Diterbitkan pada 20 Mac 2025, 18:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putraery Ussin melihat manfaat Ramadan dalam meningkatkan “ibadah penulisan” untuk penulis muda bagi menghasilkan karya yang bermakna dan bermanfaat.

Usai tahajud bersama keheningan pagi, satu atau dua jam sebelum menunaikan solat subuh berjemaah di surau atau masjid boleh dijadikan waktu emas yang tenang untuk menulis.

 

Bulan Ramadan bukan sekadar bulan untuk beribadah dan menginsafi diri sebaliknya menjadi medan terbaik untuk penulis meningkatkan kreativiti dan produktiviti terutama kepada pengarang muda yang mahu berjinak-jinak dalam dunia penulisan.

Ramadan yang sinonim dengan ketenangan dan refleksi diri memberikan ruang dan peluang yang luas kepada penulis untuk mengasah bakat, memperbaiki disiplin serta menajamkan pemikiran dalam menghasilkan karya yang lebih berimpak.

Pandangan umum sering mengaitkan bahawa untuk menulis perlu ada idea atau ilham. Hal ini seolah-olah kita perlu menunggu ilham jatuh dari langit atau terbang daripada mana-mana arah untuk sampai ke riba. Untuk menulis atau menghasilkan karya yang baik, maka kita perlu berusaha mencungkil idea serta mencari ilham. Maka rahmat ketengan pada bulan puasa ini, umpama hikmah kepada penulis untuk bermuhasabah diri bagi menghasilkan karya yang bermutu dan bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara.

Rasulullah SAW bersabda: “Ikatlah ilmu dengan menuliskannya.” (Hadis Riwayat At-Tabarani). Hal ini menjelaskan kepada kita bahawa menulis adalah satu cara untuk mengekalkan dan menyebarkan ilmu menjadikannya suatu ibadah, jika dilakukan dengan niat yang baik.

Bulan Ramadan mengajar umat Islam untuk berdisiplin dalam mengurus masa, terutama dalam menunaikan ibadah puasa dan solat yakni tarawih. Bagi penulis terutama golongan muda sebagai pembelajaran, disiplin ini boleh diterapkan dalam aktiviti penulisan. Dengan mewujudkan jadual harian yang lebih tersusun, penulis dapat menetapkan masa khusus untuk menulis, membaca dan mengedit karya, seterusnya meningkatkan produktiviti.

Suka saya kongsikan tentang pengalaman menulis pada bulan Ramadan seperti waktu selepas bersahur menjadi detik yang tidak pernah saya tinggalkan. Usai tahajud bersama keheningan pagi, satu atau dua jam sebelum menunaikan solat subuh berjemaah di surau atau masjid boleh dijadikan waktu emas yang tenang untuk menulis. Bayangkan jika kita konsisten selama sebulan berpuasa melakukan rutin menulis ketika waktu itu, sudah pasti hasilnya sangat melimpah ruah dan bermanfaat.

Seterusnya, pada bulan Ramadan juga dapat meningkatkan inspirasi dan kreativiti penulis. Ramadan sering dikaitkan dengan bulan yang memerlukan kesabaran dan keinsafan. Saat dan ketika ini sudah pasti memberikan ruang untuk merenung kehidupan dan memperkayakan pengalaman rohani. Bagi penulis, momen refleksi ini boleh menjadi sumber inspirasi bagi menghasilkan karya yang lebih mendalam sama ada puisi, cerpen, novel atau skrip drama yang mengandungi nilai kemanusiaan dan keinsafan.

Penulis yang baik dan bijaksana akan menggunakan kesempatan bulan Ramadan ini bagi merakamkan semua detik indah untuk dijadikan sebuah cerita.

Pengalaman bertarawih, majlis berbuka puasa, Bazar Ramadan, persiapan hari lembaran, tadarus dan sebagainya adalah bahan dan sumber penulisan yang sangat indah dan bermakna untuk diukir menjadi bait-bait cerita dan puisi. Tambahan pula, kala jiwa yang tenang beribadah puasa akan mempengaruhi minda untuk berfikir dengan jernih.

Selain itu, bulan Ramadan ini juga perlu dimanfaatkan oleh penulis untuk mengukuhkan Ilmu pengetahuan. Selain amalan membaca al-Quran dan bertadarus, penulis juga boleh memanfaatkan masa dengan membaca buku-buku sastera seperti novel, esei kritikan sastera, kumpulan puisi dan sebagainya. Ramadan yang terkenal dengan jolokan bulan ilmu memberi rahmat kepada orang ramai terutama umat Islam untuk mengambil peluang membaca dan mendalami ilmu agama serta ilmu pengetahuan lain.

Maka, penulis terutama generasi muda boleh memanfaatkan masa ini untuk membaca karya-karya sastera, buku motivasi atau artikel berkaitan penulisan, sekali gus menambah baik kemahiran dan teknik penulisan dalam berkarya.

Malah lebih baik lagi jika diwujudkan kumpulan perbincangan secara fizikal atau maya untuk membincangkan karya yang telah dibaca. Amalan sebegini sudah pasti akan mencambah keberkatan serta meningkatkan kemahiran menulis.

Ramadan juga sering mengingatkan kita tentang nilai belas kasihan, memberi dan membantu sesama insan. Hal ini boleh diterjemahkan ke dalam karya agar dapat menghasilkan tulisan yang bukan sahaja bersifat hiburan tetapi juga membawa mesej moral dan nilai positif kepada masyarakat. Sepanjang bulan Ramadan, pelbagai aktiviti kemanusiaan dijalankan dalam mengumpul pahala yakni beribadat.

Daripada sekecil-kecil amalan bersedekah ke dalam tabung masjid sehinggalah mengadakan jamuan berbuka puasa kepada seluruh kariah. Peristiwa sebegini hanya berlaku pada bulan Ramadan kerana setiap orang mengejar ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah SWT. Maka, penulis yang baik dan bijaksana akan menggunakan kesempatan ini untuk merakamkan semua detik indah itu untuk dijadikan sebuah cerita. Pelbagai genre penulisan boleh diabadikan untuk manfaat pembaca seperti puisi, cerpen atau catatan pengalaman.

Sehubungan dengan itu, beberapa tip penulisan sepanjang bulan Ramadan ini boleh dimanfaatkan oleh penulis terutama golongan muda untuk membantu mereka aktif berkarya. Jangan biarkan setiap detik yang indah di bulan penuh berkat ini berlalu begitu sahaja. Berikut beberapa tip berguna:

  • Tetapkan matlamat harian: Sasarkan jumlah perkataan atau halaman yang ingin ditulis setiap pada setiap hari. Barangkali peribahasa “sikit-sikit lama-lama jadi bukit” boleh dijadikan kata-kata motivasi pada waktu ini.
  • Gunakan waktu tenang: Waktu sebelum sahur dan selepas tarawih sesuai untuk menulis tanpa gangguan. Penulis sangat-sangat mendambakan waktu yang tenang, jadi inilah masa yang sesuai untuk digunakan sebaik mungkin.
  • Baca dan kaji karya lain: Luangkan masa untuk membaca buku atau artikel yang boleh memberi inspirasi. Amalan ini sering diingatkan oleh penulis mapan seperti Sasterawan Negara (A. Samad Said) bahawa membaca merupakan guru yang terbaik untuk menjadikan kita penulis yang hebat.
  • Catat idea yang datang: Gunakan jurnal, buku catatan, atau aplikasi nota untuk mencatat idea yang muncul. Jangan biarkan setiap detik itu berlalu dengan sia-sia. Apa-apa sahaja yang dilihat, dialami juga dirasakan berguna perlu dimanfaatkan sebaiknya. Jadi kita perlu mencatatnya agar tidak hilang begitu sahaja.
  • Tulis dengan niat yang betul: Jadikan penulisan sebagai satu bentuk ibadah dengan menyampaikan kebaikan dan ilmu. Tiada seseorang pun yang hendak meninggalkan dunia ini dengan amalan yang tidak baik. Jadi bulan beribadat ini kita gunakan untuk menceritakan tentang kebaikan dan dikongsi bersama.

Kesimpulannya, bulan Ramadan adalah peluang keemasan bagi penulis terutama generasi muda untuk meningkatkan disiplin, memperkukuh ilmu dan menghasilkan karya yang lebih bermakna. Dengan memanfaatkan ketenangan dan roh (spiritual} Ramadan, penulis muda terutamanya dapat mengarang dengan lebih fokus, mendalam dan memberi manfaat kepada masyarakat melalui karya sastera.

Oleh itu, penulis muda wajar menjadikan bulan Ramadan sebagai titik perubahan dalam perjalanan kreatif mereka. Seperti yang disebut dalam al-Quran: “(Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.'” (Surah Al-Baqarah, 2:30). Ayat ini mengingatkan bahawa manusia diberi tanggungjawab sebagai khalifah di bumi termasuk menyebarkan ilmu dan kebaikan melalui penulisan yang bermanfaat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi