Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjung Malim – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meriah dengan semangat kreativiti dalam sesi Sembang Santai: Proses Kreatif Bersama-sama Dr. Husairi Hussin dari Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) USM.
Program ini diadakan sebagai sebahagian daripada inisiatif kursus Penulisan Kreatif dan Deskriptif (BSK3103) menampilkan Dr. Husairi Hussin, seorang penulis prolifik yang berkongsi pengalaman berharga mengenai proses kreatif dalam menghasilkan karya sastera bersempena dengan pelancaran dua buah karya terbaharu beliau terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Menurut Pensyarah Kanan, Prof Madya Dr. Ghazali Din, matlamat utama sesi ini adalah untuk menggalakkan pelajar memahami asas penulisan kreatif sambil memupuk keberanian untuk bereksperimen dengan idea baharu yang berlegar di sekeliling mereka. Katanya,
Sesi ini bertujuan membuka minda pelajar tentang proses kreatif yang dapat diterjemahkan ke dalam karya yang bermakna. Kami mahu mereka bukan sahaja memahami teori tetapi juga berani menulis dengan jiwa dan emosi.
Sesi ini turut diserikan dengan perkongsian inspirasi daripada penulis Dr. Husairi Hussin yang membincangkan karya terbaharunya, novel Asam Keping Tok Cik dan Kumpulan Cerpen Pelangi Berwarna Hitam.
Menurut Dr. Husairi, karya-karya ini lahir daripada pemerhatian mendalam terhadap kehidupan masyarakat dan interpretasi kreatif terhadap pengalaman hariannya. Kongsinya,
Proses kreatif adalah jambatan antara dunia realiti dengan imaginasi, saya ingin mengajak generasi muda untuk merasai keindahan perjalanan ini. Saya berharap anda semua dapat manfaat apabila membaca karya terbaru ini kelak.
Setiap pengalaman, walaupun kecil, boleh menjadi asas kepada cerita yang besar. Penulis perlu berani memerhati, merenung dan menulis dengan jujur.
Sambutan hangat daripada para peserta membuktikan bahawa sesi ini berjaya mencapai matlamatnya untuk menyemarakkan kreativiti dan minat terhadap dunia penulisan.
UPSI sebagai institusi pendidikan diharapkan dapat terus memainkan peranannya dalam mencipta ruang untuk pelajar mengembangkan bakat kreatif sambil memartabatkan seni dan budaya dalam kalangan generasi muda.