Oleh Nasrul BK
Diterbitkan pada 29 Disember 2025, 10:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Gambang — Pelajar berbilang kaum dari Kolej Matrikulasi Pahang menyertai Program Wacana Warisan Penulisan Puisi yang diadakan di Dewan Kuliah Besar 1, Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh) baru-baru ini.

Program anjuran Unit Pengajian Am Matrikulasi dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Pahang dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang itu bertujuan memupuk minat terhadap dunia persuratan serta memperkasakan penghayatan warisan sastera dalam kalangan pelajar.

Wacana berkenaan disampaikan oleh Penolong Setiausaha Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP), Encik Nasrul Isyam Abdul Hamid serta Pengasas Karyawan Kerdil, Encik Ahmad Noh, yang turut berkongsi pengalaman dalam bidang penulisan kreatif.

Encik Ahmad Noh menerangkan jenis dan teknik penulisan sajak kepada para pelajar.

Kehadiran mereka memberikan peluang besar kepada para peserta untuk menimba ilmu secara langsung daripada tokoh berpengalaman dalam dunia kesusasteraan tanah air.

Selain itu, pelbagai pengisian program yang menarik diadakan termasuklah panduan menulis puisi, sajak, pantun, gurindam dan syair bagi membolehkan peserta mampu menghasilkan karya yang berpotensi untuk dibukukan. Peserta juga turut didedahkan dengan kaedah penghantaran karya di akhbar, majalah dan platform media sosial.

Seorang peserta berbangsa Cina, iaitu Lim Jia Kai yang berusia 19 tahun, menyatakan bahawa beliau teruja menyertai program tersebut kerana dapat mempelajari teknik penulisan pantun dan sajak secara sistematik.

“Saya gembira kerana diberi tunjuk ajar yang jelas dan tidak sabar untuk menghasilkan sajak dalam bahasa Melayu,” katanya.

Turut hadir ialah Exco Kerohanian dan Pembangunan Majlis Mahasiswa Temerloh, Arif Hakimi Abdullah, yang mewakili Presiden Majlis Belia Negeri Pahang, Encik Saharuddin Ahmad.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi