Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuching – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) meneruskan komitmennya dalam memperkukuhkan budaya ilmu dan penulisan melalui penganjuran program Sembang Santai Bersama Penulis yang berlangsung pada 24 Oktober di Pentas Utama, Dewan Bankuet, DeTAR PUTRA. Program ini diadakan bersempena dengan Festival Idea dan Pesta Buku Borneo.
Program ini menampilkan penulis prolifik Sabah, Ruhaini Matdarin dan penterjemah tersohor, Pauline Fan yang juga merupakan Pengarah Kreatif PUSAKA. Sesi ini dikendalikan oleh Dayang Nurlisa sebagai moderator dan disiarkan secara langsung melalui Facebook.

Dalam sesi tersebut, Ruhaini Matdarin berkongsi tentang minat mendalamnya terhadap dunia penulisan yang bermula sejak kecil. Beliau menceritakan bahawa minat membacanya merupakan pemangkin kepada kerjaya sasteranya sekarang.
Beliau juga turut menjelaskan bahawa perkembangan dunia digital tidak memberi sebarang kesan dan tidak menjadi hambatan dalam dunia kepengarangannya. Terangnya,
Saya tidak memiliki sebarang akaun media sosial kerana daya cipta seorang penulis datang daripada hati, bukan daripada medium.
Beliau juga menyatakan bahawa seorang penulis tidak seharusnya dikongkong oleh konsep tertentu, sebaliknya perlu mengawal konsep itu agar cerita menjadi hidup. Tambahnya, proses penyuntingan amat penting dan sepatutnya turut dilakukan oleh penulis sendiri untuk memastikan agar keaslian suara karya terpelihara. Jelasnya lagi,
Menulis dengan hati. Kalau jiwa menderita dek terikat dengan konsep, maka karya itu tidak akan siap atau kalau siap pun, karya tersebut akan ‘kering’.
Sementara itu, Pauline Fan berkongsi tentang pengaruh besar yang ditinggalkan oleh bapanya yang juga merupakan seorang penulis dan pencinta buku akhirnya membentuk kecintaannya terhadap penulisan, pembacaan dan akhirnya dunia penterjemahan. Beliau mendedahkan bahawa beliau memilih karya Ruhaini Matdarin untuk diterjemahkan kerana sudah tertarik sejak membaca halaman awal novel sejarah itu.
Beliau menekankan bahawa penterjemah perlu memiliki gaya dan cara tersendiri, yakni sentuhan manusiawi yang mengekalkan roh karya asal selain menyalurkan keunikan suara sendiri. Menurutnya, ciri ini tidak terdapat pada mesin terjemahan. Olahnya lagi,
Kalau kita tidak benar-benar suka kepada karya itu, maka kita tidak akan dapat menyelami nadinya.
Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa proses penterjemahan memerlukan komitmen yang tinggi dan boleh mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan dengan sempurna. Beliau memberi nasihat kepada penterjemah muda supaya mereka benar-benar mencintai karya asal dan masuk ke dalam dunianya selain membina hubungan dengan penulis asal.
Ruhaini Matdarin turut memberikan “cuitan” manis tentang dunia sastera negara:
Tunggu kami duduk sebaris dengan Han Kang dan Laszlo Krasznahorkai tahun depan di Frankfurt Book Fair.
Program ini berjaya mencipta suasana yang santai tetapi penuh wacana serta mempertemukan dunia penulisan dan penterjemahan dalam suatu ruang dialog yang segar.