Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Senarai sepuluh puisi popular dari segi jumlah “suka” dan “kongsi” di platform digital Tukang Puisi memperlihatkan satu fenomena yang semakin ketara dalam landskap sastera semasa, iaitu penulis baharu dan kurang dikenali mampu bersaing, malah mengatasi kedudukan pengarang mapan dari segi sambutan pembaca.
Nama seperti Afiifah Shariha, Suhaila Yusman, Daniyal Kadir, Adibah Abdullah, Fred Ikhtiar dan Stefanie Kaso bukanlah tokoh yang lazim disebut dalam arus perdana sastera tanah air. Sebahagian daripada mereka tidak mempunyai latar belakang penulisan formal, dan ada yang menulis secara anonim. Namun begitu, karya mereka mendapat ribuan tanda suka dan perkongsian, mengatasi puisi daripada penulis yang sudah lama bertapak.
Perkara ini dibentangkan oleh Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Fahd Razy menerusi kertas kerja bertajuk “Trend dan Cita Rasa Pembaca Digital: Perbandingan Sepuluh Puisi Paling Viral di Tukang Puisi” dalam Kolokium Sastera: Kajian Genre Puisi yang berlangsung di Menara DBP semalam.
Menurut beliau, selain puisi Perempuan Kesepian karya T. Alias Taib, kebanyakan puisi oleh penulis mapan seperti Zurinah Hassan, Hilmi Rindu dan Shafei al-Samadi yang tersenarai bukanlah daripada kumpulan karya ikonik mereka. Hal ini memberi isyarat jelas bahawa dalam ekosistem media sosial, kandungan puisi lebih diutamakan berbanding nama besar penulis.
“Gelanggang puisi di media sosial sangat demokratik dan sukar dijangka. Pada masa yang sama, situasi ini membuka ruang persaingan yang lebih sihat antara penulis lama dan baharu,” jelasnya.
Daripada pemerhatian terhadap sepuluh puisi tersebut, pembaca digital didapati mengutamakan tiga ciri utama, iaitu kejelasan makna, kekuatan serta keakraban emosi dan keringkasan bentuk.
“Dapatan ini selari dengan tabiat tipikal pengguna media sosial yang lebih cenderung kepada bahan bacaan pantas tetapi menyentuh perasaan. Puisi tidak lagi dinilai semata-mata atas keindahan estetika bahasa, sebaliknya pada kemampuan karya menjadi cermin pengalaman peribadi pembaca,” ujarnya.
Trend ini sekali gus menggambarkan perubahan fungsi puisi dalam era digital. Menurut Fahd Razy, puisi kini berperanan sebagai medium komunikasi sosial yang dikongsi untuk mewakili perasaan, mencari validasi emosi serta membina hubungan sesama pengguna.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa perbandingan ini tidak boleh dijadikan kayu ukur mutlak nilai sasterawi sesebuah puisi. “Interaksi tinggi di media sosial melibatkan khalayak umum yang majoritinya bukan pembaca sastera tegar, maka pertimbangan estetika dan mutu karya tidak dapat diukur secara konvensional,” jelasnya,
Namun begitu, memahami kecenderungan ini penting bagi pengkaji dan penulis untuk melihat potensi serta ruang baharu yang boleh diterokai tanpa mengabaikan kualiti sastera.
Selain itu, tema peribadi dan intim seperti kehilangan insan tersayang, hubungan dengan ibu bapa, dan kesedihan didapati paling mudah menyentuh hati pembaca. Puisi pendek, lazimnya kurang daripada 10 baris, juga lebih mudah mendapat perhatian dalam budaya “scroll” yang pantas.
Fahd Razy turut memerhatikan bahawa puisi bernada emosi negatif seperti hiba, rindu dan pasrah menerima respons lebih tinggi berbanding puisi bertema politik atau isu sosial yang berat. Walaupun data menunjukkan kecenderungan pembaca terhadap karya ringkas dan emosional, beliau menegaskan bahawa hal ini bukan ukuran tunggal kualiti sastera.
“Kita perlu mencari jalan tengah supaya karya yang mempunyai mutu sastera tinggi juga dapat dinikmati khalayak digital yang lebih luas,” katanya.
Kesedaran terhadap pola pembacaan ini membantu penulis dan pembaca mengurus jangkaan masing-masing terhadap reaksi khalayak. Dalam masa yang sama, kesedaran ini membuka ruang adaptasi agar puisi terus relevan dan mampu bertahan dalam arus perubahan teknologi serta budaya komunikasi masa kini.
Sebagai rekod, analisis tersebut dijalankan berasaskan data yang dikumpul sejak penubuhan platform itu pada 2018. Dengan lebih 100,000 pengikut di Facebook, 13,400 di Instagram dan hampir 6,000 di platform X, Tukang Puisi kini antara komuniti puisi digital terbesar di Malaysia.