Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuantan – Sayap Remaja Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP), Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNiPSAS) dan Kelab Aspirasi Suara (VAC) UNiPSAS telah menganjurkan Bengkel Penulisan dan Deklamasi Puisi: Kreativiti dalam Seni Berbahasa bertemakan “Israk Mikraj” di Dewan Barakah UNiPSAS pada 18 Januari yang lalu.
Bengkel yang mendapat sokongan penuh daripada DPMP Kawasan Kuantan dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah, ini berjaya menarik penyertaan lebih 30 orang peserta dari pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Kuantan, antaranya termasuklah UNiPSAS dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Kuantan.
Objektif utama penganjuran bengkel ini adalah untuk membantu peserta meningkatkan penguasaan seni berbahasa serta menghargai elemen estetika dalam menyampaikan mesej yang mendalam melalui puisi.

Selain itu, bengkel ini turut memberikan penekanan khusus kepada teknik pengucapan awam, penghayatan emosi, intonasi dan bahasa tubuh yang sesuai dalam deklamasi puisi sebagai persediaan penting bagi menghadapi Pertandingan Deklamasi Sajak IPT yang akan berlangsung pada 26 Januari 2025. Menurut Penyelaras Sayap Remaja DPMP – UNiPSAS, Norazah Abdul Jalil,
Bengkel ini menjadi penutup bagi peserta untuk menimba ilmu secara teori daripada para pembimbing. Sesi bengkel diikuti dengan persiapan pertandingan yang diadakan pada sebelah malam sebagai peluang bagi peserta untuk berlatih dan menguasai teknik deklamasi puisi.
Tambah beliau lagi, penyertaan yang memberangsangkan daripada para peserta ini secara tidak langsung telah membuktikan bahawa mahasiswa kini masih menyemai minat terhadap seni berbahasa Melayu, walaupun terdedah dengan pengaruh budaya luar.
Ketua DPMP Kawasan Kuantan, HM Nordin Salleh dan Pengasas dan Pembimbing Komuniti Menulis Malaysia (KISMy), Asri Hussin yang bertindak sebagai pembimbing secara tidak langsung membuka mata peserta melalui perkongsian ilmu yang memberikan inspirasi kepada para peserta untuk meneruskan kecintaan mereka terhadap seni berbahasa dan penulisan.

Sesi bengkel ini diakhiri dengan prapertandingan Deklamasi Puisi yang berlangsung pada malam yang sama. Pertandingan tersebut menyaksikan Che Rafidah Rahim muncul sebagai juara dengan sajak “Wujud yang Menipis” karya Mohd Ghazali Taib. Naib johan diraih oleh Haziq Qayyum Jasri dengan sajak “Tawarikh Terindah” oleh Raja Rajeswari Seetharaman, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Nur Azryn Athirah Zamzuri dengan sajak “Cinta Murni” hasil karya Ahmad Sarju.
Yang turut hadir, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd Mansor Abdullah, Pegawai DBP Wilayah Tengah, Mohd Asri Mohamad, Presiden DPMP serta tetamu jemputan yang lain.
Bengkel ini tidak hanya memberikan ruang kepada peserta untuk mengasah bakat dalam seni berbahasa, tetapi juga menjadi platform untuk memupuk kecintaan terhadap seni deklamasi puisi yang penuh dengan nilai estetik dan pemikiran mendalam.