Diterbitkan pada 18 April 2025, 11:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Abdullah Hussaini melihat puisi Kelompen yang bukan sahaja menggamit nostalgia tetapi juga menyedarkan kita tentang selayaknya apa menjadi seorang “manusia”.

 

Orang yang mengumpul barang lama ialah orang yang menghargai masa lalu.” —Wu Ming-yi, The Stolen Bicycle.

 

Pagi pukul 11:30 tahun 2017 di bandar Jerantut itu nirmala. Sebuah kereta Mercedes belalang, menderam-deram sebelum diparkir di tepi jalan. Kawasan bandar lama yang diberi julukan pekan koboi itu menerima kehadiran dua orang kuat Dewan Persuratan Melayu Pahang, iaitu Datuk Dr. Mansur Abdullah dan Haji Rahman Yusof. Kedua-duanya sudah berada di hujung usia dan untuk memandu jauh-jauh dari tempat tinggal mereka di Kuantan yang memakan masa empat jam untuk tiba di Bandar Taman Negara, maka tentu sekali memerlukan kudrat dan tumpuan khas.

Hari itu kereta yang membawa mereka dipandu oleh Kelompen. Sejurus keluar dari kerusi pemandu, seorang lelaki berkaca mata hitam menghulurkan salam. Sekali pandang, saya menyangka susuk tersebut ialah Mansor Puteh. Dengan rambut gondrong yang kembang, kemeja berpetak dan seluar jean biru gelap serta kasut kanvas, penampilannya kelihatan cukup ranggi.

Itulah kali pertama saya melihat pemilik nama sebenar Abdul Rahman Janai, seorang penyair yang berasal dari Temerloh. Sejak saat itu kami berteman di Facebook dan sesekali saling berkomentar dan berhubung melalui Whatsapp.

Melalui laman sosialnya, saya mengetahui bahawa Kelompen duduk di kampung dan melakukan kerja kampung juga untuk menyara hidup. Dia juga mengambil upah bertukang rumah, menebas dan membersihkan tanah, melukis, mengutip hasil hutan, berkhemah, mandi sungai dan memancing di lubuk sungai. Memang dia mengupayakan seluruh tulang empat keratnya dan bercucur peluh di bawah cahaya garang demi sesuap dua nasi. Sesekali dia berkongsi aktiviti mudik sungai, dapur leban dan atap bertam, rumah-rumah lama dan serambi Pahang, adat dan warisan lama orang kita yang kian dilupakan serta juraian kisah kenangan yang amat gurih sekala dibaca.

Tentu saja dia mengarang sejumlah puisi di akaun Facebooknya yang turut menghantar kita ke lubuk kenangan, meski, kita tidak memiliki kenangan itu dan kenangan itu hanya dipinjamkan kepada melalui bait-bait sajaknya. Satu daripada sajaknya:

 

Lantai Rumah Uwan Tidak Berpaku Tepi

 

di situ serambi tua peninggalan arwah
tiang kayunya masih kukuh dan gagah
walau sesetengah dimakan tanah
daki banjir dan kesan
cuaca yang menumpang singgah.
 
uwan pernah berpesan
berkali-kali dia mengingatkan
jaga-jaga di kepala tangga
di situ ada air setempayan
bekas tadahan air hujan
gunalah membasuh menghilangkan debu kaki
membilas kekotoran di celah jari.
 
kata uwan lagi
naiklah duduk bersila jangan berlari
lantainya tidak berpaku tepi
rasuk gelegar hanya
kayu bulat dari hutan
dilapis buluh bersimpai rotan
sekajang atapnya nipah dan bertam
dijalin elok memberi teduhan
teduhnya kekal berzaman.
 
bagai terngiang suara uwan
memanggil itik dan ayam
menabur remah nasi makanan
sambil sabar menunggu
dia menyambung lipurnya
sumpah kelembai menjadi batu
atau rajuk seorang ibu
membawa diri ke hutan
kerana kempunan telur ikan.

