Diterbitkan pada 4 Mei 2026, 12:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kamunting — Pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif untuk memperkasakan bakat penulisan dalam kalangan Murid Berkeperluan Khas (MBPK) menerusi Bengkel Penulisan Kreatif bertemakan “Kisah dari Hati”.

Bengkel yang menghimpunkan 30 orang pelajar MBPK kategori pembelajaran ini berlangsung di Bilik Gerakan Sekolah Menengah Kebangsaan Kamunting, Perak.

Program tersebut menampilkan Dr. Husairi Hussin, pensyarah dari Bahagian Kesusasteraan, PPPJJ, USM sebagai penceramah utama. Dalam sesi perkongsian tersebut, beliau menekankan bahawa bakat yang lahir daripada jiwa insan istimewa sering kali hadir dengan keindahan yang luar biasa.

Kisah yang lahir daripada insan istimewa bukan sekadar unik, tetapi sarat dengan kejujuran emosi dan ketulenan pengalaman. Dalam diam, mereka sebenarnya menyimpan dunia yang lebih jujur untuk kita fahami.

Dr. Husairi Hussin bersama dengan Dr. Khauthar Ismail menyampaikan hadiah kepada pelajar MBPK.

Menurut ketua pembimbing bengkel, Cikgu Intan Hazlina, pelbagai karya menarik berjaya dihasilkan sepanjang bengkel berlangsung dengan bimbingan fasilitator yang terdiri daripada pensyarah dan guru.

Banyak cerita yang lahir daripada bengkel ini sangat menyentuh perasaan dan penuh dengan nilai kemanusiaan. Dengan kepakaran Dr. Husairi, kami berharap kisah-kisah ini dapat digarap dengan lebih tersusun dan dikongsikan kepada masyarakat luar agar mereka lebih memahami dunia dan jiwa pelajar MBPK.

Bengkel ini membuktikan bahawa setiap individu tanpa mengira kekangan, mempunyai suara yang wajar didengari. “Kisah dari Hati” bukan sekadar tema, tetapi satu gerakan kecil yang membawa makna besar untuk membina masyarakat yang lebih inklusif dan berempati.

Bersama-sama menjayakan program ini ialah Dr. Khauthar Ismail, penyelaras program komuniti dari PPPJJ, USM yang turut menyokong usaha memperkasakan potensi dan bakat MBPK.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi