Diterbitkan pada 27 Februari 2025, 12:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Para pelajar teruja berinteraksi secara langsung dengan penulis kegemaran mereka.

BalingProgram Jelajah Sekolah Bersama-sama Penulis Buku yang diadakan di Maktab Mahmud Baling telah memberikan pengalaman yang bermakna kepada para pelajar dan guru.

Program anjuran Hamare Group dengan kerjasama Cinta Gaza Malaysia dan Pusat Sumber Dar Al-Hikmah Maktab Mahmud Baling ini telah berlangsung di Surau Maktab Mahmud Baling pada 26 Februari lalu.

Antara pengisian utama program ini termasuklah sesi motivasi pelajar, jualan dan pameran buku serta peluang untuk bertemu dan berinteraksi dengan para penulis. Program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran penulis buku terkenal iaitu Halison Abdullah (Bila Patahnya Sayap), Cikgu Hasni Abas (Takdir yang Tersimpan siri 1 dan 2) dan pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Husairi Hussin.

Satu daripada sesi istimewa yang disajikan dalam program ini ialah sesi “Motivasi Best Student Cinta Bumi Palestin” yang dikendalikan oleh Syazana dan Syuhadaa’, selaku penceramah dan penulis buku. Turut ditampilkan penulis muda, Najihah dan Azri Chan yang berkongsi pengalaman dan memberikan inspirasi kepada pelajar tentang dunia penulisan.

Pelajar yang hadir turut berpeluang mendapatkan tandatangan eksklusif daripada penulis dan membeli buku dengan harga istimewa. Sambutan daripada para pelajar amat menggalakkan, sekali gus teruja untuk berinteraksi secara langsung dengan penulis kegemaran mereka.

Menurut Pengetua Maktab Mahmud Baling, Ustaz Rosmadi Hamid, program ini bukan sahaja memberikan peluang kepada pelajar untuk lebih mengenali dunia penulisan, malah dapat menanam minat membaca dan menulis dalam kalangan mereka.

“Kami amat mengalu-alukan program seperti ini kerana kehadiran program seperti ini dapat memberikan inspirasi kepada pelajar untuk lebih berminat dalam bidang penulisan dan sastera,” katanya.

Hasil daripada kejayaan program ini, pihak penganjur berharap program seumpama ini dapat diadakan dengan lebih kerap pada masa akan datang bagi memperkukuh budaya membaca dan menulis dalam kalangan generasi muda.

Majlis ini telah disempurnakan oleh Pengetua Maktab Mahmud Baling, Ustaz Rosmadi Hamid. Majlis turut dihadiri oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Ustaz Mohd Rizal Abd Rahman, Penolong Kanan Kokurikulum, Ustazah Nasimah Iberahim, serta Guru Perpustakaan dan Media, Cikgu Norahasliza Md Isa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi