Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Kesukaran dalam merakam persejarahan sastera Melayu secara tepat berpunca daripada titik permulaannya yang berakar umbi daripada tradisi lisan, sebelum wujudnya sistem tulisan dan teknologi percetakan.
Perkara ini ditegaskan oleh mantan Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Shaiful Bahri menerusi program Audio Siar Kupas Sastera Episod Dua yang bersiaran pada 27 Februari lalu. Beliau menegaskan bahawa sastera bukan sekadar teks, sebaliknya medium fleksibel yang berfungsi sebagai alat hiburan, wahana dakwah, panduan, serta pencatat sejarah kehidupan masyarakat.
Menurut Dr. Shaiful, kekuatan orang Melayu pada masa dahulu terletak pada daya hafalan dan ingatan yang tinggi. Hal ini secara tidak langsung membentuk tradisi lisan yang disampaikan secara turun-temurun.
Tambah beliau, tradisi lisan ini amat kaya dengan pelbagai motif penceritaan yang unik. Sebagai contoh, motif yang diangkat dalam kisah Si Tanggang jelas membuktikan kekuatan jati diri dan akal budi Melayu yang sangat memuliakan institusi kekeluargaan.
Mengulas lanjut mengenai evolusi sastera Nusantara, beliau menjelaskan bahawa karya lisan seperti hikayat mula mengalami pengubahsuaian selepas kedatangan Islam.
“Semasa zaman peralihan sastera daripada pengaruh era Hindu-Buddha kepada pengaruh Islam, masyarakat Nusantara menerima semua pengaruh termasuklah cerita yang berunsur agama tertentu,” jelas beliau mengenai keterbukaan masyarakat ketika itu.
Perbincangan tersebut turut menyentuh peranan geografi, khususnya Riau, yang sering dikaitkan sebagai pusat perkembangan budaya Melayu. Dr. Shaiful menyifatkan Riau sebagai kawasan penting yang menandakan kemuncak dan penghujung era sastera tradisional sebelum kesusasteraan Melayu memasuki fasa perubahan menuju bentuk yang lebih moden.
Apabila menyentuh era kesusasteraan Melayu moden, beliau mengangkat Abdullah Munsyi sebagai pelopor utama. Menurutnya, pendekatan Munsyi berbeza kerana beliau membawa gaya penulisan yang lebih realistik, bersifat autobiografi dan berani bersikap kritis terhadap kepincangan masyarakat pada zamannya.