Diterbitkan pada 6 Jun 2026, 20:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Adik Uwais Mujahd Dzulikram dari Sekolah Kebangsaan (SK) Damansara Utama muncul johan Pertandingan Bercerita bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja (PSKR) yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Adik Uwais Mujahd Dzulikram dari SK Damansara Utama johan Pertandingan Bercerita bersempena dengan PBAKL 2026.

Murid sekolah rendah tahap dua itu berjaya menambat hati panel juri menerusi penyampaian cerita bertajuk Pak Kaduk, sekali gus membawa pulang baucar buku bernilai RM200 tajaan DBP.

Naib johan pula menerima baucar buku bernilai RM150 dan disandang oleh Adik Haniyya Sakinah Ahmad Nazmi dari SK Seri Laksana menerusi cerita Singa Berbudi, Tikus Berjasa. 

Adik Haniyya Sakinah Ahmad Nazmi dari SK Seri Laksana memperoleh naib johan.

Tempat ketiga dimenangi oleh Adik Medina Sofea Sumayyah Muhammad Solehin dari Sekolah Rendah Arab JAIM Al-Faizin, Melaka yang mempersembahkan cerita Si Tenggang Anak Derhaka dengan membawa pulang baucar buku bernilai RM100.

Adik Medina Sofea Sumayyah Muhammad Solehin dari Sekolah Rendah Arab JAIM Al-Faizin mendapat tempat ketiga.

Sementara itu, lima peserta menerima hadiah sagu hati, iaitu Adik Haydar Mustaqeim Hanif Mohsein dari SRAI Dato’ Mufti Yusuf Sahabuddin, Shah Alam menerusi cerita Pak Ali dan Si Ruk yang Bijak; Adik Bella Chin Qiao Li dari SJKC Yuk Chai dengan cerita Merah dan Putih; Adik Aqil Akhtar Mohd Hafiz dari SJKC Yuk Chai menerusi Si Tanggang; Adik Balqis Alisya Muhammad Fakrulrazi dari SK Sungai Tua Baharu dengan cerita Ikan Haruan Ajaib; serta Adik Nur Marissa Khayla Mohd Zaidi dari SK Bukit Jalil yang menyampaikan cerita Batu Belah.

Pertandingan yang terbuka kepada murid sekolah rendah tahap dua itu menghimpunkan 12 orang peserta dari pelbagai sekolah yang mempersembahkan cerita rakyat, cerita teladan dan kisah berunsur pengajaran dengan gaya penceritaan yang kreatif serta menarik.

Hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan; Pengerusi  Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan; pengurusan tertinggi DBP dan ketua-ketua bahagian DBP bergambar bersama-sama dengan peserta Pertandingan Bercerita.

Ketua juri, Encik Nor Azhar Ishak yang juga penulis, ilustrator buku kanak-kanak dan penglipur lara, mengucapkan tahniah kepada semua peserta atas usaha dan keberanian mereka tampil di pentas pertandingan.

Menurut beliau, para peserta berjaya mempamerkan pelbagai teknik penceritaan yang berkesan termasuklah penggunaan suara, bunyi, ekspresi wajah dan gerak tubuh bagi menghidupkan watak serta jalan cerita.

“Kami melihat pelbagai teknik yang menarik dan relevan digunakan oleh peserta. Penggunaan suara, ekspresi dan gerakan membantu menjadikan cerita lebih hidup dan menarik perhatian penonton,” katanya.

Beliau turut memuji kreativiti peserta yang menggunakan pelbagai prop sebagai elemen sokongan dalam persembahan mereka, namun mengingatkan bahawa penggunaan prop perlu mempunyai fungsi yang jelas untuk menambah nilai kepada penceritaan.

Ketua juri, Encik Nor Azhar Ishak ketika mengulas persembahan peserta.

“Prop tidak semestinya mahal. Kadangkala diri pencerita sendiri merupakan prop terbaik melalui penggunaan ekspresi muka, gerak tangan dan pergerakan yang sesuai,” ujarnya.

Dalam ulasannya, beliau turut menasihati peserta agar tidak tergesa-gesa ketika memulakan persembahan dan memberikan ruang kepada penonton untuk bersedia mengikuti cerita yang disampaikan.

Selain itu, beliau menekankan kepentingan interaksi dengan penonton melalui hubungan mata, senyuman dan pelibatan audiens sepanjang sesi penceritaan bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian.

Nor Azhar berkata, pertandingan tersebut membuktikan bahawa bakat penceritaan dalam kalangan generasi muda masih subur dan berpotensi untuk terus berkembang pada masa hadapan.

Beliau juga melahirkan rasa bangga kerana sebahagian besar cerita yang dipersembahkan adalah daripada buku terbitan DBP, selain terdapat peserta yang berjaya mengadaptasikan cerita daripada pelbagai sumber dengan baik untuk dipersembahkan kepada khalayak.

“Jangan jadikan bercerita sekadar pertandingan. Oleh itu, teruskan mengembangkan bakat ini kerana penceritaan merupakan medium penting untuk menyampaikan ilmu, nilai dan budaya kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa dan guru yang sentiasa memberikan sokongan serta bimbingan kepada peserta dalam mengasah bakat penceritaan mereka.

Pertandingan Bercerita PBAKL 2026 dianjurkan oleh DBP sebagai satu daripada program pengisian bersempena dengan pesta buku berkenaan bagi menggalakkan minat membaca, memperkukuh kemahiran komunikasi dan menyemarakkan tradisi penceritaan sastera lisan dalam kalangan kanak-kanak.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi