Diterbitkan pada 7 Disember 2025, 14:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Setia Alam — Anugerah Ilustrasi Yusof Gajah (YGIA) 2025 mencatat sejarah baharu apabila menerima sebanyak 472 penyertaan, iaitu peningkatan mendadak sebanyak 307 peratus dalam tempoh dua tahun.

Hal yang demikian sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pertandingan ilustrasi kanak-kanak paling pesat berkembang di negara ini. 

Pertandingan yang diasaskan pada tahun 2022 itu kini menjadi platform utama bagi mengasah bakat ilustrator tempatan, memupuk kreativiti dan memperkukuh ekosistem sastera kanak-kanak melalui seni visual kanak-kanak di Malaysia. 

Kejayaan luar biasa ini diserlahkan pada Majlis Penyampaian Anugerah Ilustrasi Yusof Gajah 2025 yang berlangsung di Pusas Konvensyen Setia City bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Selangor pada Jumaat lalu.

Majlis itu turut menerima keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Tengku Pemaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, yang mencemar duli hadir sebagai tanda sokongan terhadap perkembangan seni ilustrasi tanah air.

Keberangkatan baginda turut disifatkan sebagai penghormatan besar kepada para penggiat seni dan komuniti buku kanak-kanak di negara ini.

Dalam ucapan alu-aluan, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), YBhg. Datin Paduka Mastura Haji Muhammad menzahirkan perasaan syukur atas perkembangan memberangsangkan pertandingan tersebut. 

Beliau menegaskan bahawa YGIA bukan sekadar sebuah pertandingan, tetapi usaha berterusan PPAS untuk mengangkat suara dan imaginasi anak muda melalui seni visual yang segar dan berkualiti.

Menurutnya, peningkatan penyertaan menunjukkan keyakinan tinggi para ilustrator terhadap kredibiliti YGIA serta minat mendalam bakat tempatan terhadap bidang ilustrasi.

Mastura menjelaskan bahawa pertandingan itu menerima sebanyak 116 penyertaan pada tahun 2023, sebelum meningkat kepada 244 penyertaan pada tahun 2024.

Pada tahun ini, jumlah penyertaan melonjak kepada 472, melibatkan sebanyak 353 penyertaan bagi kategori dewasa dan 119 penyertaan kategori kanak-kanak dan remaja. 

“Pertumbuhan pesat itu mendorong PPAS untuk terus memperkukuh program pembangunan bakat melalui latihan, pameran, peluang penerbitan dan kolaborasi strategik, selain memperhalus YGIA agar kekal profesional, telus dan kompetitif,” ujar beliau.

Bagi meningkatkan prestij YGIA, nilai hadiah wang tunai turut dinaikkan bagi kedua-dua kategori yang dipertandingkan.

Mastura menegaskan bahawa langkah tersebut diambil sebagai penghargaan terhadap usaha gigih para ilustrator serta sebagai dorongan untuk memperkukuh lagi daya saing industri ilustrasi tanah air. 

Pertandingan pada tahun ini turut melibatkan panel penjurian antarabangsa melalui kerjasama International Board on Books for Young People (IBBY), sekali gus meningkatkan kredibiliti dan keterlihatan YGIA pada peringkat global.

PPAS turut berhasrat memperluas jaringan antarabangsa bagi membuka lebih banyak peluang kepada ilustrator Malaysia untuk dikenali di luar negara.

Mastura menyatakan keyakinan bahawa pertumbuhan YGIA akan memberikan kesan positif bukan sahaja kepada dunia penerbitan kanak-kanak, malah turut menyumbang kepada ekonomi kreatif dan pelancongan Selangor.

Dalam ucapan penutupnya, Mastura merakamkan penghargaan kepada semua juri, peserta, rakan kerjasama serta pihak yang menjayakan YGIA 2025.

Beliau turut menyampaikan ucapan tahniah kepada para pemenang yang menerima pengiktirafan pada majlis tersebut, serta menyeru mereka agar terus berkarya dan membawa kreativiti Malaysia ke peringkat dunia.

Majlis yang dihadiri oleh tokoh penting dalam industri buku turut menyaksikan kehadiran Datuk Bandar Shah Alam, YBhg. Dato’ Haji Muhammad Fauzi Haji Muhammad Yatim; Presiden Lembaga Buku Anak Muda Malaysia (MBBY), YBhg. Dato’ Ahmad Redza Ahmad Khairuddin; Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Encik Mohd Khair Ngadiron serta Ketua Juri YGIA 2025, YBhg. Profesor Dr. Muhammad Sidin Ahmad Ishak dari Universiti Selangor.

Turut menyerikan majlis ialah tokoh sastera negara termasuk Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh.

Kredit Foto: PPAS
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi