Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Sastera kanak-kanak merupakan medium penting yang memupuk nilai perpaduan dan kefahaman antara kaum sejak usia muda, sekali gus berperanan membentuk pemikiran, emosi dan jati diri generasi masa hadapan.
Kesedaran terhadap peranan tersebut dibincangkan menerusi sesi Bual Bicara: Merayakan Dunia Kanak-kanak yang menampilkan penulis dan penggiat buku kanak-kanak, Emila Yusof, Shida Ayub dan Zalila Isa, bersempena dengan Jualan Gudang Mega Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung di Kompleks DBP Hulu Kelang dari 20 hingga 29 Disember 2025.
Sesi bual bicara yang berlangsung dalam suasana santai itu memberikan tumpuan kepada perbincangan proses kreatif dan cabaran penerbitan buku kanak-kanak, khususnya karya terbaharu terbitan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) yang bertemakan perpaduan masyarakat berbilang kaum. Buku-buku berkenaan sebelum ini telah dilancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Selangor (PBAS) 2025.
Menurut Emila Yusof, penulis yang telah menghasilkan lebih daripada 60 judul buku kanak-kanak, penerbitan buku bertemakan perpaduan tersebut melalui proses pemilihan yang teliti dan kompetitif. Katanya, GAPENA menerima hampir 90 penyertaan sebelum disenarai pendek kepada 30 karya, dan akhirnya hanya 15 judul dipilih untuk diterbitkan.
Sementara itu, Shida Ayub, penulis yang sebelum ini lebih dikenali dalam bidang perbukuan, mengakui bahawa penulisan buku kanak-kanak memerlukan pendekatan yang berbeza, khususnya dari segi pemilihan bahasa dan pembinaan naratif.
“Menulis untuk kanak-kanak bukan perkara mudah. Pemilihan perkataan perlu disesuaikan dengan umur sasaran, terutamanya kanak-kanak seawal empat tahun hingga enam tahun. Cerita mesti ringkas, jelas dan dekat dengan dunia mereka,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa tema perpaduan disampaikan secara sederhana melalui penceritaan kehidupan seharian serta keunikan setiap kaum agar kanak-kanak dapat memahami konsep kebersamaan secara semula jadi dan menyeronokkan.
Dalam pada itu, Zalila Isa, editor sastera yang berpengalaman, menekankan kepentingan kemahiran khusus serta rujukan yang meluas bagi menghasilkan karya yang berkualiti tinggi.
“Kita tidak semestinya perlu mempunyai anak untuk menulis atau menyunting buku kanak-kanak, tetapi perlu banyak membaca, meneliti rujukan dan sentiasa belajar daripada pengalaman. Setiap buku yang dihasilkan memberikan pengajaran baharu,” ujarnya.
Beliau turut berharap agar penerbitan buku bergambar kanak-kanak di Malaysia dilaksanakan dengan lebih teliti dan bertanggungjawab, bukan sekadar memenuhi keperluan pasaran atau keuntungan, sebaliknya berfungsi sebagai medium pembentukan karakter, nilai murni dan jati diri kanak-kanak sejak kecil.