Diterbitkan pada 18 Mac 2026, 15:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur — Penganjuran edisi ke-16 Popular-The Star Reader’s Choice Awards (RCA) dan Popular-BH Anugerah Pilihan Pembaca (APP) berlangsung meriah bersempena sambutan ulang tahun ke-20 BookFest @ Malaysia 2026, sekali gus mengangkat karya penulis tempatan sebagai nadi utama  budaya membaca.

Majlis yang menghimpunkan penulis, penerbit dan pencinta buku itu menjadi platform penting bagi meraikan kepelbagaian karya tempatan, selain memperkukuh sokongan terhadap bakat sastera tanah air.

Sejak diperkenalkan lebih sedekad lalu, anugerah ini menjadi pengiktirafan utama kepada penulis yang berjaya menghasilkan karya berkualiti tinggi serta mendapat tempat di hati pembaca.

Pemenang bagi kedua-dua anugerah ditentukan sepenuhnya melalui undian awam menerusi kempen bertemakan “Read to Vote, Vote to Win” dan “Baca untuk Undi, Undi untuk Menang”. Sebanyak 40 judul terpilih yang dipamerkan di rangkaian kedai buku Popular  memberi peluang kepada pembaca memilih tiga karya fiksyen dan bukan fiksyen kegemaran.

Pengarah Popular Holdings Limited, Emily Yiu, dalam ucapan alu-aluannya berkata bahawa penganjuran tahun ini membawa tema “Read 20, Rise Beyond”, melambangkan perjalanan dua dekad BookFest menyemarakkan minat membaca dalam kalangan masyarakat.

Beliau menegaskan bahawa anugerah RCA dan APP memainkan peranan penting dalam memupuk budaya membaca serta mengiktiraf pencapaian penulis tempatan dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, yang menyampaikan ucapan mengenai kepentingan sastera dan budaya membaca dalam pembangunan negara.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan menyifatkan anugerah RCA dan APP sebagai satu bentuk pengiktirafan yang amat bermakna kepada penulis tempatan.

Dalam ucapannya, beliau menyifatkan anugerah RCA dan APP sebagai satu bentuk pengiktirafan yang amat bermakna kepada penulis tempatan.

Menurut beliau, keistimewaan anugerah ini terletak pada proses pemilihan pemenang yang dibuat oleh pembaca sendiri, sekali gus mencerminkan hubungan erat antara karya dan masyarakat.

“Anugerah ini bukan sekadar penghormatan kepada penulis, tetapi juga cerminan penghargaan pembaca terhadap karya yang memberi inspirasi, memperkaya ilmu dan menyentuh pengalaman kehidupan mereka,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa perjalanan BookFest @ Malaysia selama 20 tahun merupakan pencapaian yang wajar dibanggakan kerana berjaya menjadi platform penting dalam mempertemukan penulis, penerbit dan pembaca dalam satu ekosistem yang dinamik.

Menurutnya, tema “Read 20, Rise Beyond” membawa makna yang mendalam kerana membaca bukan sahaja memperluaskan pengetahuan, malah membentuk pemikiran kritis serta memperkukuh jati diri masyarakat.

“Melalui pembacaan, kita bukan sahaja memperoleh ilmu, tetapi juga memahami pelbagai sudut pandang yang membentuk masyarakat majmuk dalam negara ini. Karya tempatan dalam bahasa Melayu dan Inggeris mencerminkan kepelbagaian idea serta latar budaya yang menjadi kekuatan Malaysia,” jelas beliau.

Beliau juga menekankan bahawa penulis tempatan memainkan peranan penting dalam membina masyarakat berilmu, kerana karya yang dihasilkan mampu menjadi medium pendidikan, refleksi sosial dan sumber inspirasi kepada generasi akan datang.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan penganjuran APP dan RCA sebagai satu inisiatif strategik dalam memperkasa industri buku tempatan, di samping menggalakkan lebih ramai penulis menghasilkan karya berkualiti tinggi yang mampu bersaing pada peringkat antarabangsa.

Dalam kategori RCA Fiksyen, karya Library of Lost Hearts oleh N. F. Afrina muncul sebagai pemenang tempat pertama, diikuti Immortal oleh Sue Lynn Tan di tempat kedua, manakala Thinking of Loving You oleh Ain Nabila di tempat ketiga.

Bagi kategori RCA Bukan Fiksyen, When Worries Turn to Hope oleh Ezzah Mahmud meraih tempat pertama, diikuti For the Heart That’s Still Hurting oleh Iffah Nizar dan The Beauty of Promised Rizq oleh Ayesha Syahira.

Sementara itu, bagi APP Fiksyen, novel Rahsia Danny karya Teme Abdullah dinobatkan sebagai juara, diikuti Di Antara Dua Sujud oleh Thyora dan Qaid: The Unknown oleh Effalee.

Dalam kategori APP Bukan Fiksyen pula, Surat Cinta dari Tuhan oleh Adnin Roslan meraih tempat pertama, diikuti Ibu Penat, Tapi Ibu Sayang oleh Bonda Umirah dan Seberat Itu Ya Menjadi Dewasa oleh Iddin Ramli.

Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi