuah” kepada “Buah”, sekali gus memperlihatkan bagaimana pertukaran bunyi dan ejaan mampu mengubah keseluruhan makna dan tafsiran.

“Di situ kita melihat bagaimana mulanya kata boleh menentukan berakhirnya makna,” ujarnya sambil menjelaskan bahawa pemaknaan dalam puisi perlu difahami melalui beberapa elemen penting.

Ja’afar menggariskan lima elemen utama, dengan penekanan khusus terhadap konsep estetika harmoni yang menurutnya menjadi asas kepada pemikiran dalam puisi. Estetika harmoni tersebut, katanya, terbina atas tiga tunjang utama, iaitu kekaguman, kesedaran dan keinsafan.

“Kekaguman hadir melalui pemilihan diksi dan pembinaan ungkapan yang indah. Daripada kekaguman itu lahir kesedaran, dan akhirnya membawa kepada keinsafan,” jelasnya.

Beliau turut mengaitkan pemilihan kata dengan perubahan zaman dan penerimaan khalayak. Mengambil contoh sajak “Ke Makam Bonda” karya Usman Awang, beliau menjelaskan bahawa penggunaan kata seperti “makam” dan “bonda” amat sesuai dengan konteks puisi tersebut ketimbang “kubur” dan “ibu” walaupun secara semantik, maksudnya seerti. Namun, dalam landskap puisi digital dan media sosial hari ini, pilihan diksi seperti “ibu” mungkin lebih dekat dengan pembaca dan berpotensi menerima respons yang berbeza.

Beliau turut menghuraikan bagaimana perbezaan panggilan seperti ibu, emak, umi atau mama, serta ayah, abah atau bapa, merujuk individu yang sama tetapi membawa konotasi dan nuansa makna yang berbeza. Perbezaan tersebut, menurutnya, memberi implikasi terhadap pembinaan watak dan emosi dalam sesebuah puisi.

Dalam membicarakan aspek tafsiran, Ja’afar mengakui bahawa terdapat puisi yang terlalu tinggi dan sukar dijejaki maknanya. Beliau mencontohkan karya-karya yang bersifat simbolik dan eksperimental yang membuka ruang kebebasan tafsiran kepada pembaca, namun pada masa sama menuntut kesedaran mendalam untuk memahami jejak makna yang tersembunyi.

Beliau turut berkongsi pengalaman berdiskusi dengan rakan penulis dan pembimbing berhubung sebuah sajak penulis muda yang sarat dengan imejan imaginatif, termasuk baris yang menggambarkan “menggenggam matahari”. Perbezaan pandangan tentang sama ada imejan tersebut wajar atau mengelirukan memperlihatkan bahawa tafsiran puisi sentiasa terbuka dan bergantung pada kerangka pemikiran pembaca.

Dalam konteks keseimbangan tema, Ja’afar turut menyentuh karya penyair seperti Pyanhabib yang sering mengangkat isu pembangunan dan alam sekitar. Menurutnya, puisi tidak semestinya bersifat protes secara langsung, sebaliknya boleh mengajak pembaca merenung keseimbangan antara kemajuan dan kelestarian melalui pendekatan yang lebih halus dan menginsafkan.

Mengakhiri pembentangan, beliau merumuskan bahawa sajak bukan sekadar “kata-kata terbaik dalam susunan terbaik”, sebaliknya wadah yang membina konteks melalui ungkapan untuk dimaknakan secara mendalam. Mengutip pandangan Za’ba, beliau menegaskan bahawa sastera ialah kata-kata yang membina minda dan rasa sesuatu bangsa.

Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi