Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur — Pertanyaan seperti “apakah bentuk puisi yang bagus” seringkali kedengaran remeh yang mengundang tawa, namun hakikatnya sukar dijawab secara tuntas. Bagi penyair Mohd Ridzuan Harun, jawapan paling jujur dan selamat ialah “puisi yang baik ialah puisi yang anda rasa sendiri”.
Pandangan itu dikongsikan beliau ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Sepintas Pengalaman Puisi” dalam Kolokium Sastera: Kajian Genre Puisi yang berlangsung di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semalam.
Menurut beliau, soalan tentang mutu puisi lazim diajukan oleh penulis pemula yang sedang mencari arah dan keyakinan dalam dunia kepenyairan. Namun, bagi Mohd Ridzuan, pengalaman peribadi adalah landasan paling sahih untuk memahami makna puisi.
Beliau menjelaskan bahawa kebanyakan penyair bermula dengan lapisan rasa yang masih mentah, iaitu rasa yang hadir secara spontan, tanpa penggubahan mendalam dari segi identiti, gaya atau idiosinkrasi kepengarangan. Namun begitu, proses kepenyairan tidak berhenti di situ.
Mengulas perjalanan seorang penyair, beliau merujuk pandangan penyair Amerika, Robert Frost, tentang peralihan daripada keseronokan awal menulis kepada tahap kebijaksanaan. Menurut Mohd Ridzuan, perubahan ini berlaku seiring kematangan dan pencarian diri yang berterusan.
“Pada peringkat awal, penulis akan menulis dengan layar rasa yang selapis. Tetapi rasa itu akan berubah apabila penulis itu menemui sesuatu dalam perjalanan penulisan. Di situlah bermulanya lapisan-lapisan baharu yang boleh diterokai,” jelasnya.
Beliau berkongsi bahawa selepas hampir dua dekad menulis, walaupun tidak konsisten, beliau menyedari perubahan besar dalam tafsiran terhadap rasa. Jika dahulu rasa itu lebih bersifat keseronokan, kini “rasa” tersebut berkembang menjadi sesuatu yang lebih mendalam, yang beliau tafsirkan sebagai hikmah.
“Daripada kebijaksanaan yang disebut oleh Frost, saya menemukan satu kata yang paling dekat dengan diri saya, iaitu hikmah yang merupakan gabungan ilmu dan pengalaman batin,” ujarnya.
Menurut beliau, pencapaian hikmah dalam puisi tidak berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya lahir daripada proses panjang yang melibatkan pencarian, penyelidikan dan perenungan. Perjalanan itulah yang membentuk suara serta makna sebenar seorang penyair.
Dalam nada yang lebih peribadi, Mohd Ridzuan menyifatkan puisi sebagai ruang perlindungan batin bagi dirinya.
“Puisi ialah safe house, rumah selamat untuk seorang penyair. [Bagi saya] puisi merupakan pintu yang saya keluar masuk setiap waktu,” katanya, menggambarkan puisi sebagai tempat kembali ketika jiwa mencari makna.
Beliau menegaskan bahawa rasa akan sentiasa menjadi teras kepenyairan sejak awal penulisan hingga ke tahap matang. Namun begitu, tafsiran terhadap rasa itu tidak statik dan akan berubah mengikut waktu, pengalaman dan pertumbuhan diri.
Mengakhiri pembentangannya, Mohd Ridzuan menitipkan pesan khusus kepada penyair muda dan penulis pemula agar tidak terperangkap dalam budaya persaingan.
“Untuk menjadi penyair, kita tidak perlu bersaing dengan sesiapa. Kita hanya perlu menjadi diri sendiri,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan kesabaran dalam perjalanan kepenyairan kerana puisi bukanlah medan mengejar pengiktirafan segera, sebaliknya perjalanan peribadi yang panjang dan berlapis.
“Puisi ialah perjalanan diri sendiri. Sebab itu penyair perlu berjalan dengan sabar,” tambahnya.
Kolokium anjuran DBP itu menghimpunkan penulis, pengkritik dan penggiat sastera bagi membincangkan perkembangan serta pemahaman genre puisi dalam konteks semasa, sekali gus membuka ruang wacana tentang peranan pengalaman batin dalam pembinaan karya sastera bermakna.