Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Industri perbukuan kanak-kanak di Malaysia perlu beralih daripada orientasi keuntungan semata-mata kepada penghasilan karya yang benar-benar memahami jiwa dan keperluan golongan cilik.
Penerbitan buku yang hanya berpaksikan kepada keperluan kurikulum sekolah atau sekadar mengejar jualan pukal dikhuatiri akan membantutkan minat membaca yang tulen serta mengecilkan ruang imaginasi kanak-kanak.
Demikian menurut Presiden Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia, YBhg. Dato’ Ahmad Redza Ahmad Khairuddin dalam forum buku dan sastera kanak-kanak anjuran Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) yang bertajuk “Apa yang Penerbit Mahu, dan Apa yang Kanak-kanak Perlukan?” yang berlangsung secara dalam talian malam semalam.

Ahmad Redza menegaskan bahawa buku kanak-kanak yang berkualiti tinggi selalunya memerlukan kajian yang mendalam dan masa penghasilan yang lama serta ada kalanya mencecah bertahun-tahun. Beliau mengkritik trend sesetengah penerbit yang menetapkan garis masa terlalu singkat demi mengejar penyertaan dalam pesta buku atau pelancaran oleh orang kenamaan.
“Kanak-kanak sebenarnya tidak memerlukan buku yang hanya mengajar mengikut kurikulum semata-mata. Seawal usia satu hingga tiga tahun, rangsangan intelektual mereka datang daripada warna, bentuk, bunyi dan ilustrasi yang hidup yang membolehkan mereka melihat diri mereka di dalam cerita tersebut,” ujar beliau. Kegagalan memahami psikologi ini menyebabkan banyak buku di pasaran bersifat didaktik sehingga membosankan pembaca muda.
Forum tersebut turut menyentuh mengenai keberanian penerbit tempatan dalam menangani isu sensitif tetapi kritikal seperti pendidikan keselamatan tubuh badan dan gangguan seksual.
Ahmad Redza juga berpandangan bahawa sudah tiba masanya masyarakat Malaysia membuang sifat tabu terhadap topik ini demi perlindungan kanak-kanak.
“Pendedahan awal melalui penceritaan yang bertanggungjawab adalah perlu memandangkan kanak-kanak kini terdedah kepada pelbagai maklumat tidak tertapis di internet,” ujarnya. Beliau turut memuji usaha penulis muda yang mula menghasilkan buku bertemakan keselamatan diri. Topik ini sebenarnya telah lama dipraktikkan secara terbuka di luar negara menerusi sastera kanak-kanak.
Selain itu, beliau turut melahirkan rasa kesal terhadap lambakan buku yang dijual dengan diskaun melampau sehingga 90 peratus di pesta buku. Tindakan ini dianggap sebagai tidak menghargai harta intelek dan memberi kesan negatif kepada ekosistem industri.
Beliau juga menyeru agar peranan perpustakaan sekolah diperkasakan semula dengan bahan bacaan yang menarik, bukannya sekadar menjadi tempat akademik atau rujukan peperiksaan semata-mata.
Sesi tersebut dipengerusikan oleh pensyarah Jabatan Sains Sosial dan Hospitaliti Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) Sabah, YBrs. Dr. Norazly Nordin.