Diterbitkan pada 15 Mei 2025, 18:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sintok – Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengorak langkah ke hadapan dalam dunia pendidikan tinggi dengan menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif (BCLCIM) melalui Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP).

Program berstruktur dwi major ini merupakan satu pendekatan inovatif yang menggabungkan ilmu kesusasteraan kontemporari dengan kemahiran pengurusan industri kreatif  yang menjadikannya antara program yang menawarkan gabungan ilmu dengan pratikal industri.

Dilancarkan pada tahun 2020, BCLCIM telah melahirkan graduan yang kini mencipta nama dalam pelbagai bidang antaranya termasuklah penerbitan, media, komunikasi, pemasaran dan industri perfileman tempatan.

Program yang dirangka dengan penekanan terhadap elemen praktikal yang tinggi, turut merangkumi penulisan kreatif, penulisan skrip, produksi filem, pemasaran kandungan digital serta pengurusan dan penerbitan kandungan. Pelajar turut menjalani latihan industri dan melaksanakan projek ilmiah yang memberikan nilai tambah dari segi kemahiran serta jaringan profesional.

Graduan BCLCIM berpeluang menceburi pelbagai kerjaya antaranya termasuklah, Pegawai komunikasi korporat; Pegawai pemasaran kreatif; Penulis skrip (TV, filem dan web); Penulis kandungan digital dan UX; Copywriter dan editor; Pengarah animasi; storyboard artist; animator; Pengurus produksi dan Penerbit filem.

Alumni BCLCIM yang turut menyumbang dalam penerbitan filem tempatan seperti Blood Brothers: Bara Naga (2025).

Pelajar akan mengikuti pengajian berjumlah 149 jam kredit yang merangkumi Teras Universiti, Teras Bahasa Inggeris, Teras Program, dua bidang major serta Elektif Bebas. Pendekatan holistik ini untuk memastikan graduan bukan sahaja menguasai teori dan analisis sastera moden, malah dilengkapi kemahiran teknikal yang relevan dengan keperluan industri semasa.

UUM akan terus komited untuk melahirkan graduan yang bukan hanya berilmu, tetapi juga bersedia menjadi pemain utama dalam landskap industri kreatif dan media, baik di peringkat nasional mahupun global.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi