Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Suara mendayu-dayu dan persembahan penuh penghayatan oleh Syaidatulmulia Mabulmaddin dari University College Sabah Foundation (UCSF) berjaya memukau juri dan penonton, sekali gus melayakkan beliau dinobatkan sebagai johan Pertandingan Nyanyian Lagu Puisi Institut Pendidikan Tinggi (IPT) yang berlangsung pada malam semalam di Theatrette Ahmad Nisfu.
Dengan lagu Suara Cengkerik yang membawa tema alam dan kesunyian malam, Syaidatulmulia tampil menyanyi sambil diiringi oleh petikan gitar elektrik berlatarkan bunyi rintik hujan dan nyanyian cengkerik malam yang menyatu indah dengan lenggok vokalnya.
Aura persembahannya yang dramatik dan penuh jiwa nyata meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton dan juri. Menerusi keterampilan persembahannya, Syaidatulmulia berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM700 berserta dengan e-sijil.
Pertandingan bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Ke-69 ini menghimpunkan 10 peserta dari institusi pengajian tinggi sekitar Kota Kinabalu, termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS), City University Malaysia dan UCSF.
Tempat kedua pula dimenangi oleh Ahmad Asyraf Na’im dari UMS. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500 dan e-sijil.
Tempat ketiga pula disandang oleh Esma Hazidi Idris, juga dari UMS, dengan lagu Aku Mencintai Traumaku, membawa pulang wang tunai RM300 dan e-sijil.
Selain itu, tujuh peserta menerima hadiah sagu hati, masing-masing membawa pulang RM100 dan sijil penyertaan.
Peserta pertandingan terdiri daripada Ahmad Asyraf Na’im dari UMS, Ahmad Qusyairi Zulhilmi Zaton dari UMS dengan lagu Balada Seorang Gadis Kecil, Nur Ain Suhadah dari City University Malaysia dengan lagu Hendaklah Cari Pengganti, Azriean Asgali dari UMS dengan lagu Arjuna Beta, Muhammad Farhan Kamanran dari UMS dengan lagu Laut, Salihudin Asanji dari UMS dengan lagu Aku Menulis Bukan Karena Nama dan Mahathir Mohamad Abdul Aziz dari UMS.
Pertandingan ini diadili oleh barisan panel profesional yang diketuai oleh Pengarah Galeri Azman Hashim UMS, YBrs. Profesor Madya Dr. Mohammad Puad Bebit, bersama-sama Pensyarah Kanan Akademi Seni dan Teknologi Kreatif UMS, YBrs. Dr. Mohd Shahri Ramli serta Pegawai Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, Encik Hector John.

Turut hadir memeriahkan acara ialah Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai; Dekan Akademi Seni dan Teknologi Kreatif UMS, YBrs. Profesor Madya Dr. Zairul Anwar Md. Dawam; Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Jennitah Nordin serta Ketua Bahagian Pengembangan dan Kesusasteraan Kanak-Kanak dan Remaja DBP, Encik Mohd Azam Johari.