 

Saya mungkin tidak sempat tinggal dalam rumah kayu tradisional, dan saya tidak fikir berpeluang memilikinya pada masa depan. Akan tetapi, saya sebagai orang Pahang turut memanggil nenek saya sebagai uwan atau wan sahaja kadang-kadang. Dan uwan saya ketika saya kecil dahulu, sungguh rajin bercerita segala hikayat dan bayan silam sebelum saya tidur. Oleh sebab itu, maka saya berasa terhubung dengan sajak ini. Bagaimanakah dengan mereka yang tidak memiliki pengalaman seperti saya untuk berasa terhubung dengan sajak ini?

Barangkali setidak-tidaknya sajak ini dapat memberi gambaran tentang rapatnya alam dengan manusia. Kayu dan buluh yang pastinya dikutip dari hutan, menunjukkan kesalinghubungan ampuh antara makhluk dunia.

Adalah penting bagi manusia moden untuk masih memiliki rasa ini, yakni sentuhan dengan alam semula jadi yang hakiki (dengan sepenuh deria), bukan sekadar sentuhan dengan alam semula jadi yang fizikal sahaja.

Menurut seorang tokoh pemikir, Seyyed Hossein Nasr, dalam bukunya bertajuk Manusia dan Alam Tabii: Kemelut Ruhani Manusia Moden,

luputnya naluri keheningan mengenai benda dan perasaan mesra dengan alam tabii sebagai suatu lapangan ketertiban yang menyampaikan makna berkenaan dirinya kepada manusia ini sudah tentu bahana daripada kelenyapan semangat perenungan dan perlambangan yang melihat lambang tetapi bukan kenyataan.

Demikianlah, merenung kepada alam juga merupakan tuntutan penting buat manusia. Fikirkan beberapa baris daripada sajak “Belasungkawa Rumah Papan”:

mendaplah ia perlahan/mengheret sama segala kesedihan/sekian lama menahan cuaca/karat atap menembuskan bisa hujan/mereputkan kayu panjang dan alang/menyesarkan lantai/melonggarkan gelegar/membongkokkan penjuru tiang/ke dasar.

Pesanan berkali-kali Kelompen akan menjaga ketertiban dalam hidup sedari kecil, serta perkaitannya dengan generasi terdahulu, dalam sebuah rumah yang seluruhnya terbina daripada alam semula jadi yang belum ternoda oleh tangan-tangan cabul, mengingatkan kita kepada inti daripada ancaman kemodenan seperti yang disebutkan oleh ahli metafizik dan penyeru tradisi yang masyhur, Rene Guenon, yakni keghairahan warga moden akan perkembangan kemajuan serta kebendaan yang kian menyisihkan dimensi ruhaniah.

Pendek kata, manusia perlu diingatkan, dan kalau boleh, kembali kepada lunas-lunas fitrahnya. Menyebutkan hal ini membuatkan saya teringat pada satu lagi sajak Kelompen yang bertajuk “Seperti Ini”:

tenang saja seperti hujan
yang turun dan lusuh
titis lenyap di dalam
kabus jauh
 
sunyi seperti pagi
menyapa matahari
rembangnya menghimpun
titis embun
berlarut kata bukanlah
hitungan masa

Penyair ingin mengatakan bahawa kita bukanlah apa-apa. Kita kecil lagi kerdil, menitis tanpa siap sedar, disejat mentari dan bubar. Manusia yang sering alpa perlu sentiasa mempertajamkan fikirannya seperti diungkapkan Kelompen dalam sajak “Denai Ini Lorong Diri”:

ketika masih engkau memilih/lorong kecil antara kaca/aku masih menjejak akal/yang berpintal.

Baru-baru ini buku kumpulan sajak Kelompen bertajuk Tulisan Dinding telah terbit. Sebahagian sajak yang saya sebutkan dalam tulisan ini, turut termuat di dalam buku itu. Tentu saja ada kenyamanan dalam buku tersebut yang mungkin dicari-cari oleh pembaca.

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi