Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dalam dunia kepenulisan puisi yang semakin moden, keupayaan membaca tanda dalam karya sastera kian mencabar. Hal ini disentuh oleh Tuan Haji Shapiai Mohd Ramly menerusi pembentangan kertas kerja bertajuk “Membaca Tanda Memahami Makna” dalam Kolokium Sastera: Kajian Genre Puisi yang berlangsung di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Menurut beliau, terdapat jenis-jenis karya yang hari ini semakin sukar dikesan tanda-tandanya kerana perubahan cara berfikir masyarakat moden. Namun begitu, tanda tetap menjadi unsur penting dalam pembinaan makna sesebuah puisi.
Beliau memberikan contoh imej pohon yang sering muncul dalam puisi penyair tempatan.
Pohon lebih daripada sekadar gambaran alam, tetapi juga lambang kehidupan, keteguhan dan petunjuk arah. Dalam kehidupan seharian, pohon yang tersergam di simpang jalan boleh menjadi penanda lokasi ‘jumpa pohon dulu, kemudian jumpa warung’, dan fungsi simbolik inilah yang turut berperanan dalam puisi.
Selain pohon, penyair juga kerap menggunakan langit, kupu-kupu, rama-rama dan pelbagai unsur alam lain sebagai tanda. Dalam budaya masyarakat Melayu, tanda-tanda ini sering dikaitkan dengan makna tertentu, misalnya kepercayaan bahawa kemasukan rama-rama ke dalam rumah menandakan kehadiran tetamu. Bagi Shapiai, kekayaan makna inilah yang wajar difahami oleh pembaca agar puisi tidak dibaca secara literal semata-mata.
Beliau turut mengaitkan konsep tanda dengan firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran yang menyebut bahawa pada penciptaan langit dan bumi serta pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang yang berakal. Katanya, seluruh alam yang meliputi langit, laut, awan, gunung, matahari dan bulan adalah tanda yang mengajak manusia berfikir dan mendekatkan diri kepada Pencipta. Oleh itu, penggunaan tanda dalam puisi juga wajar dilihat dalam kerangka kesedaran rohani dan pemaknaan yang mendalam.
Dalam perbincangan lanjut, Shapiai menyentuh penggunaan imej yang kelihatan tidak logik dalam puisi, namun sebenarnya mempunyai kekuatan makna. Beliau memetik sajak Rahimidin Zahari “Sehelai Daun Kenangan” yang mengandungi baris “pohon melompat mencari mata air di pinggir kampung”. Secara zahir, gambaran pohon melompat mungkin dianggap tidak munasabah, namun dalam dunia puisi, bahasa kiasan membuka ruang tafsiran yang lebih luas.
Hal yang sama dapat dilihat dalam sajak Lim Swee Tin “Pada Suatu Petang Surut” yang menggambarkan daun “berguling-guling menyisihkan sepi bertahun”. Imej tersebut sebenarnya melukiskan suasana petang yang berangin dengan daun-daun berterbangan, tetapi diperkaya dengan bahasa puitis yang membangkitkan emosi dan kenangan.
Menurut Shapiai, persoalan logik dan tidak logik dalam puisi tidak lagi boleh dinilai secara sempit. Perkembangan dunia hari ini membuktikan bahawa banyak hal yang dahulu mustahil kini menjadi kenyataan. Oleh itu, pembaca perlu lebih terbuka dalam mentafsir tanda-tanda yang dikemukakan penyair.
Beliau turut merujuk karya T. Alias Taib yang mengibaratkan manusia seperti daun, iaitu seperti pengembara yang sementara, mudah lupa asal usul dan akhirnya kembali ke tanah. Simbol daun dalam puisi Melayu, jelasnya, sering dikaitkan dengan perjalanan hidup, kefanaan dan hubungan manusia dengan alam.
Mengakhiri pembentangannya, Shapiai menegaskan bahawa puisi yang baik lahir daripada kata-kata yang disusun indah serta sarat dengan makna. Kata-kata ini berfungsi sebagai tanda yang bukan sahaja memperindah bahasa, malah menjadi penunjuk arah kepada tujuan hidup manusia.
Puisi sebenarnya boleh menjadi penunjuk aras dalam perjalanan hidup kita. Jika tanda di jalan membantu kita sampai ke destinasi, tanda dalam puisi membantu kita memahami makna kewujudan.
Beliau menutup dengan renungan bahawa setiap manusia ibarat daun yang tumbuh, hidup seketika dan akhirnya gugur.