Diterbitkan pada 21 Mei 2026, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Kolej Dato’ Onn muncul juara keseluruhan Festival Teater Universiti Kebangsaan Malaysia (FESTER) LEGENDA 2026 menerusi pementasan naskhah Si Ahli Nujum pada Malam Penutup dan Majlis Penyampaian Anugerah yang berlangsung di Panggung Seni, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), malam tadi.

Festival tahunan anjuran Pusat Kebudayaan UKM itu berlangsung selama seminggu bermula 13 Mei lalu dengan menampilkan 11 naskhah baharu daripada produksi teater kolej kediaman UKM yang diadaptasi daripada pelbagai hikayat dan legenda tempatan.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UKM, Ts. Dr. Arham Firdhaus yang hadir mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM.

Turut hadir Pengarah Pusat Kebudayaan UKM, YBrs. Encik Mohamed Asrof Semin dan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Kuala Lumpur, YBrs. Puan Hidayatul ‘Ein Mohamad Azmi.

Tempat kedua pertandingan dimenangi oleh Kolej Tun Dr. Ismail menerusi naskhah Panca Delima, manakala Kolej Tun Syed Nasir menerusi naskhah Atma Kaku meraih tempat ketiga.

FESTER 2026 mengetengahkan kreativiti mahasiswa dalam aspek lakonan, pengarahan, penulisan skrip serta teknikal produksi dengan gabungan inovasi teknologi visual dalam pementasan.

Sebanyak 11 naskhah dipentaskan sepanjang festival termasuk adaptasi daripada kisah hikayat dan legenda seperti Dayang Senandong, Pak Pandir, Tasik Dayang Bunting, Laila Majnun, Bujang Senang, Raja Bersiong, Panca Delima, Batu Belah Batu Bertangkup, Puteri Walinong Sari, Nujum Pak Belalang, dan Bidasari.

Walaupun UKM tidak mempunyai fakulti khusus teater, mahasiswa daripada pelbagai bidang pengajian seperti sains, perubatan, kejuruteraan dan undang-undang berjaya menghasilkan pementasan kreatif yang segar serta dekat dengan pemikiran generasi muda masa kini.

Festival itu turut diperkuatkan dengan kehadiran barisan panel juri berpengalaman, iaitu Kamarul A.R., Zaifri Husin dan Siti Rohaya Atan selaku Ketua Juri.

Dalam kategori individu, Anugerah Pelakon Harapan Lelaki Terbaik dimenangi pelakon watak Mat Teja daripada Kolej Aminuddin Baki menerusi naskhah Tasneem, manakala Anugerah Pelakon Harapan Wanita dimenangi pelakon watak Kancil daripada kolej yang sama menerusi Si Ahli Nujum.

Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik pula menjadi milik pelakon watak Pak Sender daripada Kolej Dato’ Onn menerusi Si Ahli Nujum, sementara Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik diraih pelakon watak Mak Kuntum daripada Kolej Ibu Zain menerusi Pak Pandir.

Bagi kategori utama lakonan, Surya Kenchana daripada Kolej Tun Dr. Ismail menerusi Panca Delima memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, manakala Anugerah Pelakon Wanita Terbaik dimenangi pelakon watak Permaisuri Cemara Jingga daripada kolej yang sama menerusi naskhah tersebut.

Dalam kategori teknikal, Kolej Tun Dr. Ismail menerusi Panca Delima menerima Anugerah Visual Inovatif Terbaik, sementara Anugerah Khas Juri diberikan kepada Kolej Burhanuddin Helmi. Naskhah Si Ahli Nujum turut menerima Anugerah Skrip Terbaik.

Penganjuran kali ini turut diserikan dengan pengenalan Anugerah Dr. Ros sebagai penghargaan terhadap sumbangan Allahyarham Dr. Rosminah Tahir dalam dunia teater tanah air.

Anugerah khas itu diberikan kepada penulis skrip Kerusi Untuk Laila, Nur Ali Ahusna, sebagai simbol pembinaan generasi baharu seni lakon dan teater negara.

Kredit Foto: FESTER LEGENDA UKM 2026
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi