Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDi celah hiruk kota yang membatu,
bayang kemanusiaan semakin kelabu,
derap langkah kian melaju,
terburu-buru dihambat waktu,
dek tulah kemajuan yang terus mendesak.
Duhai hati,
dahulu dikau dilimpahi nurani,
dahulu kasih senantiasa bersemi,
jiwa bersulam rasa percaya,
namun kini,
saban hari dikau tersiksa,
dek tingkah manusia yang kian menggila.
Anak kecil penghuni syurga,
masih perlukan belaian bonda,
masih perlukan kasih ayahanda,
masih dahagakan cinta manusia.
Namun, nyawanya kau anggap sia-sia,
kesakitannya pada matamu tiada makna,
jeritannya pada corong telingamu hanyalah halwa.
Anak remaja,
jiwanya masih muda,
masih perlu belajar menjadi sempurna,
masih perlu mengenal dunia yang pancaroba.
Namun kini,
herdik mengherdik menjadi racun harian,
hina menghina kau jadikan amalan,
pukul memukul kau bangga-banggakan,
aduhai manusiawi, apa yang dikau inginkan?
Belia dewasa,
lagaknya perlulah dewasa!
Perlu bijak menyusun langkah,
perlu hemat menutur bicara,
perlu kaya dengan budi bahasa,
kerana dikau sudah dewasa!
Namun,
mengapa bertindak melulu?
ke mana hilangnya rasa malu?
ke perginya cahaya nurani?
yang dulu disemai menyinari insani?
Adakah zaman penghapus nilai manusiawi?
hingga sirna wajah nan tenang?
hingga sirna hati nan harmoni?
hingga sirna nilai akli yang suci?
Duhai hati,
sudah-sudahlah disakiti.
Duhai diri,
sudah-sudahlah menyakiti.
Wahai insani,
sudah-sudahlah mementingkan diri.
Duduk, bangkit dan terus bangun dari mimpi.
sematlah kembali rasa cinta,
hadirkanlah kembali rasa bahagia,
kerana tanpanya,
dunia hanyalah jasad tanpa jiwa,
dunia hanyalah jasad tanpa manusia.