Diterbitkan pada 25 Ogos 2025, 18:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Bengkel Pengkarya Muda Peringkat Kebangsaan merupakan siri jelajah ke seluruh negara anjuran bersama Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem ASWARA dengan Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia. Kali ini, Kota Kinabalu dipilih sebagai satu daripada tempat bengkel siri jelajah tersebut. Bengkel ini telah berlangsung pada 13 hingga 14 Ogos lepas bertempat di Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Sabah.

Puan Roziah Adama selaku Ketua Program Penulisan Kreatif, Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem mengatakan bahawa siri jelajah bengkel Penulisan Cerpen Borneo ini merupakan usaha yang dapat mencungkil bakat dan potensi para pelajar selain dapat meningkatkan amalan membaca dan apresiasi karya kreatif.

Beliau juga turut mengatakan bahawa program ini merupakan satu usaha untuk mempromosikan fakulti Penulisan Kreatif dan Filem kepada para pelajar yang berminat.

Para peserta bengkel ini merangkumi 58 murid sekolah menengah, 29 guru dan enam pegawai dari Sektor Sumber Teknologi Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (SSTP, JPN Sabah).

Pada masa yang sama, Siti Nur Aqilah Amira atau nama penanya, Aqmir Alhamdi yang juga merupakan Alumni Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem turut menghadiri bengkel tersebut untuk berkongsi pengalamannya saat menuntut ilmu Penulisan Kreatif di ASWARA. Beliau berkongsi ilmu berkaitan dengan skrip, cerpen, puisi, dan novel.

Pembimbing bengkel, Dr. Nasir Razali memberi peluang kepada para pelajar untuk membentangkan hasil cerpen yang telah dibuat selama dua hari. Terdapat dua kategori yang diadakan, iaitu kategori Tulisan Cantik dan kategori Idea Terbaik.

Kategori Tulisan Cantik dimenangi oleh Keisha Safrin Saleh (tempat pertama) dari SM Maktab Sabah, Nur Zara Zahirah (tempat kedua) dari SM All Saints dan Fernando Torres David Davie (tempat ketiga) dari SMK Tansau.

Kategori Idea Terbaik pula dimenangi oleh Muhammad Fazrinsyah Irwansyah (tempat pertama) dari SMKA Tun Said dan Siti Nur Syafika (tempat kedua) dari SMK Perempuan Likas.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi