Oleh Nasrul BK
Diterbitkan pada 15 Februari 2026, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – “Kedaulatan negara bukan sekadar mempertahankan sempadan geografi, malah merupakan benteng pemikiran generasi muda agar tidak dicemari anasir yang boleh menggugat jati diri bangsa.” Demikian intipati titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah sempena Program Wacana Diraja Belia 2026 yang berlangsung di Hotel The Zenith.

Wacana yang bertemakan Titah Raja, Amanah Belia: Membina Masa Depan Pahang Berdaulat itu menjadi medan intelektual yang signifikan dalam mempertautkan hubungan antara institusi istana dengan anak muda.

Majlis Wacana Diraja Belia 2026 yang berlangsung di Hotel The Zenith.

Bagi warga Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh), wacana ini bukan sekadar aktiviti luar bilik darjah, tetapi merupakan suatu pendedahan secara langsung terhadap sistem tadbir urus negara yang unik. Kehadiran pemimpin institusi pendidikan tersebut memberikan isyarat jelas bahawa pendidikan sivik dan kenegaraan merupakan agenda utama dalam melahirkan modal insan yang seimbang.

Wacana tersebut turut menampilkan panel pemikir yang membincangkan peranan belia sebagai rakan strategik pembangunan negara. Seorang peserta dari KMPh, Nur Balqis  Alisya memberikan refleksi yang mendalam mengenai keperluan sistem beraja dalam kerangka demokrasi hari ini. Ujarnya,

Sebagai belia yang hidup dalam arus demokrasi berperlembagaan, kami menyedari bahawa Institusi Diraja merupakan pasak kestabilan yang melindungi keadilan untuk semua rakyat. Raja bukan sekadar simbol tradisi, tetapi merupakan payung kedaulatan yang memastikan imbangan kuasa sentiasa terpelihara demi kelangsungan sebuah negara yang aman.

Program yang dianjurkan oleh Majlis Belia Negeri Pahang dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) ini berjaya mencapai matlamatnya untuk melahirkan pemikiran yang kritikal dan setia kepada watan. Sebagaimana yang ditekankan oleh Presiden MBM, Encik Mohd Izzat Afifi, golongan belia perlu berjiwa integriti dan memiliki maruah yang tidak boleh dikompromi.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi